Malaysia Cadang Undang-undang Baharu Anti-Keganasan


2015.03.30
150330-MY-khalid-620 Ketua Polis Negara Malaysia Khalid Abu Bakar menjawab soalan pada sidang berita di Sepang, 16 Mac, 2014.
AFP

Kerajaan Malaysia pada Isnin memperkenalkan dua rang undang-undang  anti-pengganas untuk dibahaskan di Parlimen, yang bertujuan memerangi ancaman domestik yang semakin meningkat daripada Negara Islam (IS) dan kumpulan-kumpulan pelampau lain, kata beberapa pegawai.

Rang undang-undang berkenaan diperkenalkan selepas polis Malaysia mengesan dua ancaman IS di negara itu: sepucuk surat yang kononnya mengancam untuk membunuh pemimpin kerohanian Ravi Shankar yang mengunjungi Pulau Pinang pada hujung minggu; penahanan dua rakyat Iraq berhubung dakwaan cubaan IS untuk menyerang Kedutaan Arab Saudi dan Kedutaan Qatar di  Kuala Lumpur.

Dari segi perundangan, Dewan Rakyat akan membahaskan Rang undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA)  dan Rang Undang-undang Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara -  yang dikenali sebagai Rang Undang-undang Pejuang Asing – antara 6 hingga 9 April, iaitu tiga hari terakhir bagi persidangan itu yang sedang berlangsung.

Rang Undang-undang Pejuang Asing membolehkan pihak berkuasa menggantung atau membatalkan pasport dan dokumen perjalanan rakyat asing yang ditahan di Malaysia dan disyaki terlibat dalam atau menyokong keganasan, lapor Associated Press.

ISA sekali lagi?

POTA khususnya menjadi kontroversi kerana ia membolehkan pihak berkuasa Malaysia menahan pengganas yang disyaki selama dua tahun tanpa perbicaraan.

Pada Isnin, beberapa Ahli Parlimen (MP)  pembangkang mengkritik  POTA dengan menyatakan ia akan menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri  (ISA), yang telah dimansuhkan pada 2012, dan mengandungi peruntukan sama mengenai penahanan suspek tanpa had.

Para pengkritik memberi amaran bahawa kerajaan akan sewenang-wenangnya menggunakan POTA untuk memenjarakan mereka yang menentang kerajaan  – seperti, kata mereka,  ramai yang telah  ditahan di bawah ISA lama dan Akta Hasutan sedia ada.

"Terdapat sekatan teruk terhadap kebebasan awam di bawah  POTA. Kami melihatnya sebagai satu ancaman kepada  kebebasan awam yang sangat rapuh di negara ini,”  Ahli Parlimen pembangkang Wong Chen dipetik sebagai berkata oleh Malaysiakini.

"Satu-satunya perbezaan antara ISA dan undang-undang  ini ialah  penahanan ISA adalah tanpa had sejak mula, manakala penahanan mengikut rang undang-undang ini boleh diperbaharui setiap dua tahun. Jadi, ini adalah  satu lagi penyamaran ISA, "kata Raja Bahrin, seorang lagi penggubal undang-undang daripada pembangkang, menurut  Free Malaysia Today.

Kerajaan telah menafikan ia cuba menghidupkan semula ISA menerusi POTA. Para pegawai juga memberi jaminan kepada orang awam bahawa pengkritik politik kerajaan tidak akan ditahan di bawah cadangan undang-undang pengganas itu, menurut laporan berita tempatan.

Dalam satu wawancara  dengan Star Online pada Ahad, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamid, berkata undang-undang  anti-keganasan sebelum ini adalah terlalu reaktif, dan kemunculan  Negara Islam telah "memaksa kita untuk melihat kepada undang-undang pencegahan."

"Kita juga perlu melihat kepada para pejuang asing, pejuang yang berjuang di luar Malaysia. Mereka mahu menggunakan Malaysia sebagai hab mereka, bukan sahaja untuk melatih pengikut yang berpotensi tetapi untuk memusnahkan imej baik Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sangat sederhana. [Dengan memperkenalkan undang-undang baharu ini] menunjukkan kerajaan komited dan menunjukkan kita serius memerangi ancaman keganasan, "kata Zahid kepada Star.

“Butir-butirnya belum diperincikan lagi tetapi saya percaya jika pejuang asing adalah dari negara yang mempunyai perjanjian ekstradisi dengan kita, kaedah terbaik ialah dengan menghantar mereka pulang ke negara asal,” jelas Zahid.

“Jika tiada perjanjian ekstradisi, kita mahu perjanjian daripada negara berkenaan bahawa penahanan dan pemulihan haruslah dilakukan di Malaysia.”

Jika Shankar jejakkan kaki…

Sementara itu, Ketua Polis Negara  Khalid Abu Bakar berkata agensinya sedang menyiasat laporan mengenai surat ancaman terhadap  Ravi Shankar.

Surat itu dialamatkan kepada  pengurus sebuah hotel, yang telah ditempah oleh pemimpin kerohanian India itu, dan ia telah dihantar kepada NGO kemanusiaan Shankar cawangan  Malaysia, lapor  Star Online.

Surat itu tertera  bendera hitam IS serta menampilkan  gambar orang yang dipenggal kepala, kata akhbar itu.

“Jika dia menjejakkan kakinya di Malaysia,  hotel anda dan venue aktivitinya akan dimusnahkan dan beribu-ribu orang akan mati kerananya. Kami tidak mahu  Ravi Shankar  menjejakkan kakinya di sebuah negara Islam,” demikian menurut kandungan surat itu.

Menurut Straits Times yang berpejabat di Singapura, Khalid telah mengesahkan penahanan dua rakyat Iraq berhubung cubaan menyerang Kedutaan Arab Saudi dan Kedutaan Qatar.

Kedua-duanya ditahan pada Khamis setelah pergerakan mereka dipantau pegawai risikan sejak 10 Mac.

“Mereka merancang untuk menyerang kedutaan berkenaan pada 31 Mac atas arahan IS,”kata sumber yang tidak dinamakan kepada The Star.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.