Kabinet Malaysia Arah Siasatan Keatas Penunjuk Perasaan Anti Salib

Oleh Hata Wahari
2015.04.21
150421-MY-KABINETSALIB620 Penganut agama Kristian di Malaysia mengambil bahagian dalam upacara pemujaan di sebuah gereja di Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur pada 10 Januari 2010
AFP

Perdana Menteri Najib Razak pada Selasa mengarahkan polis menjalankan siasatan terhadap kumpulan yang mengadakan tunjuk perasaan menuntut lambang salib diturunkan di sebuah gereja di Taman Medan, Petaling Jaya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, beliau berkata “Jika mereka di dapati bersalah melanggar undang-undang negara, tindakan boleh diambil di bawah Akta Hasutan atau undang-undang sedia ada.

“Akta Hasutan bertujuan menjamin keamanan dan keharmonian kaum di negara ini dan ia melindungi semua agama dan kaum, ” katanya.

Dalam kejadian pada hari Ahad, 50 orang berkumpul di luar gereja, yang terletak di sebuah rumah kedai, menuntut lambang salib yang dipasang di rumah ibadat itu dikeluarkan.

Mereka yang menyertai tunjuk perasaan itu berkata kewujudan salib di kawasan majoriti orang Melayu itu merupakan satu cabaran kepada agama Islam dan boleh menjejaskan akidah anak muda.

Pihak gereja yang tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku menurunkan lambang salib beberapa jam selepas protes itu.

Seorang daripada pemimpin yang hadir pada tunjuk perasaan itu ialah Abdullah Abu Bakar, iaitu abang kepada Khalid yang juga merupakan ketua cawangan Umno Taman Lindungan Jaya. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) merupakan parti tulang belakang dan parti terbesar di Malaysia.

Isu salib dibincang di Kabinet

Najib berkata Kabinet berpendapat bahawa mereka sepatutnya berbincang dengan pihak yang berkenaan jika mempunyai sebarang bantahan dan tidak mengambil tindakan yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Katanya, rakyat mestilah sentiasa mematuhi undang-undang negara dan menghormati amalan beragama seperti termaktub dalam perlembagaan, selain mengamalkan sikap toleransi serta saling hormat-menghormati antara agama.

Pada Isnin, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahidi Hamidi dan Khalid memberi kenyataan yang bercanggah samada tindakan perlu diambil terhadap kumpulan penunjuk perasaan itu.

Ahmad Zahid berkata, peserta demontrasi itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan kerana ia melibatkan sensitiviti agama sementara

Khalid berkata tiada unsur jenayah berhubung isu menurunkan simbol salib di gereja itu.

Gereja tiada permit

Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), iaitu pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab bagi daerah Petaling Jaya di negeri Selangor, mengesahkan bahawa gereja itu beroperasi secara haram kerana tidak membuat permohonan bertulis untuk beroperasi sebagai rumah ibadah.

MBPJ turut memaklumkan bahawa unit kedai komersil di Metro Square PJS2B / 3 itu, tidak mempunyai permit untuk meletakkan salib pada bangunannya.

Mengenai premis yang dijadikan gereja itu, Najib berkata, kerajaan Selangor berkuasa ke atas status rumah kedai terbabit sama ada ia telah didaftar sebagai rumah ibadat dan diberi kebenaran untuk beroperasi.

Menurut laporan akhbar The Star, Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria berkata, rumah kedai yang digunakan sebagai gereja tidak pernah membuat permohonan bertulis untuk beroperasi sebagai rumah ibadah.

Namun begitu, Zainun menerangkan, gereja itu masih boleh membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan lesen sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang kerajaan tempatan.

Jelasnya, semua tempat-tempat ibadat yang ingin memaparkan logo atau simbol pada bangunan juga hanya boleh dilakukan dengan permit.

Bagaimanapun kenyataan itu bercanggah dengan pendirian Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perhubungan Bukan Islam Negeri Selangor, Elizabeth Wong, seorang pemimpin dalam pentadbiran negeri itu yang berkata sejak 2008 kerajaan negeri tidak mewajibkan rumah ibadat bukan Islam di unit komersial mendapatkan permit.

Kata Wong, mana-mana pihak yang ingin menukar status unit komersial menjadi rumah ibadat hanya perlu memaklumkan Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam (Hesi).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa ditemui pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur pada Selasa berkata kes bantahan penduduk terhadap lambang salib di Petaling Jaya itu akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata peguam negara akan menentukan sama ada kes itu boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atau sebaliknya.

"Penilaian sama ada mereka yang terbabit itu melakukan kesalahan, itu bukan soal polis dan bukan soal individu tertentu, ia adalah soal yang diserah bulat-bulat kepada peguam negara.




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.