Aktivis, kumpulan hak asasi kritik keputusan Putrajaya haram buku lucah, LGBTQ
2023.02.16
Kuala Lumpur
Aktivis hak asasi manusia di Malaysia telah mengkritik keputusan kerajaan untuk mengharamkan dua buku kanak-kanak dan sebuah novel yang mengetengahkan isu yang didakwa boleh “membawa kepada keruntuhan moral masyarakat” serta “mempromosi gaya hidup golongan LGBTQ.”
Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam telah menyaksikan kebangkitan fundamentalisme agama sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan parti konservatif PAS memenangi sejumlah besar kerusi pada Pilihan Raya Umum November tahun lepas.
Lebih memeranjatkan aktivis ialah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang dianggap liberal, dilihat cuba mengambil hati puak konservatif itu menjelang enam Pilihan Raya Negeri.
Siti Zabedah Kasim, yang juga dikenali sebagai Siti Kassim, mendakwa langkah itu adalah percubaan mengambil hati puak konservatif yang tidak menyokong kerajaan pimpinan Anwar.
“Ya, Anwar kelihatan seperti cuba memenangi hati parti konservatif itu. Beliau lupa mereka yang mengundi beliau bukan puak konservatif itu,” kata aktivis yang juga seorang peguam itu kepada BenarNews pada Khamis.
Kementerian Dalam Negeri Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa memaklumkan bahawa ia telah mengharamkan tiga buku termasuk sebuah karya tempatan yang dikeluarkan oleh penerbit bebas, Buku FIXI.
Ia mendakwa kesemua buku terbabit – dua buku kanak-kanak bertajuk ‘Tale of Steven’ karya Rebecca Sugar dan ‘Jacob's Room to Choose’ nukilan Ian Hoffman dan Sarah Hoffman yang diterbitkan pada 2019 mempromosi gaya hidup LGBT yang memudaratkan nilai-nilai murni ajaran agama serta yang didukung oleh masyarakat timur selama ini.
Sementara itu, sebuah lagi buku iaitu novel berbahasa Melayu karya Shaz Johar bertajuk ‘Aku’ didakwa mempunyai kandungan tidak bermoral serta lucah yang bertentangan dengan nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat di Malaysia.
Menjelaskan langkah pengharaman itu, Kementerian Dalam Negeri menyatakan bahawa Tindakan itu diambil kerana “kerajaan komited mencegah penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan kemoralan dalam kalangan masyarakat yang secara tidak langsung boleh menyumbang ke arah keruntuhan bangsa dan negara.”
Kesemua buku diharamkan mulai 20 Jan lepas dan mereka yang didapati memiliki, menjual, mengedar atau mencetaknya antara lain berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM20,000 (AS$4,500) atau kedua-duanya.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata tindakan yang diambil oleh kerajaan pimpinan Anwar mungkin tidak memuaskan hati para penyokong beliau namun langkah itu mungkin berhasil dari segi politik.
“Jika anda membuat perkiraan dari segi politik, jumlah orang di Malaysia yang menyokong LGBTQ tidaklah begitu ramai namun mereka yang menentang golongan itu adalah besar terutama puak konservatif Islam, jadi ia adalah berbaloi.
“Beliau mungkin ingin meraih sokongan mereka. Tindakan sedemikian bagaimanapun tidak menjadikan beliau seorang pelampau meskipun ia akan terus menindas masyarakat yang sudah terpinggir itu,” kata penganalisis sains politik itu.
Kerajaan Anwar dengan sokongan bekas musuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu serta blok politik dari Sabah dan Sarawak kini bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikuasai Parti Islam PAS serta Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan Harapan pimpinan Anwar yang akan diadakan pada tahun ini.
PAS, parti komponen Perikatan Nasional pimpinan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dilihat sebagai pejuang dan pelindung agama Islam dalam kalangan penyokongnya yang ramai. Dalam pilihan raya umum baru-baru ini, PAS meraih populariti meluas dan hampir menyapu bersih kerusi Parlimen di negeri yang penduduk majoritinya Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah sambil menjadikan kehadirannya dirasai di negeri bukan tradisi termasuk Pulau Pinang dan Perak yang sebelum ini merupakan kubu kuat Pakatan Harapan pimpinan Anwar.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata pengharaman buku itu akan menghalang Perikatan Nasional daripada menggunakan isu tersebut untuk menjejaskan peluang kerajaan Anwar bagi memenangi pilihan raya negeri.
