Pencerobohan Data Jabatan Imigresen Tunjuk Kelemahan Sistem Keselamatan Negara - PAC

Sebanyak 20 laporan polis telah dibuat sejak 2017 tetapi sehingga kini masih menunggu hasil siasatan, kata pengerusi jawatankuasa itu.
Hadi Azmi dan Nisha David
2020.11.24
Kuala Lumpur
MY_1000.jpg Suasana di bangunan ibu pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya pada 27 Dis 2019.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Jaringan komputer di Jabatan Imigresen Malaysia telah diceroboh oleh penggodam yang mencuri identiti, mewujudkan kuota palsu untuk pekerja asing dan membenarkan pihak pengantara mengakses maklumat sensitif, demikian menurut laporan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Parlimen pada Selasa.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata pencerobohan data itu menunjukkan kelemahan dalam sistem keselamatan negara.

“PAC Parlimen mendapati ID pengguna telah didakwa dicuri dan disalahgunakan untuk mewujudkan kuota palsu dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs). Insiden di mana sistem begitu mudah dicerobohi menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem keselamatan sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara. Sebanyak 20 laporan polis telah dibuat sejak 2017 tetapi sehingga kini masih menunggu hasil siasatan,” katanya.

MyIMMs adalah sistem utama Jabatan Imigresen yang merekodkan jumlah warga asing mahupun rakyat Malaysia yang keluar masuk ke negara ini dan ia sudah digunakan lebih 20 tahun.

Laporan itu adalah sebahagian daripada audit yang dimulakan pada 10 Okt tahun lalu berhubung isu pengendalian pendatang asing di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia berdasarkan penemuan Laporan Ketua Audit 2018 yang telah dibentang pada Julai 2019.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mendapati berlaku manipulasi dan penipuan dalam MyIMMs bagi kelulusan kuota pekerja asing sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada negara.

Berdasarkan audit, berlaku manipulasi dalam MyIMMs yang mana kuota diwujudkan kepada 123 syarikat untuk membawa masuk pekerja asing adalah kelulusan palsu.

Analisis laporan audit mendapati seramai 21,378 pekerja asing daripada 32,424 kuota yang diwujudkan secara tidak teratur telah mendapat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata pihaknya sedang membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISE) bagi menggantikan MyIMMs untuk meningkatkan keupayaan mengesan pergerakan keluar masuk warga asing.

Pada 25 Julai 2019, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengakui berlaku manipulasi dan penipuan bagi kelulusan kuota pekerja asing dalam MyIMMs dan jabatan itu dalam proses membangunkan NIISE bagi menggantikan sistem tersebut.

Mengulas lanjut, Wong berkata panitia itu juga bimbang dengan kewujudan ‘pengantara’ dalam proses imigrasi dan persetujuan pengambilan pekerja asing melalui ‘izin khas’ yang membelakangkan tujuan menetapkan kuota pengambilan pekerja.

"Amalan seperti itu bertentangan dengan tujuan awal bagi mendapatkan persetujuan untuk menggaji pekerja migran iaitu memberikan saringan yang ketat untuk kelayakan," katanya.

Beliau berkata PAC juga mendapati wujud kelemahan sistem yang menyebabkan PLKS dikeluarkan kepada pekerja yang gagal dalam pemeriksaan oleh Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

"Tiada rekod disimpan mengenai penghantaran pulang sebahagian pekerja asing yang gagal pemeriksaan FOMEMA. Perkara ini akan menyebabkan wujud risiko penularan penyakit berjangkit kepada penduduk tempatan," katanya.

Jabatan Imigresen ketika diminta mengulas perkara itu bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan.

"Setakat ini kami tidak ada apa-apa untuk dinyatakan, jika ada kami akan maklumkan," kata seorang jurucakap agensi itu kepada BeritaBenar.

Pendedahan mengenai kelemahan sistem itu, terutama Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan MylMMs, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan pemerhati kerana ia mempunyai kaitan dengan program pengambilan pekerja asing tanpa dokumen yang dilancarkan pada 16 Nov lepas.

Program itu, dikenali sebagai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di bawah Pelan Rekalibrasi PATI, memerlukan majikan menggunakan kedua-dua sistem untuk meregularisasikan PATI di negara ini sebagai pekerja asing sah digajikan majikan yang layak berdasarkan syarat ditetapkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Manusia.

Kaji semula program rekalibrasi tenaga kerja

Bercakap kepada BeritaBenar, Glorene Dass daripada Tenaganita berkata kebocoran data itu menunjukkan wujud keperluan untuk mengkaji semula program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Buat masa ini, kita harus mengkaji program rekalibrasi yang telah dilancarkan minggu lalu oleh Kementerian Dalam Negeri. Kami mempunyai banyak kebimbangan sekarang selepas mengetahui mengenai isu kebocoran data ini,” katanya.

Menjelang pelancaran program itu, Tenaganita telah memulakan kempen untuk memberi amaran kepada pekerja asing tidak berdokumen agar tidak tergesa-gesa mendaftar kerana bimbang ada ejen yang akan mengambil kesempatan.

“Kami masih memiliki banyak persoalan yang belum terjawab mengenai program baharu untuk mereka yang tidak berdokumen itu. Jangan tergesa-gesa untuk membayar kepada sesiapa. Harap tunggu sehingga kami mempunyai maklumat rasmi yang sudah disahkan," menurut Tenaganita dalam poster yang dimuat naik di akaun media sosialnya.

Poster itu dihasilkan dalam pelbagai bahasa termasuk Nepal, Benggali, Tagalog, Indonesia dan Inggeris.

Adrian Pereira daripada Inisiatif Utara-Selatan pula berkata beliau amat terkejut dan sedih melihat penyalahgunaan sistem oleh penjawat awam ketika kerajaan terus menindas pekerja asing tanpa dokumen.

“Ini adalah hipokrasi daripada pihak mereka. Kita mesti menghentikan semua serbuan dan penahanan warga asing sehingga kita menyelesaikan masalah ini. Sayang sekali kita telah membiarkan begitu banyak penyalahgunaan berlaku meskipun terdapat kos ekonomi dan sosial akibat semua ini, ”katanya kepada BeritaBenar.

Beliau juga berkata kebocoran data dan jumlah pendatang dalam sistem itu yang tidak tepat memungkinkan berlakunya ledakan di kilang haram di negara ini.

"Selangor sahaja mempunyai lebih 5,000 kilang haram," katanya.

Sementara itu, seorang timbalan pengarah Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah antara tiga pegawai agensi tersebut yang ditangkap kerana disyaki terlibat dengan sindiket memalsukan cap sempadan dokumen perjalanan, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dilaporkan agensi berita Bernama pada Sabtu.

Dilaporkan setakat ini, seramai 53 individu termasuk 33 pegawai Imigresen di KLIA, klia2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru, Johor telah ditahan di bawah Ops Selat yang dilancarkan pada 16 Nov.

Ops Selat, yang dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen, melibatkan serbuan di Putrajaya; Johor Bahru, Kuching di Sarawak dan Kota Kinabalu di Sabah di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.