Gesaan Gantung Perdagangan Tukar Barang Selepas Penculikan di Sabah

Oleh staf Berita Benar
2015.05.20
150520-MY-IGP620 Komando pasukan polis Malaysia sedang mengawal kawasan perkampungan di Lahad Datu Sabah, 19 Feb 2013
AFP

Selepas seminggu dua rakyat Malaysia diculik oleh kumpulan yang mempunyai hubungan dengan militan Abu Sayyaf di Sabah, gesaan telah dibuat supaya menggantung perdagangan tukar barang antara negeri itu dan negara Filipina, sebagai usaha mencegah pelbagai jenayah.

Agensi berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mencadangkan kepada kerajaan negeri Sabah supaya menamatkan perdagangan itu, yang sudah lama dijalankan antara masyarakat pantai timur negeri itu, dengan penduduk selatan Filipina.

Khalid berkata penjenayah rentas sempadan dipercayai berselindung di sebalik perdagangan tukar barang untuk menyusup masuk ke Malaysia dan menjalankan aktiviti jenayah mereka.

Katanya, pemansuhan aktiviti itu dapat mengurangkan kemasukan rakyat Filipina secara tidak sah di perairan pantai timur Sabah, sekali gus mengekang pihak tertentu mengambil kesempatan melakukan jenayah.

"Mungkin ada pihak yang tidak setuju dengan cadangan saya tetapi saya melihat keselamatan rakyat dan negara kita yang diancam berterusan oleh pihak ini (lebih utama)," katanya.

“Dengan pantai timur Sabah sepanjang 1,700 kilometer (1,060 batu) mustahil kita dapat kawal setiap inci pantai,” kata Khalid.

Dalam kejadian Khamis lalu, dua rakyat Malaysia, masing-masing seorang lelaki dan perempuan diculik oleh sekumpulan empat lelaki bersenjata yang menyerbu sebuah restoran makanan laut di Sandakan.

Kumpulan itu yang dikenali sebagai Muktadil Bersaudara mempunyai hubungan dengan Abu Sayyaf, yang berpangkalan di selatan Filipina serta telah melakukan banyak penculikan di perairan antara kedua-dua negara.

“Suspek terlibat dengan penculikan ini dikenal pasti dan polis akan melakukan tindakan lanjut berdasarkan maklumat diperoleh,” kata Khalid.

Beliau berkata penjenayah rentas sempadan dari selatan Filipina sering menggunakan pulau-pulau di selatan negara itu sebagai pangkalan untuk merancang dan melancarkan kegiatan jenayah di Sabah sekali gus menimbulkan ancaman keselamatan kepada Malaysia.

Khalid berkata polis mungkin menetapkan penggunaan kelas bot pada waktu-waktu tertentu di beberapa kawasan di perairan Sabah.

Bawa isu penculikan ke ASEAN

Dalam perkembangan yang sama, seorang Menteri Kabinet Malaysia mencadangkan negara itu, yang kini pengerusi ASEAN, membawa isu penculikan pada mesyuarat negara serantau itu.

“Sudah tiba masanya, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN membangkitkan kejadian pencerobohan dan jenayah penculikan di Sabah supaya negara-negara terlibat termasuk Filipina menyedari bahawa isu keselamatan negara dan rakyat adalah perkara yang perlu diambil serius,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Shafie Apdal.

"Penculikan ini sudah berlarutan dalam tempoh yang agak panjang dan ia cukup membimbangkan kita semua kerana kesannya bukan sahaja terhadap industri pelancongan malahan memberi kesan berat kepada masyarakat setempat," kata beliau yang juga ahli Parlimen Semporna.

Semporna ialah sebuah daerah di negeri Sabah, dan dikelilingi banyak pulau perangingan.

Pelu penelitian untuk henti perniagaan tukar barang

Mohd Shafie juga meminta supaya cadangan untuk menghentikan aktiviti perniagaan menggunakan sistem pertukaran barangan itu, diteliti keberkesanannya sebelum dilaksanakan.

Sementara itu beberapa ejen perdagangan barter di Sandakan, rata-rata tidak bersetuju dengan cadangan ketua polis negara itu, dengan menyatakan ia menjadi sumber utama ekonomi bagi golongan peniaga tempatan di daerah berkenaan.

Biarpun masih mengekalkan nama sistem 'barter trade', aktiviti perniagaan melibatkan wang dan peniaga Malaysia mengeksport barang keperluan ke Filipina terutama di kawasan selatan negara jiran itu, kata seorang ejen perdagangan itu, Ali Rahman.

Beliau yang berusia lingkungan 50-an berkata pelaksanaan sistem barter merupakan aktiviti perniagaan utama di daerah itu dan beliau merupakan orang lama dalam bidang berkenaan sejak ia diperkenalkan bertahun lamanya.

Katanya beliau pernah berniaga secara bertukar barang dengan peniaga dari selatan Filipina, tetapi sekarang cara perniagaan berubah mengikut perkembangan semasa iaitu melalui pengeksportan barang keperluan dari negara ini ke pulau di perairan selatan Filipina antaranya di Pulau Jolo, Tawi-Tawi dan Pulau Bongao.

"Antara barang keperluan yang dieksport antaranya beras, gula, tepung dan minyak masak. Barangan ini menjadi sumber utama kepada keperluan penduduk di selatan Filipina.

"Jarak yang dekat menjadi faktor utama penduduk di selatan Filipina mendapatkan barangan keperluan dari daerah ini berbanding jika mereka mendapatkan barangan dari Manila," katanya

Pada Julai tahun lepas, lelaki bersenjata dari Filipina membunuh anggota polis dan menculik seorang wanita dari pusat peranginan Mabul, juga di timur Sabah.

Tiga bulan sebelum itu, dua orang wanita termasuk seorang rakyat China diculik dari sebuah pusat peranginan di Semporna.

Pada tahun 2013, seorang pelancong terbunuh manakala isterinya diculik dari sebuah peranginan di pulau Sipadan berhampiran Sandakan.

Lebih daripada 20 orang termasuk pelancong telah dijadikan tebusan oleh Abu Sayyaf di sebuah pusat peranginan di Sipadan pada tahun 2000.

Oleh staf Berita Benar dengan maklumat daripada laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.