Dua Orang Penting The Malaysian Insider Pula Ditahan


2015.03.31
150331-MY-EDGE-NY Wartawan menghadiri sidang media di sebuah hotel berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 19 Julai 2014.
AFP

Kedua-duanya ditahan semasa hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan susulan penahanan tiga editor kanan portal berita itu, petang Isnin.

Penahanan kedua-dua mereka mengikut akta itu, disahkan oleh Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar melalui laman Twitternya KBAB51 yang menyebut "PDRM sahkan jam 1100 pagi Selasa, telah menahan dua orang lagi kakitangan TMI untuk bantu siasatan. Tiada toleransi kepada sebarang aktiviti menghasut,".

Terdahulu, pada petang Isnin, tiga editor kanan portal berita itu, ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan mereka adalah Editor Pengurusan TMI, Lionel Morais; Editor Bahasa Malaysia, Amin Shah Iskandar dan Editor Analisis, Zulkifli Sulong.

Sementara itu, peguam yang mewakili mereka, Syahredzan Johan berkata, pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah selesai merekodkan kenyataan ketiga-tiga mereka dan juga turut mengambil kenyataan daripada Kay Tat dan Jahabar, yang pergi ke IPD, untuk memberi keterangan.

“Bagaiamanapun kedua-dua mereka ditahan, menjadikan kesemua lima wakil media itu yang ditahan polis berhubung artikel yang disiarkan itu. Polis dijadual memohon reman Rabu pagi terhadap Ho dan Jahabar, tetapi saya tidak pasti apakah dakwaan keatas mereka berdua,” katanya kepada pemberita di luar IPD seperti yang dilaporakan oleh portal berita TMI.

Difahamkan lebih 114 orang termasuk pemimpin pembangkang, aktivis dan orang ramai telah ditahan dibawah Akta Hasutan, sepanjang bulan Mac sahaja.

Sementara itu, menahanan kesemua mereka mendapat bantahan di kalangan perbagai pihak termasuk  Ahli Parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) yang tidak senada berhubung isu itu.

Nur Jazlan Mohamad Ahli Parlimen Pulai menyifatkan menyifatkan penahanan lima kakitangan TMI itu sebagai satu kesilapan dan tindakan menangkap kesemua mereka di bawah akta itu, tidak wajar dan apa yang berlaku adalah lebih kepada kesilapan membuat laporan.

“Ini hanya kesilapan bukan di bawah Akta Hasutan, sebab itu persepsi kepada kerajaan akan jadi buruk. Tangkapan adalah sebab dalam laporan bukan sebab hasutan. Tangkap dan masuk ke dalam penjara sebab kesalahan penulisan adalah tidak sepatutnya berlaku,” katanya di Parlimen hari ini.

Manakala Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz, yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata “Saya rasa mereka perlu ditahan dan disoal kerana wartawan tidak kebal dengan undang-undang. Ya saya percaya dengan wartawan, tetapi itu bukanlah lesen untuk menipu atau laporkan sesuatu yang tidak benar. Saya percaya dengan kebebasan media, tetapi saya tidak percaya dengan kebebasan untuk menipu,”

Aktivis sosial terkenal tanahair Marina Mahathir turut mempersoalkan penggunaan akta itu oleh Ketua Polis Negara dalam menahan kesemua wakil media itu.

Anak bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata, "hari yang menyedihkan bagi kebebasan media dan kita sudahpun mempunyai kebebasan terhad, bagaimana Ketua Polis Negara boleh membuat keputusan siapa yang boleh dan tidak boleh ditahan dibawah Akta Hasutan itu,”

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) membidas penangkapan itu dan berkata "Walaupun polis mempunyai hak untuk menyiasat sesiapa sahaja menerusi laporan yang dibuat kumpulan tertentu, kami, bagaimanapun merasakan bahawa Akta Hasutan disalahgunakan dalam kes ini,”

"Penggunaan akta berkaitan dengan menakut-nakutkan media dan menyekat kebebasan media, semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan ia tidak boleh diterima media tempatan mahupun orang ramai," kata Setiausaha Agungnya, Schave Jerome De Rozario.
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa) turut mengeluarkan kenyataan bersama bagi membantah penahanan tersebut.

"Jika polis mahu menyiasat TMI berhubung artikel itu, mereka boleh mengambil keterangan mereka yang terlibat tanpa perlu menahan mereka semalaman dan memohon perintah reman," menurut NGO tersebut.

Menurut laporan TMI, Lionel selepas dibebaskan mengucapkan terima kasih kepada wartawan dan pengamal media yang berada di balai polis itu, sebagai menunjukkan semangat solidariti dan berkata portal berita itu akan terus beroperasi secara profesional.

“Artikel kami akan terus bersifat profesional dan rakan-rakan yang berada di sini membawa maksud bahawa sebagai wartawan, kita tetap bersatu dan akan terus menyediakan berita yang tepat, sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi menafi mempunyai kaitan dengan arahan penangkapan editor kanan TMI termasuk ketua eksekutifnya dan penerbit The Edge.

Sebagai menteri, beliau tidak campur tangan dalam sebarang arahan polis dan operasi penahanan, sambil menambah yang urusan soal siasat berada di bawah bidang kuasa polis.

Penahanan kesemua mereka mengembalikan nostalgia Operasi Lalang yang dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia dan Kementeri Dalam Negeri pada 27 Oktober 1987, menangkap mereka yang mengeruhkan suasana politik pada ketika itu.

Dalam operasi itu, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau lebih dikenali sebagai ISA, serta pembatalan dua akhabar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.