Malaysia kuat kuasa undang-undang larangan jual vape bawah umur pada Jun

Kaji selidik pada 2023 mendapati pengguna rokok elektronik seawal usia 15 tahun meningkat 600 peratus dalam tempoh 12 tahun.
Ahmad Mustakim Zulkifli dan Helmi Foad
2024.05.16
Kuala Lumpur
Malaysia kuat kuasa undang-undang larangan jual vape bawah umur pada Jun Seorang peniaga kedai vape menyedut cecair perisa bagi kegunaan rokok elektronik di Kampung Baru, Kuala Lumpur, 9 November, 2021.
[S.Mahfuz/BenarNews]

Malaysia bakal menguatkuasakan undang-undang larangan jualan rokok elektronik atau vape kepada individu bawah umur mulai bulan depan, kata Menteri Kesihatan selepas tinjauan yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan penggunaan alat itu meningkat 600 peratus dalam tempoh 12 tahun dengan golongan berusia 15 hingga 24 tahun adalah pengguna paling tinggi.

Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 yang melibatkan 4,269 responden menunjukkan penggunaan vape meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus tahun lepas.

"Pengguna rokok elektronik melibatkan lebih ramai orang muda dengan kumpulan usia 15 hingga 24 tahun yang meningkat kepada 8.6 peratus tahun lepas berbanding 1.1 peratus pada 2011,” menurut tinjauan itu. 

Tinjauan itu turut mendedahkan kelompok dwipengguna rokok elektronik dan rokok tembakau meningkat kepada 3.9 peratus tahun lepas berbanding 0.8 peratus pada 2011.

Dzulkefly Ahmad berkata Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang diwartakan pada Februari lepas akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai Jun ini.

"Kita laksanakan bermula Jun 2024 sebagai respons kepada peningkatan vape sebab dalam Akta Kawalan Produk Merokok, ia juga adalah Akta Kawalan Vape dan kita harapkan dengan perintah dan peraturan, kita dapat tangani peningkatan vape dan rokok," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya pada Khamis.

Sebelum ini, akta itu menggugurkan beberapa peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) yang menurut Kerajaan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta boleh dicabar.

Tahun lepas, kerajaan dikritik kerana mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin daripada Akta Racun 1952 bagi tujuan percukaian.

Akta itu termasuk larangan mengiklankan produk tembakau dan individu yang didapati bersalah berdepan hukuman maksimum denda RM20,000 (AS$4,273) atau penjara dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua, denda RM30,000 (AS$6,410) atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini, akta berkenaan mempunyai peruntukan berhubung larangan penjualan rokok kepada mereka yang lahir selepas 1 Jan 2007 namun diganti dengan golongan bawah umur dan hukuman sama dikenakan bagi kesalahan itu.

Selain itu, tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau dilarang dijadikan pemberian atau hadiah.

Akta itu turut memperuntuk kuasa kepada Menteri untuk mengisytihar mana-mana bangunan, tempat atau kenderaan sebagai kawasan larangan merokok.

Dzulkefly pada sidang Parlimen Mac lepas juga berkata pengguguran GEG tiada kena-mengena dengan pengaruh pelobi vape.

Dapatan GATS mendedahkan tiga punca utama penggunaan vape semakin diterima iaitu terdapat perisa yang digemari, dianggap kurang berbahaya dan lebih dinikmati berbanding rokok tembakau.

Seorang lelaki menghisap rokok di luar sebuah restoran di Kajang, Selangor, 30 Nov 2023. [S.Mahfuz/BenarNews]
Seorang lelaki sedang merokok di luar sebuah restoran di Kajang, Selangor, 30 November 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Dapatan itu mendedahkan purata perbelanjaan rokok sebulan ialah RM178 (AS$38) bagi kategori nasional, RM195 (AS$41) bagi bandar dan RM136 (AS$29) bagi luar bandar.

Dalam pada itu, seorang pakar kesihatan awam mengkritik pengumuman itu yang disifatkan hanya kenyataan umum.

"KKM patut membentangkan pelan gerak kerja bukan kenyataan umum akan melaksanakan. Kita sudah banyak buang masa dan tenaga berbincang isu vape tetapi pihak industri terus mempromosi produk dengan hebat dan berleluasa,” kata Zainal Ariffin Omar.

Kegagalan kempen pencegahan merokok

Beliau berkata peningkatan jumlah penghisap vape adalah bukti kegagalan kempen pencegahan merokok walaupun KKM mempunyai data manakala pendekatan pendidikan kesihatan sedia ada dilihat terlalu lemah dan tidak diikuti oleh orang awam serta golongan remaja.

"Pembubaran Lembaga Promosi Kesihatan atau MySihat adalah satu kesilapan besar dan tanggungjawab yang lebih berfokus tidak dapat diambil alih oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM," katanya.

Menurut tinjauan itu, kedai runcit dan kedai serbaneka adalah premis yang sering dikunjungi oleh perokok untuk membeli bahan nikotin tersebut.

Tinjauan itu turut mendedahkan dua daripada lima perokok tidak berminat untuk berhenti daripada tabiat itu manakala 41 peratus tiada rancangan untuk berhenti merokok.

Cubaan untuk berhenti merokok juga tidak banyak berubah pada 2011 iaitu 48.6 peratus berbanding 2023 (49.3).

Sementara itu, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada 2015 telah memutuskan bahawa Vape adalah haram bagi umat Islam.

Media tempatan pula melaporkan bahawa industri vape di Malaysia mencecah RM2.49 bilion (AS$531 juta) pada tahun lepas.

Pada 2019, Malaysia telah menguatkuasakan larangan merokok di restoran dan kompaun sebanyak RM250 (AS$53) dikenakan kepada pesalah.

Mereka boleh didakwa di mahkamah jika gagal membayar kompaun dan berdepan denda maksimum RM10,000 (AS$2,136) atau penjara dua tahun.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.