Malaysia Nafi Sekat Kemasukan Atlet Israel Atas Faktor Diskriminasi

Menteri Belia dan Sukan berkata sekatan itu adalah kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomasi dengan Israel.
Noah Lee dan Nisha David
Kuala Lumpur
2021-11-30
Share
Malaysia Nafi Sekat Kemasukan Atlet Israel Atas Faktor Diskriminasi Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berucap ketika sesi pengulungan perbahasan Bajet 2022 di Parlimen, Kuala Lumpur pada 30 Nov 2021.
[Gambar Ihsan Pejabat Menteri Belia dan Sukan]

Kerajaan Malaysia pada Selasa menafikan bahawa ia mendiskriminasi atlet Israel apabila tidak membenarkan mereka memasuki negara ini untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Skuasy Antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur minggu depan.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata sekatan itu adalah kerana Malaysia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomasi sekali gus menyebabkan mereka tidak dibenarkan memasuki negara ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) membatalkan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia bagi kategori lelaki yang sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur dari 7 hingga 12 Dis ini.

"Semua orang satu dunia ini faham bahawa negara kita tidak ada hubungan diplomasi dengan negara Israel, kita tidak membenarkan mereka untuk mengambil apa-apa bahagian dalam apa juga perkara di negara ini.

"… pihak Imigresen, bukan pihak Kementerian Belia dan Sukan atau pihak penganjur yang tidak membenarkan atlet-atlet ini masuk. Semua tahu perkara ini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau berkata WSF, sebagai badan induk sukan skuasy, juga sepatutnya sudah mengetahui dasar Malaysia terhadap Israel sebelum meletakkan negara Asia Tenggara itu sebagai tuan rumah bagi kejohanan itu.

Ahmad Faizal, yang turut berkongsi pengalaman ditahan di penjara Israel ketika misi Freedom Flotilla ke Palestin pada 2010 berikutan ketiadaan hubungan diplomasi antara Malaysia dan Israel, berkata beliau akan menjadi orang pertama membantah jika atlet negara itu dibenarkan memasuki negara ini.

“Kalau nak benarkan atlet dari Israel untuk jejak kaki di sini saya fikir saya orang pertama yang akan menentang,” kata beliau.

Pada Mei lepas, Malaysia diumum sebagai tuan rumah baharu bagi menganjurkan kejohanan itu menggantikan New Zealand. Keputusan itu dibuat selepas WSF mengambil kira faktor sekatan perjalanan ketat yang dipraktikkan oleh negara Kiwi tersebut dalam usaha mengekang penularan koronavirus.

Bagaimanapun, WSF mengambil keputusan untuk membatalkan kejohananan itu selepas Putrajaya tetap enggan mengeluarkan visa untuk atlet Israel menyertai pertandingan tersebut.

Menerusi kenyataan baharu yang dikeluarkan lewat Isnin, Presiden WSF Zelda Wooldridge berkata badan induk itu percaya dengan kejohanan antarabangsa yang terbuka dan inklusif.

Beliau turut menzahirkan perhargaan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan Badan Olimpik Malaysia atas usaha mereka meyakinkan pihak tertinggi kerajaan bagi membolehkan semua pasukan yang bertanding termasuk Israel dapat memasuki Malaysia tanpa sebarang diskriminasi untuk pertandingan.

"Ia adalah penting bagi WSF bahawa tiada negara yang tercicir daripada pertandingan," katanya.

Tiada kompromi

Mohd Afandi Salleh, seorang profesor di Jabatan Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, memberitahu BenarNews bahawa keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel memasuki Malaysia adalah dasar yang telah diamalkan sejak sekian lama.

“Kita tidak boleh membenarkan warga Israel untuk masuk ke Malaysia walaupun untuk bertanding dalam pertandingan sukan dan ini bukanlah pertama kali Malaysia menyekat kemasukan atlet Israel,” katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata istilah diplomasi sukan tidak terpakai apabila membabitkan negara Timur Tengah itu yang dilihat sebagai pencabul hak asasi manusia terutama dalam isu Palestin.

Mohd Afandi menegaskan Malaysia tidak bermain sukan dengan pembunuh dan percaya maruah serta solidariti bersama rakyat Palestin yang ditindas sejak enam dekad lepas lebih penting berbanding peluang menganjurkan sukan antarabangsa.

"Diplomasi hanya buat negara yang mempunyai hubungan dengan Malaysia dan Israel sendiri tidak pernah faham apa itu diplomasi apabila ia berkait dengan hak rakyat Palestin dan mereka turut mencabuli undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia,” katanya.

Isu sekatan terhadap atlet Israel dan pembatalan kejohanan sukan bukan kali pertama berlaku di Malaysia.

Pada 2019, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Paralimpik 2019 di Kuching, Sarawak selepas Putrajaya enggan berganjak daripada keputusannya untuk tidak membenarkan kemasukan atlet Israel.

IPC dalam kenyataannya memaklumkan Kementerian Dalam Negeri Malaysia juga gagal memberikan jaminan bahawa perenang Israel akan bebas daripada diskriminasi dan selamat.

Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Mahathir Mohamad mempertahan tindakan tersebut dan menyatakan bahawa Malaysia mempunyai sebab untuk menyekat kemasukan atlet Israel.

"Kami berpendirian teguh untuk tidak membenarkan rakyat Israel masuk ke negara ini kerana negara itu melakukan jenayah perang. Mereka melanggar undang-undang antarabangsa tetapi tiada sesiapa berkata apa-apa mengenainya dan ia hak kami untuk menyuarakan pendirian.

"Kita ada sebab untuk menghalang mereka. Mereka bukan pelarian, mereka tidak menderita dan mereka datang dari negara yang melanggar undang-undang antarabangsa," katanya ketika itu seperti yang dilaporkan oleh media tempatan.

Malaysia merupakan antara penyokong usaha pembebasan Palestin dan tidak pernah mempunyai sebarang hubungan rasmi atau diplomatik dengan Israel sejak ia mula bertapak di Timur Tengah pada 1948.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh