Mana Satu Pilihan Malaysia?
2015.03.26
Perdana Menteri Najib Razak yang memperkenalkan Gerakan Kesederhanaan Global kepada dunia, masih membisu berhubung samada Hudud akan dikuatkuasakan di Malaysia.
Ramai telah menyatakan pendirian mereka termasuklah Kumpulan G25 berhubung isu yang sedang kecoh bagaikan ribut melanda Malaysia.
Kumpulan pesara kakitangan awam Melayu berpangkat tinggi yang sebelum ini meminta satu perbincangan rasional tentang Islam diadakan, berpendapat pelaksanaan undang-undang hudud PAS akan menunjukkan kepada dunia yang Malaysia kini tidak lagi mengambil jalan sederhana.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu khuatir Malaysia akan dilihat sebagai sebuah negara yang ditadbir undang-undang agama yang tertakluk kepada pelbagai tafsiran ulama. Kumpulan itu turut menggesa Putrajaya supaya melindungi Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara ini.
The Malaysian Insider melaporkan, Jurucakap G25, Noor Farida Ariffin berkata, sebuah negara pelbagai kaum dengan ekonomi terbuka seperti Malaysia tidak mampu mengubah ciri-ciri sekular perlembagaannya bagi membolehkan enakmen hudud PAS dilaksanakan.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar dihalau keluar dari Dewan Rakyat, hari ini, selepas mengingkari perintah Speaker dan menghina Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom oleh kerana beliau enggan menyatakan pendirian Putrajaya berkenaan undang-undang Islam itu.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu, diminta meninggalkan Dewan Rakyat selepas enggan duduk dan terus mendesak Jamil walaupun menteri berkenaan sudah menjelaskan tidak dapat menyatakan pendirian mengenainya kerana belum melihat rang undang-undang yang berkenaan.
"Bagaimana kerajaan mahu nyatakan pendirian, rang undang-undang yang dibawa PAS pun masih belum lihat lagi," kata Jamil, merujuk kepada rang undang-undang persendirian yang dijangka dibawa Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Isu hudud timbul semula, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lalu. Ia disusuli notis pemberitahuan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang meminta agar rang undang-undang persendirian berkenaan hudud dibawa ke Parlimen pada sidang kali ini yang akan tamat pada 9 April depan.
Pindaan tersebut diluluskan sebulat suara DUN Kelantan, termasuk sokongan wakil rakyat Umno. Langkah Hadi itu dikecam hebat khususnya daripada pemimpin DAP, malah PKR juga tidak menyatakan sokongan terhadap keputusan Hadi itu.
Sementara itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Syed Danial Syed Ahmad, membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers pagi Khamis selepas difitnah mengeluarkan siaran akhbar bertarikh 25 Mac, mengenai penolakan perlaksanaan Hudud oleh Majlis Raja-raja.
Sebuah portal berita telah menyiarkan laporan yang mengaitkan Majlis Raja-Raja berkaitan isu itu, sehingga ia menjadi viral di internet.
"Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak membincangkan perkara yang dihebohkan itu dalam mesyuaratnya dan pejabat berkenaan tidak mengeluarkan siaran akhbar bertarikh 25 Mac yang menyentuh perkara itu," kata Syed Daniel.
Pejabat Perdana Menteri juga mengeluarkan kenyataan menafikan Najib ada mengeluarkan kenyataan mengenai pelaksanaan hukum hudud yang tersebar dalam aplikasi 'Whatsapp' dan media sosial.
Perkara itu dijelaskan melalui laman Twitter 'Msia PM Press Office' @PMOMalaysia.
Oleh staf BenarNews dengan maklumat dari laporan berita