Video Mengapa Najib Tidak Layak Jadi PM Malaysia Viral Di Laman Sosial
2015.12.09

Sebuah video bertajuk ’51 Dalil Mengapa Perdana Menteri Najib Razak Sudah Tidak Layak Jadi Perdana Menteri’ mula menjadi‘viral di media sosial pada Rabu, semasa berlangsungnya persidangan ketiga–tiga sayap UMNO pada Perhimpunan Agung parti itu di Kuala Lumpur.
Video berdurasi lebih 5 minit, yang dipercayai mula disebarkan melalui sebuah laman Facebook, menyenaraikan 51 perkara tentang kegagalan dan kelemahan Najib sebagai seorang Perdana Menteri sepanjang pemerintahan Barisan Nasional.
Antara dalil itu ialah Najib tidak berupaya mengawal isterinya yang boros bebelanja; kos sara hidup rakyat meningkat; syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhutang hingga RM42 bilion; menjual aset strategik negara; pentadbiran mengamalkan rasuah; memecat orang yang menyiasat beliau; menghabiskan berbilion ringgit untuk konsultan ‘separuh masak’; mempunyai barisan menteri kabinet yang lesu dan bercakap seperti orang bodoh; terima RM2.6 bilion secara peribadi tetapi tidak beri bukti siapa bagi dan untuk apa ia dibelanjakan; membelakangkan titah Raja-raja Melayu untuk mempercepatkan siasatan salah laku 1MDB; Malaysia menjadi antara negara paling korup dalam dunia; reputasi Malaysia jatuh dan dipandang hina oleh masyarakat dunia kerana masalah yang diciptanya sendiri.
Sehingga lewat malam Rabu, video itu telah dikongsikan oleh lebih 13,000 pengguna Facebook manakala lebih 400,000 orang lagi sudah menontonnya.
Najib dijadualkan merasmikan Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur pada Khamis.
Pada 1998, sebuah buku bertajuk ‘50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri’ telah diterbitkan dan diedarkan semasa Perhimpunan Agung UMNO pada tahun itu yang merujuk kepada Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Presiden UMNO.
Buku itu, yang diterbitkan oleh Khairuddin Abu Hassan dan ditulis oleh Khalid Jefri, dilihat telah mencetuskan kejatuhan Anwar sebagai Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri dalam pentadbiran kerajaan.
Khairuddin, yang dilihat sebagai proksi bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad semasa pemecatan dan kejatuhan Anwar pada masa itu, telah ditahan polis bersama peguamnya Matthias Chiang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada September lalu.
Khairuddin, 53, dan Chang, 65, didakwa mensabotaj perkhidmatan perbankan dan institusi kewangan Malaysia mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.
Penahanan mereka dibuat kerana kelantangan mengkritik syarikat pelaburan negara 1MDB serta membuat laporan polis di lima lokasi di luar negara iaitu di Paris, London, Bern, Hong Kong dan Singapura mengenai syarikat berkenaan.
Selepas lebih dua bulan berada di dalam tahanan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Khairuddin dan Chang diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah pada 18 November lalu.
Dalam pada itu, Najib mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi UMNO pada malam Rabu yang turut dihadiri Timbalan Presiden Muhyiddin Yassin, bagi membincangkan agenda dan usul yang akan dibentangkan semasa berlangsungnya perhimpunan tahunan selama lima hari itu.