1MDB: Mahkamah Tolak Permohonan Najib, 1MDB dan Kerajaan Malaysia

Hata Wahari & Fadzil Aziz
2018.01.09
Kuala Lumpur
1mdb.jpeg Papan iklan syarikat pelaburan bermasalah 1MDB berhampiran mercu tanda Malaysia, Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, 3 Julai 2015.
AFP

Dalam keadaan yang berlaku di ,Malaysia,  pada Selasa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  menolak permohonan Perdana Menteri Najib Razak untuk membatalkan saman kumpulan pimpinan pemuda Pakatan Harapan berkaitan pinjaman bernilai RM14 bilion (AS$3.5 bilion) yang dibuat oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Hue Siew Kheng yang membuat keputusan itu dalam kamarnya menolak permohonan berkenaan dengan menegaskan bahawa Gerakan Anakmuda Tolak Najib (Ganti1) mempunyai hak di bawah kedudukan undang-undang untuk memulakan saman tersebut sebagai rakyat yang prihatin.

‘Ganti1’ telah memfailkan saman berkenaan pada Julai tahun lepas dalam usaha untuk mendapatkan injuksi bagi menghalang pembayaran 1MDB kepada International Petroleum Investmen Company (IPIC) dan anak syarikatnya AaBar Investment PJS berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani.

Abdul Ghani pada 1 Ogos 2016 menegaskan bahawa Malaysia akan mencabar tuntutan IPIC di Mahkamah Tinggi Antarabangsa Timbangtara, di London.

Bagaimanapun pada 1 April tahun lepas, 1MDB dan Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk membayar IPIC RM4.8 bilion (AS$1.2 bilion).

Sepuluh anggota ‘Ganti1’ yang menjadi plaintif ialah Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah,  Muhammad Faiz Fadzil; Mahathir Mohd Rais [wakil Armada Parti Pribumi Bersatu]; Lee Chuan How[wakil daripada Parti Tindakan Demokratik]; Ridzwan Abu Bakar; Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar; Muhammad Syaafiq Azmi; Omar Tuah; Mohd Zulhazmi Hassan; Mohamad Ammar Atan dan Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir.

Peguam yang mewakili plaintif, Haniff Khatri Abdulla memberitahu, hakim berpendapat bahawa defendan gagal untuk memberi bukti yang mencukupi dan mengapa ia berlaku sekaligus memerlukan penjelasan lanjut dalam perbicaraan.

“Hakim juga menolak permohonan lisan oleh peguam perdana menteri, Mohd Hafarizam Harun dan peguam 1MDB , Tan Hock Chuan untuk penangguhan dalam memfailkan pembelaan,” kata Haniff semasa ditemui pemberita di luar mahkamah.

Peguam itu juga memberitahu, hakim telah memerintahkan ketiga-tiga defendan Najib, kerajaan Malaysia dan 1MDB untuk memfailkan pembelaan mereka pada atau sebelum 30 Januari dan juga menetapkan pengurusan kes pada 5 Februari.

Hafarizam ketika ditemui memberitahu, beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu untuk membatalkan saman Ganti1.

Peguam 1MDB, Hock Chuan pula berkata beliau perlu merujuk semula kepada pelanggannya sama ada untuk membuat rayuan seterusnya ke Mahkamah Rayuan.

Dalam kenyataan permohonan plaintif, Ganti1 menuntut mahkamah mengisytiharkan tindakan untuk menyelesaikan pertelingkahan di antara IPIC dan AaBar dengan kerajaan Malaysia dan 1MDB di London Court of International Arbitration adalah batal dan tidak sah.

Mereka juga memohon injuksi sepenuhnya untuk menghalang Najib, kerajaan Malaysia dan 1MDB atau agen, pegawai atau pekerjanya dari membuat pembayaran kepada IPIC atau AaBar.

Ganti1 juga menuntut kerajaan mendapatkan semula pembayaran yang telah dibuat kepada IPIC atau AaBar.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen pembangkang dari parti DAP, Tony Pua dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Selasa, menuntut untuk mengetahui bagaimana dana pelaburan negara 1MDB mampu menyelesaikan pembayaaran akhirnya berjumlah AS$602.7 juta atau RM2.6 bilion kepada IPIC Abu Dhabi, pada 27 Disember lepas, empat hari menjelang tarikh akhirnya.

Pua, yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, bertanya sama ada Kementerian Kewangan (MoF) telah mengeluarkan RM2.4 bilion lagi untuk membayar hutang 1MDB kepada IPIC.

"Masalahnya, kita semua tahu yang 1MDB sememangnya tidak berupaya untuk menyelesaikan hutang. Oleh itu, rakyat Malaysia sangat prihatin tentang bagaimana 1MDB membayar ansuran terakhir hutang mereka.

"Semua yang dinyatakan dalam pernyata rasmi 1MDB ialah pembayaran itu dibiayai menerusi 'program rasionalisasi yang berterusan'," katanya.

Pua menegaskan bahawa tiada siapa yang mempunyai pengetahuan mengenai apa itu program rasionalisasi yang diperkatakan itu.

Pada akhir Disember lepas, 1MDB berkata, dana negara bekenaan bersama Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) telahpun menepati syarat dan telah membayar semua hutangnya bagi tahun lepas dengan IPIC Abu Dhabi pada Disember lalu.

1MDB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari yang sama hutang itu dijelaskan berkata pembayaran berkenaan adalah tertakluk kepada Surat Ikatan Penyelesaian dengan Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan IPIC.

Perkara berkenaan turut diumumkan oleh IPIC semasa memfailkan pembayaran itu kepada Bursa Saham London pada 28 Disember lepas.

Pada bulan April tahun lalu, 1MDB dan pemiliknya MOF Inc mencapai penyelesaian dengan IPIC sebelum proses timbang tara berlaku di London.

Menurut penyelesaian itu, 1MDB akan membayar hutang AS$1.2 bilion dalam dua bayaran yang sama pada 31 Julai dan 31 Disember.

Bagaimanapun, 1MDB terlepas tarikh akhir untuk membuat bayaran pertama kepada IPIC  pada 31 Julai 2016 tetapi telah menjelaskannya pada 30 Ogos 2016.

Pada tahun 2012, IPIC terheret dalam kancah urus niaga global 1MDB apabila mereka menjamin bon AS$1.75 bilion yang diterbitkan oleh firma pelaburan Malaysia itu.

Dana pelaburan 1MDB yang diilhamkan Najib telah disiasat di sekurang-kurangnya enam buah negara.

Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat dana pelaburan itu telah menafikan sebarang salah laku sejak Wall Street Journal melaporkan mengenainya pada Julai 2015.

Hampir AS$700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu menjelang pilihanraya umum Malaysia pada 2013.

Di Singapura, selain larangan ke atas individu dan bank berkaitan 1MDB, Singapura juga telah mengenakan penalti kewangan berjumlah S$29.1 juta ke atas lapan buah bank, iaitu BSI Bank, Falcon Bank, DBS, UBS AG, Standard Chartered Bank, Coutts, Credit Suisse dan UOB kerana melanggar pelbagai peraturan AML.

Sementara itu, di Malaysia, masih tiada pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam skandal 1MDB, yang turut menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa buah negara lain seperti Singapura, Switzerland dan juga Amerika Syarikat (AS).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.