PM Malaysia Anwar Ibrahim menang usul undi percaya di Parlimen

Fitri Hazim, Iman Muttaqin Yusof dan Noah Lee
2022.12.19
Kuala Lumpur
PM Malaysia Anwar Ibrahim menang usul undi percaya di Parlimen Anwar Ibrahim bersama-sama pegawai dan pembantu beliau tiba untuk menghadiri sidang Parlimen pertama sebagai Perdana Menteri Malaysia. 19 Dis 2022.
S. Mahfuz/BenarNews

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim melepasi ujian usul undi percaya terhadap kepimpinan beliau di Parlimen pada Isnin sekali gus membuktikan keabsahannya sebagai ketua eksekutif negara genap sebulan selepas keputusan pilihan raya umum menyaksikan tiada parti memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.

Kejayaan itu bermakna Malaysia tidak perlu melihat kuasa Perdana Menteri bertukar tangan buat kali kelima dalam tempoh empat tahun dan pada masa sama, stabil dari segi politik ketika negara berdepan kegawatan serta kemelesetan ekonomi.

Anwar berjaya membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri pada hari pertama sidang Parlimen selepas memeterai perjanjian persefahaman kerjasama dengan blok politik lebih kecil yang menyokong kerajaan pimpinannya.

“Kerajaan hari ini telah membawa satu Usul Percaya kepada Perdana Menteri dan berjaya membuktikan keabsahan dukungan majoriti di Dewan Rakyat. Terima kasih dan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang jelas dan tegas. Kini masa untuk bekerja dan menjelmakan perubahan yang didambakan rakyat,” menurut beliau dalam hantaran di media sosial selepas undian itu.

Usul itu dibentang oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bagi menyokong kepimpinan Anwar serta dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat blok kerajaan dan pembangkang lebih tiga jam sebelum undian dilakukan. Speaker Dewan Rakyat yang baharu dilantik Johari Abdul kemudian mengumumkan bahawa usul undi percaya terhadap keabsahan Perdana Menteri diluluskan melalui suara majoriti.

Ketika membentangkan usul itu, Fadillah berkata sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri diperlukan untuk kesejahteraan rakyat, membawa kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi.

“Kerajaan Perpaduan komited untuk menggalas amanah rakyat. Kerajaan sedang giat melaksanakan segala gerak kerja termasuk menyusun strategi baharu bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial, perubahan persekitaran dan sebagainya.

“Menyedari bahawa prospek ekonomi dunia tahun hadapan dijangka mengalami kemelesetan, adalah penting Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Jumlah sokongan yang diperoleh Anwar bagaimanapun tidak dapat dipastikan selepas pembangkang di bawah blok Perikatan Nasional (PN) mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam proses pengundian, yang menyaksikan sokongan terhadap usul itu hanya ditentukan melalui undian suara.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin, ketika membahaskan usul itu, mendakwa perjanjian tersebut adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia menghalang kebebasan Ahli Parlimen dalam proses pengundian.

“Pembangkang melihat usul ini adalah gimik semata-mata apatah lagi dilakukan selepas satu perjanjian persefahaman ditandatangani semua pemimpin gabungan parti yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Adakah usul ini mempersoal kuasa dan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong atau kerana kerajaan yang dibentuk ini adalah kerajaan minoriti walaupun seperti kenyataan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa Yang Berhormat Pagoh sudah pun dalam pusingan pertama memperoleh sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya pada Isnin.

Beliau juga mendakwa perjanjian itu melanggar prinsip asas demokrasi berparlimen yang terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pada 16 Dis lepas, satu perjanjian yang dinamakan Permuafakatan Antara Gabungan membabitkan lima blok politik di bawah Kerajaan Perpaduan iaitu PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan telah ditandatangani bagi membentuk kerjasama untuk meleraikan krisis politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Antara lain, perjanjian itu menyatakan kegagalan Ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan mengundi atau menyokong Perdana Menteri membabitkan isu berkaitan usul percaya, belanjawan atau memberi kesan kepada keabsahan kerajaan dianggap meletak jawatan, yang  mencetuskan perdebatan pelbagai pihak.

Ujian Anwar sebagai PM

Undi percaya itu dilihat sebagai ujian pertama Anwar untuk membuktikan Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan kukuh dan stabil selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri dengan sokongan PH pimpinannya serta beberapa blok politik lain termasuk BN dan GPS.

Proses memanggil undi percaya di Parlimen pada Isnin merupakan yang ketiga dalam sejarah Malaysia. Kali pertama ia dilakukan ialah pada 1976 ketika negara ditadbir Perdana Menteri ketiga Hussein Onn selepas kematian Abdul Razak Hussein manakala yang kedua pada 2003 semasa peralihan kuasa daripada Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi.

Beberapa penganalisis menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti kukuh sokongan Ahli Parlimen terhadap kepimpinan Anwar.

Profesor sains politik Jayum A. Jawan dari Universiti Putra Malaysia berkata ia juga lebih teratur berbanding kaedah mengumpulkan akuan berkanun yang sering dilakukan sebelum ini.

“Ini adalah cara yang teratur dan digalakkan dalam politik. Akuan berkanun tidak suai. Undian di Parlimen adalah cara yang sah untuk melakukannya,” kata beliau kepada BenarNews.

Bagaimanapun, Jayum berkata ini tidak akan menghentikan usaha PN untuk cuba mengambil alih kuasa pada masa hadapan kerana ia adalah sebahagian daripada permainan politik dan tidak salah selagi dilakukan mengikut lunas undang-undang.

“Tetapi buat masa ini, adalah jelas Anwar mempunyai sokongan yang kukuh… Tiada siapa yang boleh mempertikai apa yang telah disahkan dalam sesi pertama Parlimen hari ini.”

Menyentuh perjanjian antara pemimpin parti untuk menyokong Anwar, beliau berkata ia bukan dokumen yang mengikat dari segi undang-undang sebaliknya lebih kepada komitmen untuk bekerjasama.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia pula percaya PN perlu menerima keputusan itu.

“Keputusan ini bermakna kerajaan Anwar adalah sah kerana telah mengikut prosedur demokrasi yang betul dalam membuktikan majoriti di Parlimen. Ia juga bermakna PN perlu menerima keputusan dan bertindak sebagai pembangkang yang kredibel,” katanya kepada BenarNews.

Bridget Welsh dari Institut Kajian Asia, Universiti Nottingham Malaysia memaklumkan BenarNews bahawa undian pada Isnin menimbulkan persoalan jumlah sebenar Ahli Parlimen yang menyokong Anwar dan PN akan menggunakan isu itu untuk mempersoal keabsahan kerajaan di masa hadapan.

“Di Parlimen hari ini, PN telah menunjukkan bahawa ia mempunyai tujuan untuk mengganggu kestabilan kerajaan dan mempersoal keabsahannya serta menyerang Perdana Menteri secara peribadi. Ini menunjukkan PN tidak bersedia menerima keputusan itu dan ia akan bekerja keras untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Mengenai kritikan PN terhadap perjanjian untuk menyokong Anwar, beliau berkata ia menimbulkan persoalan mengenai konsistensi blok itu sendiri memandangkan parti komponennya sebelum ini turut menjadi pihak yang menandatangani persefahaman serupa ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.