Kerajaan Malaysia zahir komitmen keluarkan kanak-kanak dari depot tahanan imigresen

Saifuddin Nasution berkata perbincangan sedang dilakukan bagi mencari jalan terbaik untuk melaksanakan perkara itu.
Iman Muttaqin Yusof dan Iskandar Zulkarnai
2023.02.16
Kuala Lumpur
Kerajaan Malaysia zahir komitmen keluarkan kanak-kanak dari depot tahanan imigresen Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail diapit oleh Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya, 9 Dis 2022.
[S.Mahfuz/BenarNews]

Malaysia pada Khamis mengumumkan bahawa kanak-kanak akan dikeluarkan dari depot tahanan imigresen untuk diletakkan di bawah jagaan badan hak asasi, keputusan yang disambut baik oleh para aktivis.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun tidak menyatakan dengan tepat jumlah kanak-kanak yang berada di pusat tahanan itu selain sama ada mereka akan dibebaskan bersama ibu masing-masing sebaliknya menzahirkan komitmen untuk mendapatkan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kanak-kanak.

“Kita akan mengkaji segala kemungkinan. Keputusan politik adalah untuk mengeluarkan mereka. Ke mana kita akan tempatkan mereka?

“Mungkin mereka akan ditempatkan di bawah jabatan atau agensi kerajaan ataupun NGO yang memperjuangkan isu ini. Kita akan lalui semua proses yang betul,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Beliau berkata inisiatif itu sememangnya sentiasa menjadi agenda kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah diberi taklimat mengenai cadangan tersebut untuk mendapatkan pandangan beliau.

“Libat urus saya dengan pelbagai agensi termasuk di bawah kementerian saya dengan badan bukan kerajaan telah bermula sejak hari pertama saya menjejakkan kaki ke pejabat.

“Kita telah membuat keputusan dasar dan langkah selanjutnya adalah mengenal pasti dari sudut undang-undang bagaimana ia dapat dilakukan. Saya akan mendapatkan panduan berhubung perkara ini,” katanya.

Kesihatan mental

Baru-baru ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyuarakan kebimbangan berhubung kebajikan 36 kanak-kanak yang ditahan di depot imigresen di Negeri Sembilan.

Menurut Suhakam, kanak-kanak terbabit termasuk bayi berusia dua bulan adalah antara 67 pendatang tanpa izin dari Indonesia yang ditahan di depot itu.

Mereka ditahan dalam serbuan di penempatan haram Nilai Spring pada 1 Feb lepas.

Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad berkata serbuan itu meninggalkan kesan mendalam terhadap kesihatan mental kanak-kanak justeru, Jabatan Imigresen perlu lebih peka terhadap sensitiviti dan kerentatan mereka.

Berdasarkan jawapan Menteri Dalam Negeri terdahulu kepada Parlimen, setakat 12 Julai 2022, terdapat sejumlah 1,764 kanak-kanak dalam tahanan Imigresen Malaysia, yang terdiri daripada 997 lelaki dan 768 perempuan.

Program alternatif

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia pada Khamis menyambut baik pengumuman Saifuddin Nasution.

“Kami bersedia untuk menyokong kerajaan, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti dalam usaha ke arah menamatkan penahanan imigresen melibatkan kanak-kanak,” menurut Unicef Malaysia dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.

Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said turut menzahirkan sokongan terhadap pengumuman itu.

“Saya memuji dan menyokong keputusan menteri tersebut. Program Alternatif Kepada Penahanan (ATD) bagi kanak-kanak yang tidak ditemani (ahli keluarga) mesti digerakkan semula selaras dengan komitmen kerajaan Malaysia terhadap Konvensyen Hak Kanak-Kanak (KHKK)," ciapnya di laman Twitter.

Aktivis hak kanak-kanak Malaysia Hartini Zainudin pula bersyukur kerana akhirnya seorang menteri mengakui hakikat bahawa kanak-kanak tidak boleh dan tidak sepatutnya ditempatkan di pusat tahanan.

“Inilah buat pertama kalinya seorang Menteri Dalam Negeri menyatakan bahawa tidak adil untuk meletakkan kanak-kanak di bawah tahanan. Ia seperti Tuhan mendengar doa kami,” kata Pengasas Yayasan Chow Kit, sebuah NGO, kepada BenarNews.

Bagaimanapun, status semasa ATD masih belum jelas.

Hartini mengakui perjalanan untuk melaksanakan dasar itu sepenuhnya masih jauh dan beliau berkata bayi serta kanak-kanak perlu diberi keutamaan untuk dikeluarkan dari pusat tahanan.

“Sebagai contoh program ATD, ia telah diluluskan tahun lepas oleh Kabinet namun memerlukan persetujuan pentadbiran baharu untuk menggerakkan semula program itu dan mengeluarkan kanak-kanak tersebut.

“Kita bernasib baik kerana Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri akan meluluskannya kali ini,” katanya.

Seorang lagi aktivis hak asasi manusia Glorene Dass turut menyifatkan keputusan itu sebagai langkah terbaik oleh Saifuddin dan kementeriannya.

“Terdapat lebih 1,700 kanak-kanak di depot tahanan yang berlainan. Mereka tidak sepatutnya berada dalam depot tahanan, tidak kira apa juga status mereka. Mereka mesti ditempatkan di pusat dan rumah perlindungan. Itu adalah langkah yang tepat,” kata Glorene yang juga Pengarah Eksekutif Tenaganita, NGO yang memperjuang hak wanita, migran dan pelarian, kepada BenarNews.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan KHKK perlu dibuat secara komprehensif bagi memastikan kumpulan rentan dan terpinggir turut mendapat pembelaan sewajarnya.

“Biarpun ada KHKK, ia hanya ‘berkesan’ apabila melibatkan komitmen terhadap kanak-kanak warganegara Malaysia serta pemastautin namun tidak merangkumi mereka yang tergolong dalam kumpulan rentan dan terpinggir.

“Kita (Malaysia) adalah penandatangan KHKK justeru, kita mempunyai kewajipan untuk memberikan (perlindungan) yang terbaik untuk kanak-kanak,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.