Setahun jadi PM, Anwar buktikan pembangkang salah dan tampil lebih berpengaruh
2023.11.22
Kuala Lumpur
Selepas setahun menjadi Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim telah mengukuhkan kuasanya di Parlimen dan berjaya menarik pelaburan asing yang sebelum ini agak lembap, menyebabkan para pemerhati percaya beliau mungkin memegang jawatan itu hingga ke akhir penggal.
Kini, ahli politik Malaysia yang berpengalaman itu perlu menggunakan sokongan parlimen yang diperoleh untuk meneruskan agenda reformasinya serta berusaha ke arah meningkatkan ekonomi semua rakyat di negara berbilang kaum ini namun perlu kembali retorik dan mencari kaedah bagi memenangi hati puak konservatif agama serta etnik majoriti Melayu, kata penganalisis.
Kemampuan untuk bertahan selama setahun dalam budaya politik Malaysia yang agak kucar-kacir dengan kerajaan campuran yang terdiri daripada kumpulan berbeza adalah satu pencapaian yang signifikan, kata James Chin, seorang profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania.
“Anwar mempunyai [dalam gabungan politiknya] rakan-rakan daripada UMNO serta parti dari negeri-negeri di Kepulauan Borneo iaitu Sabah dan Sarawak. Jadi, bukanlah mudah untuk menyusun kerajaan dan memastikan ia bertahan selama setahun,” katanya kepada BenarNews.
Chin merujuk kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang terdiri daripada gabungan politik Pakatan Harapan pelbagai kaum pimpinan Anwar, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) iaitu parti terbesar dan tertua yang memegang tampuk pemerintahan Malaysia selama lebih 60 tahun serta beberapa gabungan parti politik lain.
Malaysia telah menyaksikan ketidaksabilan politik selepas pilihan raya umum bersejarah pada 2018 yang menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak dan UMNO daripada kekuasaan. Sebelum Yang di-Pertuan Agong Malaysia melantik Anwar sebagai PM bagi menyelesaikan kebuntuan politik selepas pilihan raya umum pada November 2022, negara Asia Tenggara dengan populasi kira-kira 34 juta itu menyaksikan pelantikan pemimpin silih berganti iaitu tiga perdana menteri dalam tempoh yang singkat dari Februari 2020 hingga Oktober 2022.
Selepas pilihan raya umum pada 19 Nov 2022, tidak ada satu parti atau blok politik yang meraih majoriti bagi kerusi parlimen meskipun gabungan Pakatan Harapan pimpinan Anwar menang di kebanyakan kawasan. Yang di-Pertuan Agong memutuskan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri selepas beliau mendapat sokongan daripada musuh ketat parti pimpinannya sebelum ini iaitu Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO dan blok politik negeri.
Anwar telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov 2022 dengan sokongan 147 daripada 222 Ahli Parlimen yang bersamaan dengan majoriti dua pertiga.
Sebulan sebelum genap setahun Anwar memegang jawatan, sokongan Ahli Parlimen kepada beliau melepasi jumlah majoriti dua pertiga apabila empat Ahli Parlimen daripada gabungan pembangkang Perikatan Nasional, khususnya parti Bersatu, berikrar untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.
Ikrar keempat-empat Ahli Parlimen itu membawa maksud bahawa mereka akan menyokong semua dasar serta inisiatif kerajaan dan menurut mereka, sokongan itu akan berlanjutan sehingga pilihan raya umum akan datang.
Penganalisis politik Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata dengan penambahan sokongan empat kerusi Parlimen, kedudukan Anwar menjadi lebih kukuh.
“Ia telah memperkukuh sokongan kepada Anwar di Dewan Rakyat kepada 151 Ahli Parlimen,” katanya kepada BeritaBenar.
Mazlan turut menjangkakan lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu akan menukar sokongan mereka kepada Anwar dan seterusnya melemahkan Perikatan Nasional, blok pembangkang yang diketuai oleh bekas PM Muhyiddin Yassin.
Penganalisis itu percaya kesetiaan lebih ramai Ahli Parlimen akan beralih kerana sudah hilang keyakinan terhadap pemimpin mereka, melihat manfaat yang bakal dibawa oleh kestabilan politik dan mungkin juga percaya kepada agenda reformasi Anwar.
Tidak kurang juga yang kecewa, kata Mazlan, apabila pembangkang enggan menerima tawaran kerajaan untuk bekerjasama supaya negara itu dapat bangkit dengan lebih perkasa selepas ekonominya terjejas semasa pandemik COVID-19.
Keempat-empat Ahli Parlimen yang menukar sokongan mereka kepada Anwar juga berkata demikian.
“Terdapat khabar angin bahawa parti saya [Bersatu] akan mengambil alih kerajaan. Setiap bulan seseorang akan berkata bakal wujud gerakan yang serupa dengan Langkah Sheraton … tetapi sudah hampir setahun dan tiada apa-apa yang berlaku padahal rakyat saya di [kawasan Parlimen] Labuan menderita,” kata Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman kepada BenarNews.
Langkah Sheraton yang dirujuk beliau adalah satu plot politik – yang dilapor dicetuskan di Hotel Sheraton – sehingga membawa kepada kejatuhan satu-satunya kerajaan bukan pimpinan UMNO di negara itu iaitu Pakatan Harapan yang memenangi pilihan raya umum 2018.
“Sekarang musim tengkujuh dan banyak bumbung rumah yang terbang. [Penduduk di kawasan saya] asyik merungut dan kami perlukan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan,” kata Suhaili.
“Orang ramai undi saya untuk membantu mereka memperbaiki kehidupan. Saya perlu mencari jalan untuk membantu mereka.”
Suhaili mahukan akses kepada dana pembangunan persekutuan.
Untuk mengakses dana ini, Ahli Parlimen perlu mengemukakan permohonan secara rasmi. Dan seorang Ahli Parlimen yang dianggap sebagai mesra kerajaan adalah lebih mudah untuk mendapat dana dengan pantas terutama semasa kecemasan seperti dilanda banjir dan bencana alam lain manakala Ahli Parlimen pembangkang terpaksa berdepan jalan yang berliku untuk mengakses wang persekutuan.
Bersatu mendakwa keempat-empat Ahli Parlimen telah disogok oleh mereka yang mempunyai kaitan dengan pentadbiran Anwar namun dakwaan itu disangkal keras oleh pihak kerajaan.
Pelbagai pencapaian dalam tempoh setahun
Hanya dalam tempoh 365 hari, kerajaan pimpinan Anwar berjaya melaksanakan reformasi yang telah diabaikan oleh pentadbiran terdahulu. Kerajaan beliau telah memansuhkan hukuman mati mandatori, menyahjenayah percubaan membunuh diri dan menyatakan komitmen yang lebih teguh untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.
Ariff Hussaini, seorang pengundi berusia 28 tahun dari negeri Selangor, menzahirkan rasa kagum terhadap kepimpinan Anwar.
“Beliau adalah sinar harapan yang sudah lama diperlukan oleh Malaysia untuk mengubah keadaan dan mendapatkan semula kelebihan daya saing kami di pentas global,” kata Ariff kepada BenarNews.
“Saya gembira apabila melihat seorang PM yang begitu gigih berusaha untuk meletakkan Malaysia kembali di landasan yang betul,” katanya ketika ditanya tentang penilaian beliau terhadap prestasi Anwar setakat ini.
Bank Dunia juga yakin keadaan Malaysia akan bertambah baik selepas bertahun-tahun berdepan dengan isu ketidakstabilan.
Kishore Mahbubani, seorang felo terkenal dari Institut Penyelidikan Asia di Universiti Nasional Singapura, berkata anggaran pertumbuhan bagi Malaysia untuk tahun ini dan seterusnya daripada institusi kewangan global menjadikan ia “antara ekonomi terkukuh dalam kalangan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).”
“Anwar juga baru-baru ini mengumumkan beberapa pembaharuan yang dianggap sebagai bercita-cita tinggi termasuk cukai progresif baharu dan pemotongan subsidi menyasarkan golongan miskin dengan lebih berkesan. Ini adalah penambahbaikan yang besar berbanding pemerintahan korup UMNO,” tulis Mahbubani pada 2 Nov di laman sesawang Project Syndicate yang memuatkan ulasan pakar.
Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan Malaysia sebanyak 3.9% tahun ini dan 4.3% pada tahun depan.
Azmi Hassan, seorang penganalisis politik Malaysia, berkata unjuran itu mencerminkan kestabilan politik negara.
“Beberapa Perdana Menteri sebelum ini berdepan pergolakan dalaman yang menjejaskan tadbir urus dan keyakinan pelabur. Pengiktirafan global terhadap Anwar Ibrahim, komunikasi yang bersemangat serta daya kepimpinan meyakinkan menjadikan beliau seorang jurujual yang berkesan untuk Malaysia,” kata Azmi, seorang felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, kepada BenarNews.
“Perbincangan beliau yang teliti serta jelas dengan CEO-CEO seperti di San Francisco baru-baru ini mempamerkan keupayaan beliau untuk menarik pelaburan langsung asing. Bersama tokoh seperti [pengasas Tesla] Elon Musk, Anwar mencapai FDI dengan mengunjurkan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil di bawah kepimpinan beliau,” katanya merujuk kepada tokoh pengeluar kenderaan elektrik terkemuka itu.
Pada tahun ini, Tesla menubuhkan ibu pejabatnya di Asia Tenggara di negeri Selangor, Malaysia yang dilengkapi hab perkhidmatan dan pusat pengalaman.
Satu penerbitan dunia perniagaan iaitu Fortune pada Ogos menyatakan bahawa: “Malaysia telah mencapai apa yang gagal dilakukan oleh kebanyakan rakannya iaitu berjaya menarik Tesla milik Elon Musk untuk beroperasi di negara ini.”
Kelesuan sokongan Melayu
Namun di sebalik kejayaan ini, Anwar gagal meningkatkan populariti beliau dalam kalangan etnik majoriti Melayu, yang merupakan 70% penduduk Malaysia, dan ketidakpercayaan terhadap parti serta gabungan politik pelbagai agama dan etnik pimpinan beliau adalah berdasarkan persepsi bahawa mereka tidak mengutamakan kepentingan kaum Melayu yang beragama Islam.
Tahap kepuasan hati terhadap kepimpinan Anwar dalam kalangan etnik Melayu ialah 24%, menurut tinjauan pada Julai oleh Ilham Center di enam negeri yang majoriti penduduknya adalah Melayu. Blok pembangkang iaitu Perikatan Nasional memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya pada Ogos di tiga negeri yang disebabkan oleh parti komponennya iaitu PAS, yang menurut pengkritik, melipatgandakan retorik agama dalam kempennya.
Pengerusi Perikatan Nasional iaitu Muhyiddin berkata keputusan itu adalah “petunjuk jelas bahawa rakyat mahukan perubahan.”
Walaupun keputusan itu tidak memberi kesan kepada Kerajaan Persekutuan, penganalisis berkata Anwar perlu memperbaiki kehidupan majoriti Melayu yang lemah dari segi ekonomi untuk meraih sokongan lebih besar.
Hasil survei yang dikeluarkan pada Rabu, dua hari sebelum ulang tahun pertama Anwar sebagai PM, menunjukkan populariti beliau di tahap paling rendah pada Oktober berbanding ketika beliau dipilih menyandang jawatan itu.
Populariti beliau merudum terutamanya adalah disebabkan oleh kebimbangan ekonomi, khususnya dalam kalangan orang Melayu serta masyarakat India, demikian menurut tinjauan oleh Merdeka Center for Opinion Research, yang melakukan survei ke atas 1,220 responden dari 4 hingga 24 Okt.
Syaza Shukri, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata adalah penting bagi Anwar untuk meningkatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu.
“Jika tidak, pembangkang akan terus memainkan naratif bahawa kerajaan ini tidak mempunyai keabsahan kerana mereka tidak mendapat sokongan kaum majoriti,” katanya kepada BenarNews.
Bagaimanapun, para pemerhati memberi amaran bahawa cara untuk meraih sokongan orang Melayu yang beragama Islam bukanlah melalui penenteraman agama – seperti yang didakwa dilakukan oleh Anwar – walaupun pemimpin itu telah mencerca dasar sedemikian semasa kempen pilihan rayanya.
Para pengkritik berkata beliau telah memperluas peranan agensi persekutuan yang menyelia hal ehwal Islam, menyokong sekatan ke atas orang bukan Islam yang menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk Tuhan, mengambil tindakan keras ke atas karya sastera yang dianggap provokatif, mengharamkan jam tangan bertema LGBTQ dan menentang hak-hak asasi golongan gay secara terbuka.
‘Mengikut telunjuk puak konservatif agama’
Komitmen awal Perdana Menteri itu ke arah kesederhanaan nampaknya terpaksa dikorbankan demi meraih undi, kata pengkritik.
Bridget Welsh, dari Universiti Nottingham Malaysia, berkata sokongan tidak berbelah bahagi Anwar baru-baru ini terhadap kumpulan Palestin Hamas - selepas serangannya ke atas Israel pada 7 Okt yang telah meragut nyawa 1,200 orang - adalah antara contoh perkara itu.
“Pendirian Anwar mengenai Hamas nampaknya seolah-olah mengikut telunjuk puak konservatif agama, yang membuktikan ketiadaan nuansa dalam dasar luar,” katanya kepada BenarNews.
Gesaan Anwar agar Israel melaksanakan gencatan senjata di wilayah Gaza yang didudukinya adalah sesuatu yang dikongsi oleh ramai orang di seluruh dunia susulan serangan udara dan darat yang tidak henti-henti telah mengorbankan lebih 13,000 rakyat Palestin, memusnahkan hospital dan melumpuhkan infrastruktur sivik sekali gus menjerumuskan enklaf itu ke dalam krisis kemanusiaan yang begitu teruk, menurut pegawai PBB.
Welsh juga berkata terdapat kebimbangan yang serius bahawa Anwar telah mungkir janji untuk menyemak semula dan membatalkan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat. Sebaliknya, para pengkritik berkata beliau telah menggunakan undang-undang yang sama untuk menyekat kritikan terhadap pentadbirannya atau menenangkan unsur-unsur konservatif.
Bagaimanapun, selepas beliau berjaya mengukuhkan kedudukan, kini ada yang optimis bahawa Anwar akan menunaikan janjinya.
“Kerajaan kini mempunyai lebih banyak keabsahan,” kata Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Ini akan menjadikan ia lebih mudah meluluskan rang undang-undang di Parlimen.”
Minderjeet Kaur di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.