Isu 3R: Putrajaya rancang wujudkan undang-undang baharu bendung usaha cetus kekacauan

Menteri Undang-undang Malaysia memberitahu akta baharu itu lebih bersifat punitif bagi memberikan kesedaran dan rasa tanggungjawab.
Iskandar Zulkarnain & Iman Muttaqin Yusof
2023.07.13
Kuala Lumpur
Isu 3R: Putrajaya rancang wujudkan undang-undang baharu bendung usaha cetus kekacauan Persembahan penuh warna-warni kepelbagaian budaya dan kaum di Malaysia pada sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 31 Ogos 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim yang mewakili pelbagai kaum bercadang mahu mewujudkan akta baharu yang melibatkan hukuman berdasarkan aspek sivil atas kesalahan mencetuskan ketegangan kaum dan agama susulan peningkatan ucapan berbaur kebencian, khususnya di media sosial.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada November, pentadbiran Anwar telah mengambil langkah proaktif dalam membanteras retorik berbaur hasutan melibatkan 3R – kaum, agama dan institusi raja – dalam masyarakat pelbagai kaum, agama, dengan negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam.

Menteri Undang-Undang Malaysia, Azalina Othman Said memberitahu media yang Jemaah Kabinet pada Rabu telah memberi respon positif terhadap cadangan berkenaan akta baharu itu.

“Undang-undang diperlukan bagi menangani cabaran baharu ini. Kita perlu tengok kewujudan satu akta, contohnya Akta Negara Bangsa atau Akta Kenegaraan, yang penting ialah kita mengorak langkah supaya generasi baharu faham bahawa kita tidak boleh lari dari (kehidupan) dalam pelbagai bangsa dan agama....

"Saya hanya menawarkan pandangan dan Kabinet nampak positif, jadi saya perlu buat Kertas Kabinet mengenainya," jelas Azalina sambil berkata ia memerlukan perbincangan dan kajian lanjut sebelum penyediaan Kertas Kabinet berhubung cadangan tersebut dapat dibuat.

Menurut Menteri itu lagi, pada masa ini sebarang kesalahan melibatkan isu 3R disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 yang lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah dengan membabitkan proses yang mengambil masa.

Sambil memberi contoh beberapa negara, Azalina berkata ada banyak negara di Barat, dan paling dekat ialah Singapura, di mana negara itu mempunyai ‘Maintenance of Religious Harmony Act 1990’, manakala di United Kingdom pula dengan Public Order 1986, dan Australia mempunyai Racial Discrimination Act 1975.

“Dalam akta di negara-negara tersebut yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama sebagai contoh, ia melihat perbuatan sebegini sebagai satu perbuatan sivil dan bukan jenayah.

“Di Malaysia, ia belum konkrit, mungkin perlu kepada satu penyelesaian, bukan elemen jenayah dan masuk penjara, tetapi lebih kepada punitif yang dikenakan denda supaya kita tahu tanggungjawab kita. Bila denda dari segi kewangan, beban itu tidak begitu tinggi seperti jenayah dan siasatan lebih senang dijalankan,” katanya di Kuala Lumpur.

Penggunaan media sosial

Mengulas lanjut, Azalina berkata bagi memastikan akta baharu itu sesuai dengan persekitaran semasa dan keperluan generasi masa hadapan, ia akan turut mengambil kira kesalahan membabitkan penggunaan gajet dan aplikasi media sosial.

“Kita perlu sedar, tahun 2023 ini banyak berubah dari segi media sosial. Dulu (kesalahan) Akta Hasutan ini (melibatkan) orang tulis atau bercakap, kini dengan media sosial, Internet, macam mana nak buktikan jenayah itu. Kadangkala ada yang guna Artificial Intelligence (Kecerdasan Buatan)," katanya lagi.

Dalam pada itu, akhbar tempatan Sinar Harian pada 1 Julai melaporkan kajian sebuah badan pemikir bebas, The Centre yang telah mengesan peningkatan ucapan berbaur kebencian di kalangan pengguna Twitter di Malaysia melalui aplikasi Kecerdasan Buatan #TrackerBenci.

