Jawatan Ketua Pengarah MKN Disandang Panglima ATM Mungkin Menyalahi Undang-undang: Pengkritik
2016.08.30
Kuala Lumpur
Keputusan untuk membolehkan seorang panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengetuai Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baru ditubuhkan, menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memerangi ancaman keganasan, kata para pegawai, tetapi sesetengah pakar percaya langkah itu menyalahi perlembagaan dan boleh menyebabkan berlakunya pencabulan hak asasi manusia dan salah guna kuasa yang lain.
Dalam satu pengumuman mengejutkan minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Panglima ATM Jeneral Zulkifeli Mohd Zin menyandang jawatan Ketua Pengarah MKN sebagai sebahagian daripada undang-undang keselamatan baru yang ketat, yang dikuatkuasakan kira-kira dua minggu sebelum itu.
Perdana Menteri Najib Razak, yang berdepan gesaan supaya meletakkan jawatannya selepas dikaitkan dengan skandal rasuah membabitkan berjuta-juta dolar, telah membawa Akta Majlis Keselamatan Negara ke Parlimen pada Disember lalu tanpa mendapat perkenan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong Malaysia, yang telah meminta supaya dilakukan beberapa perubahan terhadap akta itu.
Akta itu, antara objektifnya, membolehkan kerajaan mengisytiharkan undang-undang tentera maya di kawasan yang dianggap berada di bawah ‘ancaman keselamatan’.
Melantik Jeneral Zulkifeli untuk menerajui sebuah jabatan kerajaan awam mungkin tidak mengikut perlembagaan, kata peguam kebebasan sivil Malaysia, Andrew Khoo, sambil menekankan bahawa pegawai tentera berada di bawah bidang kuasa Majlis Angkatan Tentera dan tidak boleh mengambil alih tugas penjawat awam yang ditadbir oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
"Saya rasa pelantikan berkenaan tidak mengikut perlembagaan kerana beliau adalah anggota Angkatan Tentera dan kini, beliau diminta mengetuai sesuatu yang merupakan sebahagian daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, oleh itu, beliau beralih daripada bidang kuasa sebuah suruhanjaya kepada suruhanjaya yang lain," kata Khoo kepada BeritaBenar.
Menurutnya, jika panglima Angkatan Tentera menyandang jawatan itu, beliau perlu mengambil cuti daripada jawatan yang disandangnya sekarang.
"Beliau tidak boleh menjadi ketua pengarah Majlis Keselamatan Negara dan panglima pasukan pertahanan pada satu masa yang sama, saya tidak fikir ia boleh dilakukan."
Mohamad Imran Abdul Hamid, bekas laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia dan kini seorang Ahli Parlimen pembangkang, berkata, Najib sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara, telah merampas tugas Yang di-Pertuan Agong, yang merupakan panglima tertinggi Angkatan Tentera Malaysia di bawah perlembagaan negara.
"Perdana Menteri mempunyai kuasa melangkaui Yang di-Pertuan Agong kerana beliau boleh mengarahkan panglima angkatan tentera, yang juga ketua pengarah [Majlis Keselamatan Negara] untuk menggerakkan pasukan dan menguatkuasakan perintah dalam sesebuah kawasan keselamatan," katanya kepada BeritaBenar.
Undang-undang baru bolehkan PM melangkaui Yang di-Pertuan Agong
Sebelum undang-undang baru itu dikuatkuasakan, sebarang pengisytiharan darurat perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu, kata Mohamad Imran.
Beliau berkata, Najib kini boleh mengarahkan panglima Angkatan Tentera untuk mengambil sebarang tindakan tanpa merujuk kepada Majlis Angkatan Tentera Malaysia.
Dengan adanya kuasa baru itu, Majlis Keselamatan Negara boleh menggantung kebebasan awam di ‘kawasan keselamatan’ tertentu, yang memberi kuasa meluas kepada tentera untuk melakukan penggeledahan, penyitaan dan penangkapan.
Jika mereka beroperasi di kawasan yang dianggap ‘tidak selamat’, mereka mempunyai ‘lesen untuk membunuh’, kata Mohamad Imran.
