IS – ARF Kenalpasti Lima Teori


2015.03.27
150327-MY-ASEANFORUM-620 Menteri Luar Jepun Fumio Kishida dan Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa menghadiri Forum Serantau ASEAN di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 2 Julai , 2013.
AFP

Bengkel Forum Serantau ASEAN (ARF) mengenai Pencegahan Radikalisasi anjuran bersama Malaysia dan Jepun yang berakhir hari ini telah mengenalpasti lima teori utama yang bakal dibentangkan pada mesyuarat Menteri-menteri ARF ke-22 pada trimester ketiga tahun ini di Kuala Lumpur.

Tumpuan perbincangan meliputi faktor psikologi dan genetik sebagai penyebab utama mengapa remaja dan lapisan masyarakat tertentu tertarik untuk menyertai kumpulan militant IS (Negara Islam).

Manakala, kelemahan sistem profiling dan kekurangan kepakaran oleh anggota penguatkuasaan serta  penguatkuasaan secara bermusim merupakan antara sebab masalah berkenaan berlarutan.

Presiden Transparency International Malaysia Akhbar Satar berkata, kekecewaan dan kegagalan mencapai cita-cita merupakan faktor tarikan untuk menyertai IS; dalam mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah psikologi yang dihadapi.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi Universiti HELPS menegaskan, teori kedua ialah genetik, di mana mereka ini, mengalami masalah mental dan tidak dapat berfikir atau membezakan antara realiti dan bukan realiti.

Tidak Memahami Islam Secara Mendalam

“Mereka ini sebenarnya tidak memahami Islam secara mendalam selain terpengaruh dengan hadis yang tidak sahih mengenai jihad yang banyak disebarkan” katanya kepada BenarNews di Kuala Lumpur.

Bengkel dua hari yang membincangkan pelbagai kerangka kerja teori dan konsep berhubung dengan penglibatan gerakan radikal itu, mengumpulkan ramai peserta selain berusaha memanfaatkan kepakaran negara anggota yang terdiri daripada kedua-dua negara tuan rumah, Indonesia, Australia, Jerman, Singapura dan Belanda.

Perbincangan turut meliputi cara pencegahan radikalisasi di peringkat strategi dan operasi,   pemulihan pengganas, psikologi dan pengganas, proses radikalisasi dan internet, naratif pengganas serta pembentukan naratif alternatif.

Sementara itu, Akhbar menambah kelemahan anggota penguatkuasa yang tidak mempunyai kepakaran dalam mengenali mereka yang terpengaruh dengan IS serta sistem profiling yang lemah adalah masalah utama yang dihadapi negara-negara ASEAN dalam mengangani kebangkitan kumpulan itu.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.