Malaysia Debat Rang Undang-Undang Kontroversi
2015.03.18

Sebuah parti Islam dan juga pemimpin utama parti pembangkang Malaysia pada hari Rabu memperkenalkan rang undang-undang dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan yang mencadangkan hukuman yang keras bagi mereka yang melanggar kod jenayah syariah di negeri ini.
Namun, rang undang-undang yang kononnya dipanggil rang undang-undang hudud itu diperkenalkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sedang menghadapi kritikan meluas dari luar negeri itu yang terletak di sebelah timur laut Semenanjung, termasuk mereka dari dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR).
Isu itu telah mengakibatkan ketegangan antara PAS dan juga salah satu sekutu pentingnya iaitu parti sekular yang terdiri daripada berbilang kaum Parti Tindakan Demokratik (DAP).
DAP dan juga pengkritik lain terhadap pindaan kepada kod syariah Kelantan yang dicadangkan oleh PAS memberi amaran bahawa kelulusan pindaan itu dalam sistem perundangan negeri – yang dikawal oleh parti Islam tersebut - boleh mendatangkan bahaya di peringkat kebangsaan.
"DAP membantah sekeras-kerasnya tindakan PAS Kelantan yang ... adalah sama seperti satu tindakan provokasi untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat," Agence France-Presse memetik Anthony Loke Siew Fook, setiausaha organisasi kebangsaan parti itu, sebagai berkata dalam satu kenyataan yang dihantar melalui email.
Amputasi, direjam dengan batu dan disalib
Negeri-negeri di Malaysia berfungsi dengan menggunakan dua sistem perundangan. Terdapat mahkamah syariah dan pada masa yang sama mahkamah yang mencontohi sistem British.
Namun, perlembagaan Malaysia memberi jaminan bahawa Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara sekular iaitu penduduk yang terdiri daripada pelbagai agama boleh hidup bersama dan mengamalkan agama masing-masing secara bebas.
Majoriti penduduk Malaysia ialah orang Melayu beragama Islam dan minoriti etnik Cina dan India yang bukan beragama Islam.
Rang undang-undang negeri Kelantan mencadangkan hukuman yang keras seperti amputasi, direjam dengan batu dan disalib bagi umat Islam yang didapati bersalah melanggar undang-undang syariah Kelantan.
Undang-undang syariah sepatutnya dikenakan terhadap orang Islam sahaja. Pegawai-pagawai PAS telah mengeluarkan kenyataan dalam beberapa minggu ini dengan menjamin bahawa orang bukan Islam mempunyai kekebalan daripada pendakwaan dan hukuman di bawah prosedur pindaan rang undang-undang hudud Kelantan.
Apabila rang undang-undang itu diluluskan, PAS dijangka akan memperkenalkan rang undang-undang persendirian di Parlimen "untuk membuka jalan bagi parti Islam itu melaksanakan hudud dengan meminda Perlembagaan Persekutuan," Malaysian Insider melaporkan pada hari Rabu.
Tidak berperlembagaan?
Pengkritik mendakwa bahawa pelaksanaan dan penguatkuasaan pindaan itu di peringkat kebangsaan akhirnya boleh membahagikan penduduk negara berdasarkan agama dan etnik.
"Kami berpendapat bahawa langkah ini tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan ...," dua puluh dua orang daripada kumpulan masyarakat sivil, yang mewakili pelbagai agama dan etnik, berkata dalam surat terbuka yang disiarkan dalam Malay Mail Online pada hari Selasa.
"... Kami ingin memanggil satu perbincangan dan perbahasan terbuka mengenai isu hudud. Ini kerana pelaksanaan hudud akan, tanpa sebarang keraguan, memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman agama, latar belakang etnik atau negeri tempat tinggal, semua rakyat Malaysia harus dibenarkan berbincang isu ini kerana semua adalah pihak yang berkepentingan dalam negara ini," kata kumpulan itu.
Mereka yang menandatangani surat itu termasuk Renaissance Front Islam, JIHAD untuk Keadilan, pelbagai pertubuhan Cina, Yayasan Tamil dan National Indian Rights Action Team.
"Orang bukan Islam tidak patut diam hanya kerana mereka dikatakan tidak tertakluk kepada undang-undang Islam itu. Mana-mana orang Islam yang ingin terlibat dalam perbincangan itu juga harus dibenarkan untuk berbuat demikian tanpa tauliah keagamaan mereka dipersoalkan," kandungan surat itu seterusnya menyatakan.
Sesetengah pakar perundangan bersetuju bahawa pemindaan dan penguatkuasaan undang-undang Islam di Kelantan boleh menyebabkan masalah yang lebih besar.
"Ini tidak akan membantu perpaduan negara jika perbezaan ketara diwujudkan antara orang Islam dan orang bukan Islam," The Star Online memetik Andrew Khoo, Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Malaysia, sebagai berkata.
Permintaan untuk kekalkan kesederhanaan
Masih tidak jelas lagi sama ada parti pemerintah Malaysia Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) akan menentang rang undang-undang itu.
Md. Alwi Che Ahmad, seorang wakil rakyat Kelantan dan Ketua Penerangan Umno di negeri itu, berkata bahawa parti Umno akan menyokong cadangan rang undang-undang PAS, "kerana Allah dan bukan kerana politik," mengikut laporan Malaysian Insider.
Namun, dua sekutu Umno dalam gabungan pemerintah Barisan Nasional menentang cadangan itu.
Pada hari Rabu, sayap belia Parti Gerakan Rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum - lebih dikenali sebagai Gerakan – memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, ibu negeri Kelantan, untuk mencabar sama ada kod jenayah syariah negeri itu berpelembagaan atau tidak.
"Kami percaya tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia. Ini juga tidak pernah dipersetujui apabila Malaysia dibentuk," kata Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang, mengikut laporan Malay Mail Online.
Persatuan Cina Malaysia (MCA), salah sebuah parti dalam gabungan parti pemerintah, bersungguh-sungguh menentang rang undang-undang itu.
Dalam ucapan pada hari Ahad, Presiden MCA Liow Tiong Lai memberi amaran tentang kebangkitan pelampau agama di Malaysia.
Pemimpin negara pada masa kini "mesti segera mula bekerjasama memupuk perpaduan kebangsaan dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum dan mencari jalan bagi Malaysia mencari semula semangat kesederhanaan yang disemai oleh bapa pengasas kita," katanya.
Pada akhir bulan Februari, Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah memberitahu pemberita bahawa parti keagamaan itu akan terus berjuang dalam pelaksanaan pindaan hudud.
"Walaupun kami telah menunggu 23 tahun, kami masih bersabar dalam perjuangan kami untuk melihat hudud dilaksanakan sebagai undang-undang tertinggi di Kelantan dan tiada apa-apa yang akan dapat menghalang kami, termasuk sekutu kami dalam PR," The Star memetik beliau sebagai berkata.
Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.