Menurut akhbar berkenaan, sebanyak 2,740 ciapan dikesan mengandungi elemen kebencian pada Mac lalu dengan angka itu meningkat kepada 3,088 pada April, dan berlaku sedikit penurunan kepada 3,004, pada Mei.

The Centre dalam kajiannya menerusi aplikasi itu juga mendapati sekitar 34 peratus rujukan dan ayat telah dikenalpasti sebagai berpotensi berbaur kebencian.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil pada Khamis menyatakan sokongan terhadap cadangan Azalina itu dengan berkata kebanyakan undang-undang sedia ada menekankan kepada beban pembuktian serta melibatkan profiling, dan penggunaan akaun (media sosial) palsu.

“Saya fikir ada ruang untuk kita melihat kembali undang-undang sedia ada dan bagaimana kita boleh menambahbaik,” katanya kepada media selepas satu majlis di Selangor.

Bagi Shad Saleem Faruqi, seorang professor undang-undang di Universiti Malaya pula mendapati cadangan tersebut adalah sesuatu yang baik, tetapi tidak nampak kemampunanya membendung perbuatan yang menyentuh 3R.

“Walapun idea memperkenalkan akta baharu yang lebih mudah dan denda sebagai hukuman mempunyai merit, saya tidak yakin ia akan secara efekif mengekang perbuatan mencetuskan kekacauan,” katanya semasa dihubungi BenarNews.

Polis siasat pemimpin politik

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan yang Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Muhammad Sanusi Md Nor sedang disiasat atas dakwaan cuba mencetuskan ketidakharmonian dengan ucapan yang menyentuh 3R.

Menurut Razarudin, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, disiasat atas dakwaan menghina dan merendahkan Sultan Selangor dalam satu ceramah di negeri tersebut.

“Siasatan ini akan mengambil masa tujuh hari untuk kita lengkapkan beserta tindakan lanjut. Kita ada pasukan petugas khas yang terdiri daripada 21 pegawai penyiasat yang menangani siasatan melibatkan kes-kes berkaitan isu 3R.

“Seksyen-seksyen yang selalu berkaitan dengan 3R ni adalah bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan juga Akta Hasutan. Kertas siasatan yang lengkap akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Khamis.

Sanusi merupakan pemimpin politik ketiga yang disiasat berkaitan isu 3R minggu ini, di mana pada Isnin lalu, pihak berkuasa negara itu telah mengesahkan yang Polis telah membuka siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng, yang juga ahli komponen Kerajaan Perpaduan atas dakwaan membuat kenyataan berbaur hasutan.

Ujar Razarudin lagi, kes-kes berkaitan 3R semakin meningkat khususnya apabila negara itu semakin hampir dengan pilihan raya negeri pada 12 Ogos depan.

Enam negeri yang akan terlibat dalam pilihan raya tersebut adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Dalam soal ini, apa jua perkara sensitif melibatkan 3R kita akan siasat, dan siasatan berhubung 3R daripada 27 Mac lalu sehingga kini, sebanyak 61 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis, termasuk terbaharu membabitkan Sanusi semalam, dan ada diantaranya sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan.

“Selain Sanusi, kita juga sedang menyiasat bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang selain beberapa NGO yang berkaitan politik selain figura-figura politik yang lain,” kata Ketua Polis yang baharu dilantik itu.

Perdana Menteri Anwar pada Selasa turut memberikan amaran tegas berkaitan isu 3R dan meminta supaya pemimpin politik supaya berhenti memainkan isu tersebut.

“Ini amaran terakhir daripada kerajaan. Saya selaku Perdana Menteri tidak ada pilihan lain kerana desakan daripada kalangan berfikir untuk pertahankan keselamatan negara.

“..saya anggap keadaan ini sudah sampai agak serius kerana sudah puluhan tahun, kita belum nampak dan lihat kenyataan yang melampau dan dibiarkan," ujarnya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan Kerajaan Perpaduan di Kuala Lumpur.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.