Majlis Fatwa Malaysia Haram Sertai IS
2015.04.20
Majlis Fatwa Malaysia membuat keputusan bahawa adalah haram bagi umat Islam di negara itu, menyertai, membantu atau menyokong kumpulan militan Negara Islam (IS).
Pengerusinya Abdul Shukor Husin semasa muzakarah khas jawatankuasa majlis itu di Putrajaya pada Isnin berkata, perkara berkenaan diputuskan berikutan jihad yang menjadi pegangan gerakan itu yang mengelirukan dan tidak menepati kehendak Islam.
Keputusan itu dibuat kerana kebimbangan semakin ramai rakyat Malaysia tidak mengendahkan larangan kerajaan agar tidak menyertai IS.
Abdul Shukor berkata “Mereka pergi berjihad tetapi bukan jihad yang diiktiraf oleh Islam. Jihad dalam Islam banyak syaratnya dan bukan hanya berperang begitu sahaja, lebih-lebih lagi jika peperangannya itu tidak jelas maksudnya,”
“IS menyatakan darah orang yang menentangnya halal dan semuanya dibunuh secara keganasan dan itu adalah tidak betul dalam pandangan Islam,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan muzakarah itu.
Setakat ini sebanyak 95 orang telah ditahan kerana menyertai IS. Dua remaja berusia 14 tahun telah ditahan pada Feb dan dua minggu lalu sebelum berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan militan itu.
Abdul Shukor turut meminta mereka yang pernah terlibat dengan gerakan IS itu segera bertaubat.
“Sekiranya bersalah (menyertai IS) mereka perlu bertaubat,” katanya.
Majlis Fatwa sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa, jihad yang diperjuangkan IS adalah sesuatu yang mengelirukan dan ia melanggar ajaran Islam.
Pantau dan tutup laman web
Abdul Shukor turut memberitahu, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk memantau dan menutup laman-laman web yang mempromosi ideologi IS.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein meminta ibu bapa supaya sentiasa memberi perhatian dan memeriksa laman web yang dilayari oleh anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan kumpulan itu yang banyak menggunakan media sosial menarik minta menyertai kumpulan mereka.
Katanya, IS semakin canggih dalam melaksanakan propaganda mereka dengan menggunakan media sosial secara terang-terangan untuk mempromosikan agenda mereka itu.
Pelantar minyak dijadikan pangkalan tentera
Hishammudin juga berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjadikan pelantar-pelantar minyak yang tidak digunakan lagi, di semua perairan negara dijadikan pangkalan tentera.
Malaysia mempunyai banyak pelantar minyak di sekitar perairan Laut China Selatan antara semenanjung dan kepulauan Borneo.
“Saya telah meminta Petronas, agensi minyak kebangsaan untuk mengubah suai pelantar-pelantar minyak ini dengan kos ditanggung oleh syarikat tersebut untuk dijadikan pangkalan tentera. Ini bagi memastikan pelantar minyak itu tidak digunakan oleh elemen-elemen IS bagi memperluaskan pengaruh mereka,” katanya semasa menyampaikan amanah kepada anggota-anggota tentera dari Asia Tenggara di Kolej Pertahanan ATM pada Isnin.
Beliau menjelaskan, IS telah menggunakan pelantar-pelantar minyak di Iraq dan beberapa negara lain sebagai pangkalan mereka malahan untuk menyeludup minyak ke pasaran gelap daripada pelantar berkenaan, yang digunakan untuk membiayai agenda mereka di seluruh dunia