Penganjur Festival Good Vibes tuntut pampasan RM12.3 juta dari The 1975
2023.08.08
Kuala Lumpur
Penganjur sebuah festival muzik di Malaysia, telah memberikan kumpulan pop-rock Britain tempoh seminggu untuk membayar pampasan ganti-rugi sebanyak RM12.3 juta (AS$2.7 juta) atau mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang kerana menyebabkan kerajaan negara itu terpaksa membatalkan Festival Good Vibes 2023 pada bulan lalu.
Tindakan vokalis The 1975, Matty Healy melontarkan kecaman dengan kata-kata tidak senonoh mengenai undang-undang anti-LGBTQ Malaysia ditambah pula aksi ciuman sesama jenis yang dipamerkannya bersama salah seorang anggota kumpulan ketika berada di atas pentas telah mencabuli garis panduan tempatan, demikian menurut kenyataan penganjur festival, Future Sound Asia (FSA) sambil merujuk bahawa homoseksual merupakan satu jenayah di negara itu.
Menurut FSA, ramai artis tempatan dan perniagaan terjejas sumber pendapatan apabila kerajaan membatalkan festival terbabit sehari selepas kekecohan yang ditimbulkan oleh Healy.
David Mathew, peguam yang mewakili penganjur festival itu berkata mereka telah mengemukakan Surat Tuntutan pada Isnin, menuntut kumpulan pop-rock tersebut untuk bertanggungjawab ke atas salah laku mereka serta membayar pampasan kepada FSA di atas kerugian yang yang telah dialami.
“Menerusi Surat Tuntutan yang bertarikh Ogos 7, 2023, telah menuntut The 1975 supaya mengakui salah laku mereka selain membayar sejumlah £2,099,154.54 (RM12,347,967.91) dalam masa tujuh hari. Sekiranya tiada maklum balas yang diterima dalam tempoh tersebut, tindakan undang-undang akan diambil di Mahkamah England,” katanya kepada BenarNews pada Selasa.
“Kami sedang menunggu maklum balas secara formal dari pihak kumpulan itu sendiri atau wakil peguam mereka. Mereka ada masa tujuh hari.”
BenarNews turut cuba menghubungi vokalis dan kumpulan tersebut di media sosial, begitu juga dengan pihak pengurusan melalui email namun tidak mendapat sebarang maklum balas.
FSA pada Isnin berkata tindakan Matty Haly “menggunakan bahasa kesat, merosakkan peralatan serta aksi tidak senonoh di atas pentas” telah mencabuli garis panduan tempatan dan undang-undang Malaysia, selain daripada mencemarkan reputasi festival yang telah berlangsung selama 10 tahun.
“FSA sangat menghargai dan menitikberatkan kepercayaan yang telah diberikan oleh para peminat dan pihak kawal selia terhadap mereka sepanjang tempoh beberapa tahun ini.
Penganjur memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam mempromosikan dan mengetengahkan persembahan muzik secara langsung di Malaysia, dengan memastikan setiap undang-undang dan peraturan dipatuhi sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan.
Pada 21 Julai lalu, ketika Festival Good Vibes berjalan, penyanyi The 1975 Malaysia dengan nada amarah melontarkan kritikan terhadap undang-undang LGBT di Malaysia, sambil mengatakan “saya tidak memahami tujuan menjemput The 1975 ke sebuah negara dan kemudian memberitahu kami dengan siapa kami boleh melakukan hubungan seks,”
Dalam sebuah video yang dikongsikan di atas talian, Healy turut berkata bahawa "Saya membuat kesilapan. Apabila menerima tawaran persembahan ini, saya tidak mempertimbangkannya dengan teliti.”
"Malangnya, kamu semua tidak akan dapat menyaksikan persembahan lagu-lagu yang menaikkan semangat kerana saya amat (perkataan kesat) marah pada saat ini,” tambahnya.
“Dan ianya tidak adil bagi kamu semua, kerana kalian tidak mewakili kerajaan ini. Kerana kamu semua adalah generasi muda, dan saya yakin ramai di antara kamu adalah gay, progresif dan hebat.”
Healy kemudiannya mencium bibir pemain bass kumpulan berkenaan Ross MacDonald di atas pentas.
Tidak lama kemudian, persembahan tersebut dihentikan di mana Healy berkata mereka terpaksa pergi kerana kumpulannya telah diharamkan di Malaysia.
Susulan insiden itu, hasil pertemuan yang diadakan bersama dengan penganjur festival itu pada keesokan harinya, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengarahkan pembatalan segera ke atas festival muzik yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari.
“Kita tidak akan sekali-kali berkompromi terhadap mereka yang mencabar, menghina atau melanggar undang-undang Malaysia. Oleh itu, saya telah mengarahkan supaya baki festival tersebut dibatalkan serta-merta,” kata Fahmi.
Polis telah menjalankan siasatan ke atas insiden berkenaan setelah menerima 18 laporan polis mengenai “tindakan dan kenyataan biadap yang melampau” oleh anggota kumpulan.
Menjawab kritikan orang awam tentang mengapa anggota The 1975 tidak ditahan atau disekat daripada meninggalkan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan kepada media bahawa pihak polis tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengambil tindakan.
“Insiden berlaku pada 11.30 malam, 21 Julai, dan kami difahamkan bahawa konsert itu telah dihentikan, dan kumpulan tersebut bertolak meninggalkan negara keesokan paginya pada 5.30 pagi – iaitu enam jam selepas kejadian. Laporan difailkan pada jam 2 petang, menyebabkan kekangan masa untuk kami ambil sebarang tindakan,” Ayob memberitahu media pada masa itu.
Berikutan insiden di Malaysia, kumpulan tersebut dilihat telah membatalkan persembahan di Indonesia dan Taiwan.
Homoseksual merupakan jenayah di Malaysia, yang majoritinya beragama Islam, yang mana perbuatan meliwat boleh dikenakan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan sebatan.
Kumpulan pemerhati menuduh Kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dilihat cuba memenuhi kehendak hak-hak agama Islam sebagai cubaan memenangi undi Melayu di negara itu.
Anwar, pada Januari telah mengumumkan pendirian Kerajaan di bawah pimpinannya di mana hak LGBT tidak akan sesekali diakui, menurut media tempatan.
Walaubagaimanapun, komen berbaur kemarahan yang ditujukan Healy kepada undang-undang anti LGBT itu tidak diterima baik oleh penyokong LGBT tempatan.
Dalam satu laporan media, Dhia Rezki Rohaizad, timbalan presiden Jejaka iaitu kumpulan hak asasi gay Malaysia menyelar tindakan tersebut yang dilihat telah menjejaskan perkembangan positif yang diperolehi melalui usaha keras komuniti berkenaan selain menimbulkan kebencian serta menyebabkan potensi keganasan disasarkan terhadap kumpulan itu.
“Kami terpaksa mengawal kerosakan yang diakibatkan oleh tindakan Healy melanggar undang-undang di mana dia telah mengakui akan patuhi sebelum ini. (Sekarang) ramai orang marah dengan komuniti gay disebabkan Healy,” katanya.
Ili Shazwani Ihsan di Perlis turut menyumbang kepada laporan ini.