Perancang IS Rakyat Malaysia Berkemahiran Tinggi Tahu Laluan Rahsia Keluar Dari Marawi: Pegawai
2017.06.29
Kuala Lumpur

Seorang militan kanan Malaysia, juga bekas pensyarah universiti, yang dilaporkan berjaya membolosi kepungan tentera di bandar Marawi di selatan Filipina, mempunyai kemahiran dalam pembuatan bom, ilmu kepelautan dan pelbagai bahasa serta mengetahui laluan rahsia untuk melarikan diri, kata seorang pegawai kanan polis cawangan antikeganasan Malaysia pada Khamis.
Suspek, Mahmud bin Ahmad, seorang perancang dalam kumpulan militan Negara Islam (IS), mungkin melarikan diri melalui jalan laut ke Malaysia Timur di Kepulauan Borneo atau Pulau Sulawesi di Indonesia bersama-sama militan lain dan Isnilon Hapilon selepas berjaya mengelak askar yang mengepung Marawi selama lebih sebulan, kata sumber. Hapilon adalah seorang rakyat Filipina yang diiktiraf sebagai pemimpin bersekutu IS di negara itu.
“Mereka dan Isnilon Hapilon lebih pakar tentang jalan masuk dan keluar berbanding tentera Filipina. Terlalu banyak laluan laut rahsia yang mereka boleh gunakan. Mereka sudah terlalu lama merancang untuk melakukan perkara ini,” kata pegawai itu kepada BeritaBenar dengan syarat identitinya dirahsiakan.
Beliau berkata militan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) amat pakar tentang semua laluan ini, dan Hapilon juga sudah biasa dengannya – begitu juga dengan dua beradik ketua geng Maute yang menyokong ASG serta orang asing yang mempunyai kaitan dengan IS dalam menawan beberapa bahagian bandar Marawi sejak Mei lepas.
Mahmud bekerjasama dengan Hapilon kerana beliau berpengalaman luas dan dilihat begitu nekad untuk meneruskan agenda IS di Asia Tenggara, demikian menurut sumber. Beliau berkata Mahmud telah mempelajari cara membuat bom dan ilmu kepelautan ketika bersama Hapilon.
“Selain seorang pakar bom dan pelaut yang handal, Mahmud juga amat fasih dalam beberapa dialek yang digunakan militan Filipina. Dia turut menguasai beberapa bahasa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab,” kata sumber itu.
Mahmud, seorang bekas profesor pengajian Islam di Universiti Malaya, sebuah institusi pengajian tinggi tertua di Malaysia, juga adalah antara militan paling mahir yang mampu mengambil alih tanggungjawab Hapilon sekiranya pemimpin IS dari Filipina itu terkorban, kata sumber itu lagi.
“Beliau adalah seorang yang bijak,’ kata pegawai itu merujuk kepada Mahmud.
Intelektual yang radikal
Pada awal kerjayanya sebagai seorang militan, bekas profesor itu menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan belajar di Pakistan di mana beliau menyertai al-Qaeda, demikian menurut laporan akhbar tentang kisah hidup Mahmud.
Terkini, para pegawai tentera Filipina menuduh Mahmud, yang berusia lewat 30-an, mengumpul wang bagi membiayai serangan IS di Marawi, bandar pertama di rantau Asia Pasifik yang ditawan oleh pejuang dikaitkan dengan Negara Islam.
Sebelum meninggalkan Malaysia, Mahmud merekrut rakan senegaranya untuk menyertai perjuangan IS di Timur Tengah, termasuk Ahmad Tarmimi Maliki, pengebom bunuh diri pertama Malaysia yang maut di Iraq, demikian menurut Rohan Gunaratna, seorang pakar keganasan di Asia Tenggara yang berpangkalan di Singapura.
“Bersama-sama sekutunya yang paling rapat iaitu arwah Najib Hussin, Mahmud menyatukan kumpulan penganut Islam yang berbeza pendapat bagi mewujudkan IS Bahagian Asia Timur…Mahmud merancang untuk membangunkan Sabah yang terletak di Malaysia Timur sebagai pusat transit bagi rekrut dari Asia Selatan dan Asia Tenggara berlatih serta berjuang di Filipina,” kata Gunaratna, yang merupakan pengarah Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan, dalam satu kolum untuk BeritaBenar bulan ini.
‘Beliau masih hidup’
Minggu lepas, para pegawai Filipina berkata mereka menerima laporan bahawa Mahmud dan Omarkhayam Maute, seorang daripada dua beradik yang mengetuai geng Maute, mungkin terbunuh dalam pertempuran di Marawi.
Pihak berkuasa Filipina berkata Mahmud telah dilihat berada bersama-sama Hapilon dalam video yang diperoleh pasukan tentera, yang menunjukkan mereka serta beberapa lelaki lain merancang untuk menawan Marawi bagi pihak IS.
Bagaimanapun, pada 25 Jun, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar berkata pihaknya memperoleh maklumat bahawa Mahmud dan Hapilon masih hidup.
“Pihak berkuasa Filipina telah memaklumkan kami bahawa Isnilon Hapilon dipercayai telah berjaya melarikan diri dari Marawi, jadi besar kemungkinan Dr Mahmud ada bersama-sama beliau. Kami tidak boleh mengesahkan perkara itu tetapi seorang sahabat di Filipina memaklumkan kepada kami bahawa beliau masih hidup,” katanya seperti dipetik oleh akhbar the New Straits Times.
Ditanya ke mana kedua-duanya mungkin melarikan diri, sumber keselamatan yang enggan dikenali itu berkata mereka boleh berada di mana sahaja, termasuk negeri Sabah di Malaysia Timur yang terletak berhampiran Pulau Mindanao di selatan Filipina yang menempatkan Marawi.
“Ini termasuk Sulawesi, sebuah pulau di Indonesia yang terletak di timur Kepulauan Borneo, satu laluan yang selalu digunakan oleh kumpulan militan Jemaah Islamiyah untuk bergerak antara Sulawesi dan pulau-pulau di selatan Filipina. Sabah juga merupakan antara kemungkinan itu,” kata sumber itu kepada BeritaBenar.
Pada 22 Jun, para pegawai dari Filipina, Malaysia dan Indonesia bersetuju dalam satu mesyuarat di Manila untuk menyelaras usaha bersama bagi mencegah pejuang militan dan senjata merentasi sempadan masing-masing. Minggu lepas, negara terbabit turut melancarkan rondaan bersama bagi mengawal keselamatan kawasan perairan di antara Sabah dan Mindanao.
“Senario yang menyaksikan kejayaan beliau dan Hapilon membolosi kepungan tentera di Marawi itu pasti akan digunakan sebagai propaganda bagi menunjukkan kekuatan mereka ketika menentang tentera Filipina,” kata Azmi Hassan, seorang profesor geopolitik di Universiti Teknologi Malaysia kepada BeritaBenar, yang merujuk kepada Mahmud bin Ahmad.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah kejayaan itu akan menaikkan semangat penyokong Daesh di negara ini,” katanya yang menggunakan nama lain untuk Negara Islam.
Hata Wahari di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.