"Ini bermakna jika seorang anggota tentera menembak mati orang awam yang melanggar perintah berkurung atau sekatan lain, anggota tentera itu tidak boleh didakwa atau menghadapi apa-apa tindakan undang-undang kerana beliau dilindungi di bawah Majlis Keselamatan Negara," katanya.
Najib dan pegawai-pegawai tertinggi lain telah mempertahankan undang-undang baru itu, dengan menyatakan ia diperlukan bagi memerangi keganasan.
Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara telah menyuarakan kebimbangan bahawa pengaruh kumpulan pelampau Negara Islam (IS) semakin meningkat di rantau ini dan menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 230 orang yang disyaki ahli IS dan memberi amaran bahawa rakyat Malaysia yang kembali daripada pertempuran di Syria atau Iraq boleh melakukan serangan pengganas di tanah airnya sendiri. Sekurang-kurangnya 72 orang yang disyaki ahli IS telah didakwa di mahkamah.
Pada akhir Jun lalu, Malaysia mengalami serangan pengganas pertamanya yang didakwa dilakukan IS, apabila sebutir bom tangan dilemparkan di luar sebuah kelab malam di Kuala Lumpur, dan mencederakan beberapa orang yang ketika itu sedang menonton perlawanan bola sepak di televisyen.
Kerajaan pertahankan pelantikan
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein pada hujung minggu lalu mempertahankan pelantikan Zulkifeli sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dengan berkata ia mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam memerangi ancaman IS.
"Kita harap pelantikan Zulkifeli boleh membantu kita memerangi ancaman baru ini," lapor agensi berita nasional Malaysia, Bernama, yang memetik beliau sebagai berkata. "Jangan ambil ringan perkara ini ... namun, saya rasa lega kerana kita mengambil langkah segera dalam setiap tindakan yang dibuat," katanya.
Ahmad Marthada Mohamed, dekan undang-undang, kerajaan dan pengajian antarabangsa di Universiti Utara Malaysia, bersetuju dengan Hishamuddin.
Pelantikan Zulkifeli adalah satu "pilihan sesuai berikutan ancaman daripada IS, yang memperluaskan kehadirannya di Asia Tenggara dengan sel-sel sendiri" dan tafsiran sendiri tentang Islam, katanya.
"Dalam menangani sebarang ancaman luaran, beliau akan dapat menyelaraskan semua perisikan bagi melindungi negara daripada ancaman keganasan IS dan Kumpulan Abu Sayyaf [yang berpangkalan di Filipina Selatan]," kata Ahmad Marthada.
Pakar Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan pula berkata "latar belakang keselamatan" Zulkifeli dapat memainkan peranan utama dalam Majlis Keselamatan Negara.
Para pengkritik Najib juga bimbang beliau akan menggunakan kuasa baru itu untuk menyekat pembangkang selain terus kekal memegang tampuk kuasa.
Pejabat hak asasi manusia PBB berkata, bahawa ia ‘amat bimbang’ dengan undang-undang itu yang boleh menggalakkan pelanggaran hak asasi manusia dan membawa kepada ‘sekatan tidak adil’ terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun.
Najib berdepan dengan gesaan supaya meletakkan jawatannya sejak lebih setahun lalu berikutan skandal rasuah yang melibatkan dana pelaburan 1MDB, yang ditubuhkan beliau pada 2009. Kes tersebut sedang disiasat di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
Najib telah menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang untuk kepentingan peribadi dalam urusan 1MDB.
Bulan lepas, Jabatan Kehakiman AS memulakan langkah untuk merampas lebih daripada AS$1 bilion dalam bentuk aset yang ia percaya dibeli dengan dana dicuri daripada 1MDB, termasuk oleh seseorang yang hanya dikenali sebagai "Pegawai Malaysia 1."
Sumber AS telah memberitahu beberapa kumpulan media bahawa pegawai rasmi berkenaan adalah Najib.
Langkah AS itu mencetuskan jangkaan bahawa lebih banyak protes anti-Najib akan diadakan, dengan pihak berkuasa boleh menyekatnya dengan menggunakan undang-undang keselamatan baru itu, kata kumpulan hak asasi manusia.
Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.