Malaysia: Rang Undang-Undang Hudud Lulus di Dewan Undangan Negeri Kelantan


2015.03.19
150319-MY-hudud-620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berucap dalam parlimen di Kuala Lumpur, 10 Oktober, 2014.
AFP

Ahli parlimen di Kelantan, Malaysia, sebulat suara meluluskan satu rang undang-undang kontroversi pada hari Khamis dan ini meletakkan negeri di sebelah timur laut Semenanjung itu satu langkah lebih dekat dalam penguatkuasaan satu set hukuman keras yang dibenarkan oleh undang-undang syariah.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang membentangkan rang undang-undang itu pada hari Rabu dalam badan perundangan negeri yang dikawalnya, kini merancang untuk memperkenalkan satu rang undang-undang parlimen yang bertujuan untuk menyingkirkan halangan undang-undang di peringkat persekutuan.

Undang-undang di peringkat persekutan telah menghalang PAS daripada melaksanakan hukuman tersebut sejak tahun 1993, apabila parti keagamaan itu pertama sekali cuba untuk melaksanakan kanun keseksaan Islam di Kelantan.

Jenis hukuman jenayah yang dirangka oleh rang undang-undang itu - tetapi cuma diguna pakai untuk orang Islam - termasuk amputasi kerana mencuri dan direjam dengan batu kerana berzina, Agence-France Presse melaporkan.

Perlembagaan Malaysia berunsurkan sekular melarang kanun keseksaan Islam itu daripada dilaksanakan, tetapi pegawai-pegawai PAS berharap untuk mengubahnya dengan memperkenalkan rang undang-undang persendirian di parlimen, mereka berkata, menurut laporan media tempatan.

"Kerajaan Kelantan mahu rang undang-undang persendirian itu dibawa ke Dewan Rakyat secepat mungkin, dan kami masih ada masa kerana persidangan Dewan Rakyat sekarang akan berakhir pada 9 April," agensi berita nasional Bernama memetik Penolong Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebagai berkata selepas perhimpunan itu meluluskan rang undang-undang tersebut.

"Kami hanya memerlukan majoriti mudah untuk meluluskan rang undang-undang persendirian di parlimen. Saya menegaskan sekali lagi bahawa semua ahli parlimen PAS sedar tanggungjawab mereka keapda agama untuk menyokong dan meluluskan pindaan tersebut," kata Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Menteri Besar negeri Kelantan, dengan merujuk kepada 132 ahli parlimen Islam daripada 222-kerusi di Dewan Rakyat, mengikut laporan Bernama.

Undang-undang kontroversi

PAS adalah sebahagian daripada gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan ahlinya berbelah bagi disebabkan oleh isu hudud.

Pengkritik politik Malaysia menuduh PAS bertegas melaksanakan undang-undang itu yang boleh menjejaskan perlembagaan sekular negara itu dan memarakkan perpecahan kaum dan agama di negara berbilang kaum itu, kata mereka.

Salah satu isu kontroversi itu adalah mencetuskan pemisahan gabungan parti pembangkang itu.

"PAS secara terbuka telah menunjukkan bahawa mereka tidak boleh dipercayai," AFP memetik Gobind Singh Deo, seorang ahli parlimen daripada sekutu PAS iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebagai berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

"Oleh itu, sekarang sukar bagi kami untuk mengekalkan apa-apa hubungan dengan PAS."

Sementara itu, isu tersebut juga membahagikan gabungan Barisan Nasional, pegawai-pegawai PAS meluahkan keyakinan bahawa mereka akan mempunyai undi yang mencukupi di parlimen daripada ahli-ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang paling kuat dalam gabungan parti pemerintah itu.

Di Kelantan, semua 12 ahli dewan undangan negeri yang mewakili Umno dalam badan perundangan negeri itu menyokong rang undang-undang itu.

Namun, kedudukan Perdana Menteri Najib Razak tentang isu itu masih tidak jelas pada masa kini.

Menurut Star Online, pemimpin Umno itu dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan pada hari ini Jumaat yang akan mendedahkan pendirian Barisan Nasional tentang isu itu.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat dari laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.