Amerika Syarikat kembalikan AS$156 juta dana 1MDB dicuri kepada Malaysia
2024.06.13
Washington
Kerajaan Amerika Syarikat pada Khamis berkata bahawa negara itu telah mengembalikan kepada Malaysia sebanyak AS$156 juta (RM721.4 juta) wang yang didakwa diselewengkan pembiaya kewangan dalam buruan daripada dana pelaburan negara Malaysia, 1MDB.
Transaksi keempat oleh Washington itu disahkan oleh Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard Kagan semasa bertemu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Putrajaya pada Selasa.
“Dana ini dikembalikan susulan petisyen yang dikemukakan oleh Putrajaya dan diluluskan oleh Jabatan Kehakiman AS… dengan mengambil kira wang yang dipulangkan kepada kerajaan Malaysia sebelum ini, AS telah mengembalikan kira-kira AS$1.4 bilion (RM6.6 bilion) sehingga kini.
“Kami gembira kerana transye aset keempat daripada siasatan Jabatan Kehakiman ini dalam proses dipulangkan kepada Malaysia.
“Jumlah wang yang besar ini akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia yang merupakan penerima sepatutnya dan akhirnya dapat dimanfaatkan bagi tujuan asal – demi meningkatkan kehidupan seharian rakyat Malaysia,” kata Kagan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur lewat Khamis waktu tempatan Malaysia.
1MDB ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak pada 2009 kononnya untuk memacu dan merangsang pembangunan ekonomi Malaysia tetapi dana itu sebaliknya menanggung hutang berjumlah berbilion dolar.
Suspek dalang penyelewengan dana 1MDB yang disifatkan sebagai “skandal kleptokrasi terburuk” di dunia, Low Taek Jho – atau lebih dikenali sebagai Jho Low, merupakan seorang pembiaya kewangan yang kini dalam buruan oleh beberapa negara termasuk Interpol atas penglibatannya dalam skandal penggelapan wang berbilion dolar daripada dana tersebut melalui hubungan rapat dengan Najib.
Pada 2016, Jabatan Kehakiman AS menuduh "Pegawai Malaysia 1" - yang kemudiannya dikenali sebagai Najib - dan rakan-rakannya menggelapkan dan mengubah AS$4.5 bilion (RM19.5 bilion) wang yang berkaitan 1MDB antara 2009 dan 2014.
Skandal 1MDB itu juga dikatakan sebab di sebalik kekalahan UMNO dalam pilihan raya umum Malaysia pada tahun 2018. Ia merupakan kali pertama parti itu tumbang setelah lebih 60 tahun memerintah.
Najib kemudiannya telah didapati bersalah atas pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan skandal kewangan tersebut pada 2020 dan kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun sejak Ogos 2022.
Kenyataan media pejabat Kedutaan AS di Kuala Lumpur itu juga berkata sebagaimana didakwa dalam aduan, pihak yang terlibat dalam konspirasi skandal tersebut termasuk pegawai di 1MDB, saudara-mara mereka dan rakan sekutu yang lain telah menyeleweng dana berjumlah lebih AS$4.5 bilion.
Ia dilakukan menerusi beberapa transaksi yang kompleks dan penglibatan syarikat ‘shell’ yang mencurigakan atau hanya wujud di atas kertas dengan akaun bank di AS dan luar negara menggunakan dokumen serta representasi palsu.
‘Transaksi ini didakwa berfungsi untuk menyembunyikan sumber asal serta pemilikan dana yang akhirnya melalui institusi kewangan AS dan kemudian diselewengkan bagi memperoleh selain melabur dalam aset di AS dan luar negara.
“Kerajaan Amerika Syarikat kekal komited dalam usaha mendapatkan semula dan memulangkan dana yang dicuri daripada 1MDB demi kepentingan rakyat Malaysia,” tambah kenyataan itu lagi.