Persoalannya Adakah Hudud Berjaya di Parlimen
2015.03.24

Selepas retakkan dalam pakatan pembangkang, tempias isu Hudud turut terkena badinya terhadap UMNO dan barisan menteri kabinet Perdana Menteri Najib Razak.
Perdana Menteri itu, dilihat berada di dalam keadaan dilema kerana tiga menteri kabinetnya telahpun menyatakan sokongan mereka terhadap perlaksanaan Hudud manakala tiga lagi mempertikaikan perlaksanaannya.
Najib yang juga Presiden UMNO, sebelum ini, telah berjanji akan mengumumkan pendirian rasmi Putrajaya dalam isu itu, namun sehingga hari ini tiada sebarang kenyataan dinyatakan beliau.
Selain membisu, beliau juga berdepan dengan tekanan dalam menandatangani kenyataan bersama oleh 12 parti komponen Barisan Nasional (BN) lain, yang menentang pelaksanaan Hudud.
Menurut laporan Asia One Malaysia, sebuah portal Singapore Press Holding, tiga menteri barisan Kabinet Najib yang sudah
menyatakan sokongan mereka terhadap Hudud ialah menteri-menteri yang berasal dari Pantai Timur iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed (Kelantan) , Menteri Komunikasi dan Multimedia Ahmad Shabery Cheek (Terengganu) dan Menteri Pertanian dan Asas Tani Ismail Sabri Yaakob (Pahang).
Menteri Kabinet bersuara
The Malaysia Insider melaporkan, tiga lagi menteri kabinet Najib, mempertikaikan perlaksaan Hudud dan mereka adalah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Nazri yang merupakan bekas menteri bertanggungjawab dengan undang-undang, berkata Hudud tidak akan dapat dilaksanakan di Malaysia dan menyifatkan pihak yang membincangkannya sebagai "bodoh".
Katanya undang-undang Islam itu hanya akan dapat dilaksanakan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan, yang mana memerlukan dua pertiga majoriti Parlimen dan Perlembagaan sedia ada sudah jelas meletakkan bidang kuasa hukuman jenayah di bawah Mahkamah Persekutuan dan bukannya kuasa mahkamah syariah.
"Jangan bincang sesuatu yang tidak akan berlaku, ini bodoh, sesiapa sahaja yang bincang Hudud. Ini soal agama, kita tidak boleh guna 'whip', Ahli Parlimen akan mengundi menggunakan pegangan dan suara hati mereka,” katanya ketika ditemui di Parlimen.
Hudud sejak 1991
Sejak Hudud mula dijaja oleh PAS pada tahun 1991, dan berjaya dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993, perlaksanaannya yang melibatkan perundangan Hudud, qisas dan takzir, bagaimanapun tidak berjaya dikuatkuasakan.
Khamis lepas, Rang Undang-Undang Persendirian berhubung perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015), sekali lagi diluluskan dan mendapat sokongan sebulat suara oleh kesemua 45 Adun negeri itu, termasuk seorang daripada Parti Keadilan Rakyat serta 12 daripada UMNO yang berstatus pembangkang di negeri itu.
Antara Adun Barisan Nasional yang menyokong perlaksanaan Hudud di negeri itu, ialah Adun Air Lanas, Mustapa Mohamed, yang juga merupakan pengerusi UMNO Kelantan.
Sementara itu, Nancy, yang merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang di Malaysia berkata, adalah mustahil Hudud dilaksanakan di Malaysia kerana undang-undang Islam yang cuba dibawa PAS Kelantan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau yang juga seorang daripada Ahli Parlimen Batang Sadong sebuah kawasan di Sarawak, menegaskan Ahli Parlimen Sarawak yang lain, tidak akan mengundi untuk membenarkan Hudud dilaksanakan.
“Ia tidak mungkin dilaksanakan. Saya tak pasti tentang UMNO tapi di Sarawak, saya tidak fikir mereka (PAS) akan dapat undi daripada kami (Ahli Parlimen Sarawak),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.
Manakala, Khairy Jamaluddin, yang jugak Ketua Pemuda UMNO, menegaskan pendirian Putrajaya dalam isu Hudud mesti selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara ini.
Beliau berkata sebarang undang-undang dalam negara perlu berpandukan kepada Perlembagaan yang menjadi asas kepada negara Malaysia sejak merdeka.
“Negara kita berpandu kepada Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi. Jadi apa-apa undang-undang yang diluluskan mesti tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan, ini termasuklah Hudud,” katanya.
Samada keputusan pelaksanaannya, dapat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat ketika sidang kali ini yang akan tamat pada 9 April depan, dan apa kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sangat dinantikan semua pihak.
Adakah Perdana Menteri akan bersuara mengenai pendirian beliau mengenai isu Hudud sebelum berlepas ke China, dua hari lagi, untuk lawatan rasmi, apapun ia masih lagi menjadi tanda tanya.
Oleh staf BenarNews dengan maklumat dari laporan berita