Doktor Berstatus Kontrak di Malaysia Akan Teruskan Rancangan Mogok

Hadi Azmi
2021.07.23
Kuala Lumpur
Doktor Berstatus Kontrak di Malaysia Akan Teruskan Rancangan Mogok Jururawat dan Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia melakukan persediaan untuk kemasukan lebih ramai pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, di Selangor, 21 Mei 2021.
S. Mahfuz/BenarNews

Ribuan doktor muda di Malaysia akan meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan mogok pada minggu depan ketika negara itu masih bergelut dengan penularan wabak COVID-19 yang semakin memburuk dengan lebih 15,000 kes baharu direkodkan pada Jumaat.

Doktor berstatus kontrak terbabit yang kebanyakannya bertugas di fasiliti merawat COVID-19 menuntut kerajaan menawarkan jawatan tetap serta faedah lain kepada mereka namun isu itu gagal dimasukkan dalam resolusi saat akhir yang ditawarkan Putrajaya kepada kumpulan tersebut pada Jumaat.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Kabinet telah bersetuju melanjutkan tempoh kontrak sehingga empat tahun kepada semua doktor kontrak sedia ada dan mereka juga akan diberi peluang mendapat Cuti Belajar Bergaji Penuh serta beberapa faedah lain yang setara dengan pegawai perubatan berjawatan tetap.

“Keputusan ini akan memberi ruang kepada Kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan,” katanya.

Keputusan itu dibuat seminggu selepas Kementerian Kesihatan membentangkan isu dan cadangan menangani ketidakpuasan hati kumpulan doktor kontrak kepada Kabinet pada 14 Julai susulan tekanan oleh gerakan ‘Hartal Doktor Kontrak’ yang memberi kata dua kepada kerajaan pada 1 Julai untuk menganjurkan mogok sekiranya isu mereka tidak diberikan perhatian oleh Kabinet.

Jurucakap gerakan itu Mustapha Kamal A Aziz ketika dihubungi BenarNews menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai “separuh masak” dan “di bawah” apa yang diharapkan mereka.

“Kami akan meneruskan dengan hartal. Daripada data kami, antara 1,500 hingga 2,000 doktor akan turut serta tetapi ramai lagi masih di atas pagar.

“Kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri adalah bersifat separuh masak. Sama ada kementerian-kementerian tidak berkomunikasi sesama mereka atau mereka tidak faham apa yang sebenarnya sedang berlaku,” katanya.

Di bawah skim perkhidmatan sedia ada, pengambilan doktor berstatus kontrak dibuat setiap tahun atau dua kali setahun tanpa sebarang indikasi yang jelas sama ada mereka bakal dijadikan pegawai lantikan tetap. Doktor kontrak juga tidak dimasukkan ke dalam sistem kemajuan kerjaya berasaskan masa yang menjadikan kumpulan itu tidak layak mendapat kenaikan gaji tanpa mengira masa bekerja dan tempoh perkhidmatan mereka.

Kumpulan itu juga tidak diberikan faedah lain seperti cuti tugas khas perubatan, cuti risiko pekerjaan, cuti bersalin dan peluang menyertai skim pinjaman perumahan yang dinikmati rakan sekerja mereka yang berstatus tetap.

Merujuk kepada tawaran Perdana Menteri untuk melanjutkan tempoh kontrak doktor yang berkelayakan, Mustapha berkata tawaran itu datang dengan syarat ketat.

Antaranya seseorang doktor mesti berusia bawah 45 tahun, mendapat sekurang-kurangnya 85 peratus markah bagi penilaian tahunan dalam tempoh tiga tahun sebelum permohonan dan tidak pernah menerima sebarang tajaan daripada Kerajaan Malaysia.

“Ia permulaan yang bagus tetapi tidak cukup. Terdapat terlalu banyak syarat dan ini menjadikan ia bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam kenyataan Perdana Menteri,” kata Mustapha.

Rasa amat tidak dihargai

Bagi yang berhasrat menyertai mogok itu memaklumkan BenarNews bahawa di sebalik imej yang diuar-uarkan mengenai pekerjaan ‘mulia’ mereka terutama selepas negara dilanda COVID-19, doktor muda di Malaysia merasakan diri mereka amat tidak dihargai.

“Doktor di Malaysia tidak dihargai selayaknya sejak dulu lagi. Mereka dibayar gaji yang rendah dan dikerah bekerja sehingga ke tahap ramai yang meninggal dunia disebabkan tekanan dan bebanan kerja terlampau banyak,” kata seorang doktor di hospital kerajaan yang meminta identitinya dirahsiakan.

Seorang lagi yang bercakap dengan BenarNews berkata status kerja bersifat kontrak yang berterusan menjadikan beliau tertekan kerana masa depan yang tidak menentu.

“Sebagai pekerja kontrak, masa depan kami tidak dijamin. Kami menghadapi isu ini selepas menghabiskan masa selama lima hingga enam tahun mengharungi pengajian dalam bidang perubatan,” kata doktor wanita itu yang turut enggan dinamakan.

Meskipun sistem kesihatan Malaysia membenarkan operasi fasiliti perubatan swasta namun jumlahnya adalah lebih kecil berbanding hospital kerajaan dan kebanyakannya juga menumpukan kepada kes khusus serta hanya menggaji doktor pakar.

“Ia lebih buruk ketika pandemik ini. Saya telah bekerja hampir setiap hari sejak bulan Mac tahun lepas dan adakalanya 33 jam dalam tempoh 48 jam. Ia tidak sihat untuk saya dan juga tidak selamat untuk pesakit,” kata doktor itu.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan memo dalaman yang memberi amaran kepada doktor kerajaan agar tidak menyertai mogok itu.

Pada 14 Julai lepas, polis menyatakan bahawa mereka telah membuka kertas siasatan terhadap seorang doktor yang memuat naik video berdurasi enam minit dan 49 saat, mempersoalkan sistem kontrak itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan berkata siasatan menunjukkan bahawa doktor itu cuba menghasut doktor lain untuk menyertai mogok tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.