“Sudah pasti ia tidak akan memudaratkan kerana jika tindakan itu tidak diambil, pihak yang satu lagi akan menjadikannya sebagai isu. Bagaimanapun, dengan berbuat demikian, kerajaan turut mengundang kemarahan para penyokong progresif yang melihatnya sebagai memanjakan puak pelampau,” katanya kepada BenarNews.
Sementara itu, seorang penganalisis politik James Chin yang merupakan profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania, berkata Anwar tidak boleh dipersalah berhubung keputusan mengharamkan buku terbabit namun beliau perlu memikul tanggungjawab terhadap apa yang dilakukan oleh kementerian di bawah kerajaannya sejak perkara itu tersebar.
“Saya rasa tidak mungkin Anwar mendakwa beliau tidak tahu mengenai perkara ini. Beliau perlu memikul tanggungjawab kerana beliau bimbang dengan undi orang Islam pada pilihan raya negeri akan datang.
“Dalam politik kontemporari Malaysia, adalah sesuatu yang tidak mungkin untuk mengambil pendirian neutral berhubung isu komuniti LGBTQ. Jika anda tidak dilihat sebagai tidak begitu tegas menentang komuniti itu, anda akan dituduh sebagai menyeleweng. Tiada jalan tengah berdasarkan apa yang saya tahu mengenai komuniti Islam. Semua orang perlu kelihatan berhaluan kanan,” kata Chin.
Pengharaman buku, filem dengan kandungan LGBTQ membimbangkan
Thilaga Sulathireh, pengasas bersama Justice for Sisters berkata pengharaman buku serta filem sedemikian adalah trend yang membimbangkan dan berdasarkan pemantauan mereka, sekurang-kurangnya enam buku telah diharamkan kerana mengandungi isu LGBTQ antara 2020 dan 2023.
“Selain itu, dua muzik video LGBTQ yang menampilkan kepelbagaian jantina dan artis mak nyah sedang dibicarakan di mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.
“Ini juga menunjukkan diskriminasi yang sistematik terhadap golongan ini,” katanya.
Sementara itu, Lilian Kok, seorang pengurus kanan program di All Women’s Action Society (AWAM) berkata terdapat senarai yang terlalu panjang berkaitan bahan yang dianggap mampu memudaratkan moral rakyat Malaysia yang dikeluarkan oleh setiap kerajaan.
Beliau berpandangan ini menggambarkan ketiadaan kepercayaan terhadap tahap intelek rakyat Malaysia dalam isu itu.
Menurut Lilian, pengharaman itu semestinya akan dilihat sebagai sikap tidak bertolak ansur yang berterusan dalam masyarakat yang sekali gus disokong oleh penggubal dasar yang dibuat atas alasan memelihara nilai-nilai murni.
Sebaliknya, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Islam iaitu Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memuji langkah kerajaan yang dianggap penting dalam mencegah keruntuhan akhlak dalam negara dan pada masa sama, melindungi budi pekerti generasi akan datang.
Jurucakapnya Azrul Nizah Yusof berkata pengharaman itu tidak melibatkan individu semata-mata sebaliknya negara secara keseluruhan kerana ia membabitkan golongan kanak-kanak memandangkan dua daripada buku terbabit adalah untuk mereka.
“Kanak-kanak cepat terpengaruh dengan trend dan rakan sebaya justeru, adalah penting untuk menangani masalah ini di peringkat awal bagi mengekang penularan gaya hidup LGBTQ dari awal lagi.
“Kami bukan mendiskriminasi golongan itu…sebaliknya kami tidak bersetuju dengan amalan sedemikian yang dilarang oleh semua agama kerana ia memudaratkan kesihatan fizikal dan mental,” katanya kepada BenarNews.