IS Ancam Bunuh Pemimpin Malaysia
2015.04.23

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low pada Khamis mendedahkan laporan perisikan, di mana kumpulan pengganas Negara Islam (IS) mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara murtad dan pemimpinnya tidak patut hidup.
Kumpulan itu juga mengancam untuk "berurusan” dengan Malaysia sebagai sebuah negara murtad.
Low membuat kenyataan itu semasa berucap pada Persidangan Masyarakat Asean Bertamadun di Kuala Lumpur seperti yang disiarkan oleh KiniTv pada Khamis, selepas beliau cuba menjelaskan mengenai perlunya Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) yang diluluskan di
Parlimen Malaysia baru-baru ini.
POTA antara lain membenarkan pihak berkuasa menahan suspek keganasan untuk tempoh yang tidak terhad tanpa perbicaraan, dalam usaha menangani sebarang kemungkinan ancaman.
Rang Undang-undang itu telah dikecam oleh pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia kerana dilihat sebagai tamparan terhadap kebebasan awam.
Maklumat risikan
"Ia bukannya rahsia, dan saya boleh memberitahu anda bahawa berdasarkan laporan perisikan, kumpulan IS mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara murtad dan setiap pemimpin di sini, semua orang, tidak sepatutnya hidup,” kata Low.
Beliau berkata kerajaan juga perlu bersedia untuk menghadapi sebarang ancaman dari IS.
"Apabila IS membuat perisytiharan seperti itu, yang menyatakan para pemimpin atau sesiapa sahaja di seluruh negara itu, perlu berurusan mengikut ‘cara mereka ' - dan kita tahu bahawa cara mereka bukanlah cara bertamadun, daripada satu segi, dan apabila anda berdepan dengannya, bagaimana anda harus berurusan dengan perkara itu?” katanya.
Setakat ini seramai 95 orang telah ditahan kerana menyertai IS, termasuk dua remaja berusia 14 tahun telah ditahan pada Feb dan awal bulan ini sebelum berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan militan itu.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar baru-baru ini berkata kumpulan 17 individu yang ditahan, awal bulan ini, dipercayai merancang serangan bom dan juga penculikan beberapa tokoh terkemuka di Malaysia.
Katanya mereka mendapat inspirasi daripada kumpulan jihad IS di Syria dan Iraq, telah berpakat untuk merompak bank, menyerbu balai polis dan pos tentera sebagai usaha mendapatkan wang dan senjata untuk melaksanakan rancangan mereka itu.
“Tujuan mereka adalah untuk membentuk sebuah negara Islam seperti IS di Malaysia” kata Khalid.
Tunggu serangan atau pencegahan
Low semasa majlis itu, turut menggambarkan situasi teori di mana seseorang individu mungkin membeli bahan kimia yang diketahui sebagai bahan bom bunuh diri, dan ini memberi petunjuk sebagai suspek.
“Adakah anda menunggu dia menyerang, kemudian anda menangkapnya? Atau anda melakukan penahanan pencegahan? " katanya semasa menjawab soalan seorang peserta mengenai POTA
Low yang turut mengulas mengenai POTA berkata mencegah adalah lebih baik, daripada menahan seseorang selepas mereka melakukan keganasan seperti serangan bom berani mati.
’POTA penting kerana terdapat keinginan oleh kumpulan IS untuk menyerang Malaysia, dan pihak berkuasa tidak boleh mendakwa mereka di mahkamah, oleh itu polis terpaksa membuat permerhatian terhadap kumpulan tersebut pada masa ini.
‘Dengan adanya POTA, pihak berkuasa dapat membuat pencegahan dan sekaligus menyelamatkan Malaysia daripada keadaan tidak stabil,’ tegas beliau.