Tiga Editor Kanan The Malaysian Insider Ditahan


2015.03.30
150330-MY-TAHAN620 Seorang penyokong pemimpin pembangkang yang bertopeng, berdiri di hadapan benteng polis semasa protes menuntut pembebasan Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur pada 28 Mac 2015.
AFP


Tiga editor kanan portal berita The Malaysian Insider (TMI), iaitu Editor Urusan Lionel Morais, Editor Berita Bahasa Malaysia Amin Iskandar, dan Editor Rencana Zulkifli Sulong ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 4 Akta hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kesemua mereka yang berusia 35 hingga 52 tahun ditahan di pejabat mereka di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, kira-kira pukul 5.45 petang waktu Malaysia.

Sementara itu, Ketua Jabataan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Zainuddin Ahmad berkata, mereka kini berada di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Katanya, penahanan dibuat oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman dengan kerjasama pasukan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) di mana pihak berkuasa juga merampas komputer riba dan telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abdul Rahman berkata, siasatan itu dibuat susulan penyiaran berita pada 25 Mac lepas, mengenai penolakan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 semasa mesyuarat pada 11 Mac lalu oleh Majlis Raja-Raja (MRR).

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad pada Khamis menafikan bahawa beliau telah mengeluarkan sebarang  kenyataan berhubung isu hudud. Beliau telah membuat laporan polis mengenainya.

Rayu Polis bebaskan ketiga-tiga Editor

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media The Edge, yang juga penerbit dan pemilik TMI, Ho Kay Tat dalam reaksi segera selepas penahanan itu, merayu kepada pihak polis supaya membebaskan ketiga-ketiga editor berkenaan kerana menurutnya, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan.

“Ketiga-tiga editor kanan itu, boleh memberi kenyataan kepada pihak polis pada bila-bila masa bila dipanggil. Kami beri kerjasama sepenuhnya, tetapi gagal meyakinkan pihak polis supaya tidak menahan ketiga-tiga editor tersebut,’’ katanya .

Minggu lepas, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional dan penggubal undang-undang, mahu tindakan tegas diambil terhadap TMI kerana menyiarkan laporan yang “tidak bertanggungjawab”,  “berbaur hasutan” dan “memutarbelitkan fakta” dalam beberapa laporan berkaitan Hudud dan Akta Hasutan.

Ketua Polis Negara itu, menerusi kemaskini akaun Twitternya, mengatakan bahawa polis akan menyoal  editor TMI yang didakwa telah membuat laporan tidak tepat dan mengelirukan.

Sementara itu pada Jumaat lepas, seorang kolumnis TMI turut disiasat berkaitan artikel yang mengkritik tindakan polis ke atas peserta perhimpunan #KitaLawan.

Khoo Ying Hooi, seorang akademik dari Universiti Malaya telah disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana dipercayai memfitnah berhubung artikel bertajuk "Who owns the police?” yang disiarkan oleh portal berita berkenaan.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.