Lesen Lynas dilanjutkan namun dilarang hasilkan sisa radioaktif di Malaysia
2023.02.15
Kuala Lumpur
Malaysia melanjutkan lesen pelombong nadir bumi Lynas untuk tempoh tiga tahun lagi namun melarang syarikat Australia itu daripada terus menghasilkan sisa radioaktif di negara berkenaan bermula Julai depan, langkah yang disifatkan oleh pegawai atasan sebagai bukanlah satu kejutan memandangkan kerajaan sekadar melaksanakan prasyarat yang ditetapkan pada 2020.
Para aktivis alam sekitar memaklumkan BenarNews bahawa pendirian tegas Malaysia itu adalah langkah yang tepat biarpun berdepan tekanan untuk membatalkan syarat tersebut.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata sejak memulakan operasi di Malaysia pada 2012, Lynas telah menghasilkan kira-kira 1.08 juta tan metrik sisa radioaktif dan jumlah itu dijangka mencecah 1.2 juta menjelang Julai 2023.
“Kami masih membenarkan mereka beroperasi. Kami hanya meminta mereka menutup loji pemecahan dan larut lesap yang merupakan sebahagian daripada operasi mereka.
“Tiada unsur kejutan di sini kerana terma-terma ini adalah syarat yang sama ditetapkan sejak 2020. Mereka sememangnya telah mengetahui tentang terma-terma tersebut,” katanya kepada media di Kuala Lumpur pada Rabu.
Beliau berkata pada 2020, pentadbiran Perdana Menteri Mahathir Mohamad menetapkan syarat bahawa aktiviti pemecahan dan larut lesap yang menghasilkan sisa radioaktif akan dijalankan di Australia, bukan di loji Lynas Advanced Materials Plant di Gebeng, Pahang selepas Julai 2023.
“Kerajaan Perpaduan komited dalam mewujudkan persekitaran mesra perniagaan di samping memahami kepentingan industri nadir bumi. Bagaimanapun, tiada mana-mana pihak yang berhak untuk berterusan menghasilkan sisa radioaktif di tanah air kita,” katanya.
Selain prasyarat itu, Chang berkata aktiviti yang tidak melibatkan penghasilan sisa radioaktif dibenarkan untuk terus beroperasi.
Pada Selasa lepas, Chang berkata Lembaga Perlesenan Tenaga Atom telah memaklumkan Lynas secara rasmi berhubung keputusan melanjutkan lesen operasinya hingga 3 Mac 2026 namun menolak permohonan pelombong itu untuk mengetepikan empat prasyarat yang melibatkan pengurusan residu radioaktif sisa penulenan air larut lesap, aktiviti pemecahan dan larut lesap di loji Gebeng selepas Julai 2023.
BenarNews cuba menghubungi Lynas namun belum menerima sebarang maklum balas.
Sehari sebelum itu, selepas dimaklumkan mengenai keputusan pelanjutan lesen dan penolakan terhadap permintaan untuk melupuskan prasyarat yang ditetapkan pada 2020, Lynas berkata lojinya adalah selamat serta merancang untuk memfailkan rayuan kepada kerajaan Malaysia.
“Selepas beroperasi secara selamat selama 10 tahun di Malaysia, kami kecewa kerana syarat-syarat yang dikenakan ke atas lesen operasi kami masih kekal. Ini adalah lesen operasi kami yang keenam, sedangkan keempat-empat lesen yang diluluskan sebelum tahun 2020 tidak melibatkan syarat-syarat berkenaan.
“Walaupun syarat-syarat ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai, ia seharusnya konsisten dengan syarat-syarat yang ditetapkan kepada Lynas apabila dijemput untuk melabur di Malaysia di samping dapatan empat kajian saintifik bebas yang merumuskan bahawa operasi kami di Malaysia adalah berisiko rendah serta mematuhi peraturan.
“Kami akan meneruskan rayuan menerusi proses rayuan pentadbiran dan perundangan bagi memastikan Lynas dilayan secara adil dan saksama sebagai Pelabur Langsung Asing serta majikan dan penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Amanda Lacaze dalam satu kenyataan.
Ditanya mengenai perancangan Malaysia berhubung jumlah besar sisa yang dihasilkan oleh Lynas, Chang berkata fasiliti pelupusan kekal (PDF) sedang dibina bersebelahan loji.
“Ia sedang berjalan. Setakat ini, ia telah 32 peratus siap. Kami sedang memantau dan ini adalah antara syarat iaitu mereka perlu membina PDF untuk melupuskan apa sahaja yang mereka ada sekarang dan juga apa sahaja yang akan mereka hasilkan hingga Julai 2023,” katanya.
Beliau berkata walaupun fasiliti itu terletak berdekatan kawasan kediaman, kerajaan memberi jaminan bahawa ia adalah selamat.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia Ahmad Ismail pula berkata pakar telah menyuarakan kebimbangan mereka berhubung pencemaran radioaktif dan kimia lain yang berterusan akibat aktiviti pemecahan serta larut lesap di loji Lynas.
“Saya yakin pihak kerajaan telah menjalankan kajian yang mengikut prosedur standard. Sekiranya ia sesuatu yang baik untuk alam sekitar dan kesihatan awam maka seharusnya ia adalah keputusan yang baik,” katanya kepada BenarNews.
Bagi Mageswari Sangaralingam, aktivis alam sekitar daripada Sahabat Alam Malaysia, sejak Lynas memulakan operasi di negara ini, semua sisa radioaktif terkumpul disimpan di dalam loji yang terletak di kawasan terdedah kepada banjir dan paya gambut.
“Justeru kerajaan membuat keputusan tepat untuk tidak tunduk kepada tekanan bagi membatalkan syarat-syarat yang telah ditetapkan berhubung pemindahan aktiviti pemecahan dan larut lesap keluar dari Malaysia.
“Pilihan terbaik dalam melindungi kesihatan awam dan alam sekitar adalah untuk memindahkan semua sisa kembali ke Australia memandangkan keadaan alam sekitar di negara mereka lebih baik, dengan sisa-sisa berkenaan disimpan di kawasan separa gersang dan terpencil berbanding lokasi di Malaysia,” katanya kepada BenarNews.
Loji Lynas di Malaysia mula beroperasi hampir 10 tahun lepas di sebalik bantahan para aktivis dan kumpulan pencinta alam serta penduduk tempatan.
Produk nadir bumi yang dihasilkan oleh Lynas – pengeluar terbesar dunia selain China – adalah sumber strategik antarabangsa kepada Amerika Syarikat, Australia serta Jepun dan ia digunakan dengan meluas dalam pembuatan telefon pintar, kereta elektrik, enjin untuk pesawat pejuang dan sebagainya.