Malaysia Umum 119 Rakyatnya Terlibat Kumpulan Militan IS
2015.04.15

Timbalan Menteri Dalam Negeri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan statistik baru itu di Parlimen pada Rabu, di tengah-tengah kebimbangan ahli parlimen dan pihak lain, terhadap ancaman kumpulan IS yang semakin meningkat di Malaysia
Menjawab soalan seorang ahli parlimen beliau berkata sehingga 1 April tahun ini, seramai 60 individu yang terlibat dengan kumpulan IS itu, berjaya ditahan di Malaysia manakala 46 orang di percayai masih bebas di Syria, yang kini dijadikan sebagai pusat utama kumpulan militan itu.
10 terbunuh dan tiga diburu
Katanya 10 rakyat Malaysia yang mempunyai hubungan dengan kumpulan militan itu terbunuh, manakala tiga lagi yang baru saja pulang dari Syria kini dalam buruan pihak berkuasa. Beliau tidak memberi butiran lanjut mengenainya.
Wan Junaidi berkata, tumpuan kerajaan pada masa ini adalah untuk membendung orang ramai daripada terpengaruh dan terjebak dalam kumpulan IS melalui jaringan media sosial yang mudah, ketika ini.
"Berdasarkan penangkapan terhadap masyarakat Malaysia, orang yang dikenal pasti terlibat ini, latar belakang mereka pelbagai. Saya tekankan di sini, tidak ada tumpuan menunjukkan bahawa mereka ini berlandaskan pelajaran, latar belakang dan agama terutamanya," kata seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan.
Mengenai tiga individu yang kini dalam buruan pihak polis Wan Junaidi berkata, “Kami telah mengenal pasti tempat di mana mereka mungkin berada, dan maklumat mengenai kepulangan mereka ke Malaysia diperoleh menerusi rangkaian perisikan polis dan kerjasama di peringkat antarabangsa,”
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kumpulan militan IS menyasarkan pelajar dari institusi pengajian tinggi Malaysia untuk menyertai sebagai pejuang jihad kumpulan berkenaan, menurut laporan akhbar The New Straits Times bulan lepas.
Kumpulan IS juga memancing dengan menjanjikan gaji bulanan sebanyak AS $ 2,000 (RM7,200) beserta penginapan dengan "polisi tidak boleh pulang" melainkan jika dibenarkan, kata laporan itu.
Parlimen Malaysia pada minggu lalu telah meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 di Dewan Rakyat, yang antara lain membenarkan pihak berkuasa menahan suspek keganasan untuk tempoh yang tidak terhad tanpa perbicaraan, dalam usaha menangani sebarang kemungkinan ancaman.
POTA telah dikecam oleh pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia kerana dilihat sebagai tamparan terhadap kebebasan awam.
Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita