BRN Terlibat dalam Letupan di Bangkok, kata Pegawai Keselamatan Thailand
2019.08.19
Bangkok & Pattani, Thailand
KEMASKINI pada 4.30 petang waktu tempatan - 2019-20-08
Para pegawai Thailand yang mempunyai pengetahuan mengenai isu keselamatan di selatan negara itu memaklumkan BeritaBenar pada Isnin bahawa mereka percaya bahawa pasukan pemberontak terbesar di wilayah bergolak itu adalah dalang di sebalik insiden pengeboman di Bangkok baru-baru ini.
Mereka mendakwa pengeboman itu bertujuan menarik perhatian antarabangsa kepada keganasan yang sedang berlaku di tiga wilayah yang majoriti penduduknya adalah umat Islam yang bertutur dalam Bahasa Melayu di selatan Thailand yang bersempadanan dengan Malaysia. Lebih 7,000 orang mati dalam serangan yang dikaitkan dengan pemberontakan sejak 15 tahun lepas.
Kenyataan itu dibuat selepas seorang anggota kanan Barisan Revolusi Nasional (BRN) memberitahu Reuters dalam satu temu bual baru-baru ini bahawa kumpulan tersebut tidak terlibat dalam letupan berkenaan.
“Saya percaya anggota BRN melakukan perjalanan ke Bangkok untuk melancarkan serangan itu untuk menjadikannya sebagai berita dan menarik perhatian luar untuk campur tangan dalam keganasan di selatan. Akhir-akhir ini, negara asing tidak memberikan perhatian kepada insiden tembakan dan pengeboman yang berlaku setiap hari,” kata satu sumber keselamatan tersebut kepada BeritaBenar.
Kebanyakan suspek mempunyai rekod yang dikaitkan dengan BRN, kata sumber, seorang anggota perisik yang berpangkalan di selatan Thailand dan bercakap dengan syarat identitinya tidak didedahkan kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk bercakap kepada pemberita.
“Saya yakin kesemua letupan ini dilakukan anggota BRN,” kata seorang pegawai kanan tentera kepada BeritaBenar, yang juga enggan identitinya dikenali atas alasan sama.
Beliau merujuk kepada insiden 11 letupan bom pada Ogos 2016 di pelbagai lokasi di selatan Thailand sebagai bukti bahawa pemberontak tidak mengehadkan aktiviti mereka hanya di selatan negara itu.
“Mereka meninjau kawasan yang mereka ingin serang beberapa bulan sebelum mereka menyerang semua wilayah terbabit,” kata pegawai tersebut.
Letupan pada 2016, yang menyebabkan empat orang terkorban, didakwa dilakukan oleh seorang pemimpin unit tempur BRN. Empat pemberontak didapati bersalah pada tahun sama bagi letupan bom yang mencederakan enam orang di Universiti Ramkhamhaeng di Bangkok pada 2013.
‘Perkara itu tidak benar’
Sembilan peranti kecil meletup di empat lokasi sekitar Bangkok pada 2 Ogos yang disifatkan para pegawai sebagai satu percubaan untuk mengganggu satu sidang kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang berlangsung di ibu negara itu. Empat orang mengalami kecederaan yang tidak membawa maut.
Dua suspek dari selatan telah ditahan berhubung insiden letupan berkenaan, dan waran tangkap dikeluarkan ke atas empat individu lain yang memiliki nama seperti penganut agama Islam di selatan Thailand.
Seorang jurucakap wanita bagi Perdana Menteri Prayuth Chan-o-Cha sebelum itu mengumumkan tujuh penahanan tambahan namun para pegawai menjelaskan bahawa kesemua individu telah disoal siasat dan dibebaskan.
Dalam satu temu bual dengan Reuters, seorang lelaki dikenali sebagai anggota kanan BRN berkata kumpulan itu bukan dalang di sebalik insiden pengeboman Bangkok.
“Kami tidak akan melakukan serangan melangkaui ketiga-tiga wilayah di pedalaman selatan itu kerana kami tidak mahu dianggap sebagai pengganas,” kata seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Pak Fakir. “Kami mempunyai kawasan kami sendiri. Mengapa kami ingin keluar dari kawasan itu? ... Ini adalah kerja orang lain.”
Lelaki itu juga berkata para pegawai BRN telah bertemu satu delegasi Thailand “di sebuah lokasi di Asia Tenggara” pada 16 Ogos namun ketua rundingan damai Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorat, menafikan perkara tersebut.
“Perkara itu tidak benar. Kami tidak mengadakan rundingan itu langsung … Menyentuh tentang Pak Fakir, lelaki yang mendakwa sebagai pemimpin kanan BRN, saya tidak tahu siapa dia dan di mana beliau tinggal,” kata Udomchai kepada BeritaBenar.
Pak Fakir adalah seorang anggota BRN namun bukan jurucakapnya, menurut Abu Hafez Al-Hakim, jurucakap bagi panel yang mewakili kumpulan pemberontak yang telah terlibat dalam rundingan damai dengan kerajaan Thailand sejak 2015.
Tuntutan yang dilaporkan dibuat oleh Fakir pada Jumaat – pembebasan semua orang yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pemberontakan, dan satu siasatan yang telus berhubung penyalahgunaan pasukan keselamatan – adalah antara yang dikemukakan kepada kerajaan Thailand pada 2013, semasa satu pusingan rundingan damai berlangsung di bawah kerajaan Yingluck Shinawatra.
“Kesemua tuntutan ini dikemukakan kepada pentadbiran Yingluck oleh BRN, semasa tempoh Hassan Toyib sebagai pemimpin BRN dalam rundingan damai itu. Mereka sudah mengadakan rundingan jika kerajaan Thailand sanggup menerimanya,” kata Abu Hafez kepada BeritaBenar pada Isnin.
Kesemua rundingan itu terhenti pada 2014, sejurus sebelum kerajaan Yingluck digulingkan tentera dalam satu kudeta.
Persoalan terus menghantui sama ada kebanyakan elemen militan dalam BRN yang telah terpencar telah memeterai rundingan damai dengan kerajaan tentera pimpinan Prayuth, yang kini merupakan perdana menteri Thailand. Rundingan damai itu belum lagi disambung secara rasmi sejak beliau dilantik memegang jawatan tersebut pada April.
Kemaskini dibuat bagi menukar maklumat di para ke-10 berhubung nama ibunegara Thailand, Bangkok dan bukannya seperti dalam laporan sebelum ini, yang menyebut Kuala Lumpur.