Aktivis, ahli keluarga gesa penumpang bot hanyut di Laut Andaman diselamatkan

Pelarian Rohingya dan warga Bangladesh menggunakan telefon satelit untuk meminta bantuan ketika jumlah kematian meningkat.
Pulack Ghatack dan Abdur Rahman
2022.12.22
Dhaka dan Teknaf, Bangladesh
Aktivis, ahli keluarga gesa penumpang bot hanyut di Laut Andaman diselamatkan Nur Bahar dari Teknaf, Bangladesh memegang gambar Mohammad Mizan selepas mendengar rakaman klip audio panggilan telefon anak lelakinya itu dari sebuah bot yang hanyut di Laut Andaman, 20 Dis 2022.
[Abdur Rahman/BenarNews]

Seramai 20 orang telah meninggal dunia di atas sebuah bot yang terkandas di laut selama beberapa hari iaitu di utara wilayah Acheh, Indonesia dan ia membawa ratusan penumpang yang terdiri daripada pelarian Rohingya, demikian menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada BenarNews pada Khamis ketika menggesa negara-negara di rantau itu agar tampil menghulurkan bantuan.

Bot yang membawa lebih 100 pelarian Rohingya dan 50 warga Bangladesh telah hanyut di Laut Andaman selepas enjinnya rosak, kata saudara mara dan aktivis yang ditemu bual oleh BenarNews. Penumpang bot itu telah menggunakan telefon satelit untuk meminta bantuan.

Mohammad Mizan, seorang migran warga Bangladesh berusia 18 tahun yang menaiki bot itu telah menghubungi sepupunya yang dikenali sebagai Tareq di Malaysia pada 16 Dis untuk meminta mana-mana pihak tampil membantu mereka dan meluahkan kebimbangan dia mungkin tidak dapat bertahan. Tareq telah merakam panggilan itu dan menghantar klip audio itu kepada keluarganya di Teknaf, yang terletak di tenggara Bangladesh, yang kemudian memberikan salinannya kepada BenarNews.

“Kami terpaksa minum air yang payau rasanya selama lima hari. Tolonglah lakukan sesuatu untuk selamatkan kami atau membuat persiapan untuk kulkhani kami,” kata Mizan. “Kami mungkin mampu bertahan dalam sehari dua lagi kerana sudah tidak mempunyai makanan atau minuman kecuali air masin di dalam laut.”

Katanya ketika ini, bot itu berada berhampiran kawasan perairan India iaitu di Laut Andaman. Kepulauan Andaman dan Nicobar, yang terletak di barat laut Aceh, adalah sebahagian daripada wilayah India.

“Tentera Laut India berada di sekitar kawasan ini. Tetapi mereka tidak menyelamatkan kami,” kata Mizan semasa membuat panggilan kecemasan itu.

Ibu Mizan iaitu Nur Bahar, seorang penduduk Kampung Habir Chhara di Teknaf, menangis ketika mendengar suara anak lelakinya itu.

“Selepas 16 hari, saya baru tahu bahawa anak lelaki saya yang masih bersekolah, Mizan, telah terkandas di atas sebuah bot yang hanyut di laut. Kami tidak tahu bagaimana dia ada di sana,” katanya kepada BenarNews.

Pihak berkuasa juga tidak pasti bila atau dari mana bot itu memulakan perjalanannya.

Chris Lewa, Pengarah Projek Arakan iaitu sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang memperjuang kebajikan etnik minoriti Rohingya dari Myanmar yang kini tidak bernegara, berkata bot itu telah menerima bekalan makanan dan minuman selepas Mizan meminta bantuan.

“Kami percaya Tentera Laut India telah memberikan makanan dan minuman kepada penumpang bot itu meskipun tidak menyelamatkan mereka,” katanya kepada BenarNews dalam panggilan telefon dari Thailand pada petang Khamis. “Rakaman audio panggilan mereka yang baharu kedengaran lebih baik manakala sebelum ini, suara mereka amat lemah dan tidak bermaya.

“Ia adalah sesuatu yang amat memeranjatkan apabila mengetahui mereka tidak diselamatkan.”

Pelarian Rohingya duduk di dalam sebuah bot yang hanyut selama beberapa hari ketika ia tiba di Pelabuhan Krueng Geukueh di Acheh Utara, Indonesia, 31 Dis 2021. [Rahmat Mirza/AP]
Pelarian Rohingya duduk di dalam sebuah bot yang hanyut selama beberapa hari ketika ia tiba di Pelabuhan Krueng Geukueh di Acheh Utara, Indonesia, 31 Dis 2021. [Rahmat Mirza/AP]

Dalam satu e-mel kepada BenarNews pada Rabu, Lewa berkata kumpulannya telah menerima berpuluh-puluh mesej daripada individu yang terperangkap dalam bot itu sambil menambah bahawa kebanyakannya tidak sampai 30 saat.

“Begitu meruntun hati apabila mendengar mesej-mesej ini kerana kebanyakannya adalah lelaki dan wanita yang sedang menangis serta merayu mana-mana pihak agar tampil membantu mereka. Dengan suara yang teresak-esak dan tidak bermaya, mereka kata mereka sudah kehabisan makanan dan minuman,” katanya dalam e-mel itu.

“Dua atau tiga hari lepas, seorang lelaki dan seorang wanita telah terjun dari bot itu kerana mereka sudah tidak mampu untuk bertahan lagi. Semalam, kapten bot itu kata 16 orang telah meninggal dunia.”

