Mogok Lapar Bantah Cadangan Pindaan Akta Hasutan
2015.03.25
Lima orang dari Sarawak Prihatin, memulakan mogok lapar membantah rancangan kerajaan Malaysia, untuk meminda Akta Hasutan, yang akan menghukum mereka yang membangkitkan isu membawa Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia, mulai Rabu.
Kumpulan yang diketuai oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Pujut, Fong Pau Tech bimbang pindaan akta itu bakal mengatasi Perlembagaan Persekutuan dan melupuskan hak kebebasan untuk bersuara.
Menurut laporan portal Free Malaysia Today, Pau Tech, yang kini adun bebas selepas dibuang parti sendiri, Democratic Action Party (DAP) berkata, mereka berpuasa daripada menjamah sebarang makanan sebaliknya boleh minum air dan turut berada di bawah pengawasan doktor.
Kelima-lima mereka mengambil hampir dua jam penerbangan dari ibu negeri Sarawak, Kuching ke Kuala Lumpur dan sejam lagi perjalanan ke Dataran Merdeka bagi tujuan itu.
Manakala seorang lagi ahli kumpulan itu, Lina Soo berkata, perbincangan serta perundingan bersama dengan rakyat Sarawak mengenai pindaan Akta itu, tidak pernah diadakan. Kerajaan negeri itu juga tidak diajak untuk berunding. Ini sangat bertentangan dengan Perlembagaan dan hak demokrasi sebagai seorang rakyat Malaysia,"
Punya hak didengar dan kebebasan berucap
"Kami mempunyai hak untuk didengar dan jugak berhak kepada kebebasan berucap dan bersuara." tambah beliau.
Mogok itu bertemakan : Sampai bila kerajaan mahu meneruskan undang-undang penjajah (Akta Hasutan 1948), adakah ini bermakna mereka mahu meneruskan penjajahan?
Soo berkata, Akta Hasutan merupakan ordinan penjajah, dan pindaan itu bertujuan untuk "membuli" kedua-dua negeri berkenaan, supaya menerimanya.
Sabah dan Sarawak terletak di kepulauan Borneo, yang berjiran dengan Indonesia dan Brunei, dan Laut China Selatan memisahkan kedua-dua negeri itu, dengan Semenanjung. Kedua-dua negeri itu, menyertai Semenanjung Tanah Melayu untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Cadangan pindaan itu, telah dibentangkan dan sedang hangat dibincangkan pada sesi persidangan di Dewan Rakyat kali ini, meliputi kemasukkan peruntukan untuk mengenakan tindakan terhadap pihak yang menyeru pemisahan Sarawak dan Sabah dari Malaysia.
Terdapat pihak perundangan di Sarawak dan Sabah yang berpendapat cadangan pindaan itu bakal mendatangkan kesan kepada hak kedua-dua negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan ia boleh dicabar di mahkamah.
Mereka berpendapat setelah cadangan itu dikuatkuasakan, ia akan menghalang rakyat Sarawak dan Sabah daripada menyuarakan hak mereka sejajar dengan perjanjian itu atau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan persekutuan.
Hak Sarawak dan Sabah tetap dilindungi
Sementara itu, menurut laporan Agensi Berita Nasional Malaysia pada Januari lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Sukri, yang juga Ahli Parlimen dari Sarawak memberi jaminan bahawa Hak Sarawak dan Sabah akan tetap dilindungi seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 apabila pindaan kepada Akta Hasutan 1948 berkuat kuasa.
Beliau berkata pihak yang mendakwa pindaan itu kelak akan melenyapkan kritikan terhadap kerajaan persekutuan, perlu membuat kajian terlebih dulu sebelum membuat dakwaan tidak berasas.
Nancy berkata terdapat media arus perdana yang sentiasa mengkritik kerajaan walaupun sesetengah kritikan itu tidak berdasarkan fakta benar, tetapi kerajaan masih mengamalkan sikap bertimbang rasa.
"Kita tidak boleh memuaskan hati setiap orang, tetapi perlu menjaga kepentingan ramai termasuk golongan minoriti," katanya dan menambah menjadi kebiasaan bagi sebarang pertubuhan atau individu yang tidak akan berpuas hati dengan kerajaan berhubung sesetengah isu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, juga anak sulung kepada pemimpin pembangkang yang sedang dalam penjara, Anwar Ibrahim, Nurul Izzah merupakan orang terbaru yang dipilih oleh kerajaan dalam tindakan keras mereka terhadap hasutan sejak tahun lalu, dan sehingga kini berpuluh orang termasuk beberapa ahli politik kanan pembangkang dan ahli akademik telah disiasat, didakwa atau disabit bersalah di bawah Akta Hasutan.
Manakala Profesor Madya Undang-Undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom yang jugak kolumis akhbar The Star, mencabar keperlembagaan Akta Hasutan di Mahkamah sehingga kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan dan kini sedang dibicarakan.
Azmi, 46, berdepan pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) akta itu, masing-masing berhubung komennya dalam berita bertajuk 'Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told', pada 15 Ogos tahun lepas.
Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.