Beliau menganggarkan bahawa angka kematian mungkin meningkat kepada 20 orang selepas itu.

“Hakikatnya kita benar-benar tidak tahu,” katanya.

Sayid Alam, Presiden Persatuan Rohingya Thailand, pula bimbang angka kematian mungkin lebih tinggi.

Katanya beliau percaya terdapat dua bot yang hanyut di laut. Pada awal bulan ini, beliau berkata Tentera Laut Sri Lanka telah menyelamatkan sebuah bot manakala seramai 154 pelarian Rohingya telah diselamatkan dari sebuah bot yang karam di Laut Andaman dan dipindahkan ke kapal Tentera Laut Myanmar.

“Kita tidak mendengar sebarang berita mengenai mereka. Sebuah bot lagi membawa kira-kira 160 orang yang masih hidup dan 28 telah meninggal dunia. Ia hanyut dan terapung sejauh 380 kilometer (236 batu) dari India dan 80 kilometer (50 batu) dari Indonesia,” kata Sayid kepada BenarNews pada Khamis.

Laporan lain menyatakan bahawa bot itu hanyut di kawasan perairan antara Malaysia dan Indonesia.

Lilianne Fan, pengasas bersama dan pengarah antarabangsa pertubuhan kemanusiaan Geutanyoe Foundation, berkata bot kelihatan berada di wilayah pentadbiran khas Malaysia di luar pesisir di bahagian utara Acheh.

“Bot itu masih belum diselamatkan,” kata Fan kepada BenarNews. “Kita masih tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar penumpang namun sesetengah saudara mara mereka telah melaporkan bahawa kira-kira 16 orang sudah meninggal dunia setakat ini.”

Selain itu, junta tentera Burma pada Selasa telah menahan 112 pelarian Rohingya berhampiran sebuah pulau di pesisir perbandaran Bogale yang terletak di barat daya wilayah Ayeyarwady, Myanmar, kata seorang penduduk tempatan kepada Radio Free Asia (RFA), sebuah perkhidmatan berita yang merupakan sekutu BenarNews.

Lapan kanak-kanak, 47 wanita dan 57 lelaki menaiki dua bot serta sedang menunggu bot-bot lain untuk membawa mereka ke Bogale ketika mereka ditahan, lapor RFA.

Beberapa pelarian Rohingya yang berada di atas bot yang terkandas di utara Aceh pula makin hilang sabar.

Seorang lelaki telah meninggalkan mesej yang berbaur kemarahan dan meminta wakil Projek Arakan agar tidak lagi menghubungi mereka atau meminta koordinat GPS “memandangkan anda tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan kami,” menurut Lewa yang memetik kata-kata lelaki itu.

“Kami harap kerajaan Malaysia akan meminta Indonesia untuk menyelamatkan mereka. Terdapat soalan ke mana mereka boleh dibawa – Saya rasa mereka boleh dibawa ke Malaysia dengan bantuan Indonesia,” kata Lewa.

Gesaan bagi kerjasama serantau

Pada awal minggu ini, sebuah kumpulan penggubal undang-undang Asia Tenggara iaitu ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR) telah mengeluarkan kenyataan menggesa 10 anggota blok serantau itu serta negara jiran lain agar melancarkan operasi mencari dan menyelamat atas dasar kewajipan kemanusiaan.

“Sebarang kelewatan lanjut adalah tidak wajar. Pengabaian terhadap pelarian Rohingya yang terkandas di laut seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana sudah berlaku sejak bertahun-tahun dan mengakibatkan beratus-ratus, jika bukan beribu-ribu, kematian yang boleh dicegah dengan mudah seandainya negara-negara di rantau ini memenuhi prinsip kemanusiaan paling asas,” kata Pengerusi APHR Charles Santiago.

Kenyataan itu menyusuli kenyataan serupa pada 16 Dis oleh agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada 2 Dis, UNHCR  melaporkan bahawa hamper 2,000 pelarian Rohingya telah belayar dari Bangladesh dan Myanmar pada 11 bulan pertama tahun 2022 berbanding 287 pada 2021. Agensi PBB itu menganggarkan 120 daripada mereka yang belayar tahun ini sudah meninggal dunia atau hilang di laut.

Di Bangladesh, Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian (RRRC) Mohammad Mizanur Rahman berkata beliau mengetahui laporan mengenai bot yang terkandas itu.

“Bagaimanapun, kami tidak mempunyai bukti bahawa mereka tinggal di kem-kem pelarian di Cox’s Bazar. Setakat yang kami tahu, pelarian Rohingya dari Myanmar sedang menyeberangi laut untuk ke Malaysia,” katanya kepada BenarNews pada Khamis.

Kira-kira sejuta pelarian Rohingya kini mendapatkan perlindungan di kem-kem sepanjang daerah di bahagian tenggara sempadan Negeri Rakhine di Myanmar. Mereka termasuk 740,000 yang menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Burma melancarkan serangan kejam ke atas tempat tumpah darah mereka pada Ogos 2017.

Muhammed Jubair, Pemangku Pengerusi Persatuan Rohingya Arakan bagi Keamanan dan Kemanusiaan serta pemimpin komuniti pelarian, telah mencabar kenyataan Mizanur Rahman.

“Saya telah mendengar bahawa terdapat pelarian Rohingya dari pelbagai kem di Cox’s Bazar di dalam bot yang hanyut di laut itu,” katanya kepada BenarNews sambil menambah “Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh berada di sana.”

Nisha David di Kuala Lumpur dan Nontarat Phaicharoen di Bangkok menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.