Malaysia Kesal Dengan Laporan Badan Penyiaran Australia.
2016.03.30
Kuala Lumpur
Malaysia melahirkan rasa kesal terhadap dokumentari yang disiarkan oleh Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) kerana laporan itu dikatakan berat sebelah selain menyerang akauntabiliti Perdana Menteri dan sistem kerajaan negara itu, kata Kementerian Luar Negara pada lewat Rabu.
Wisma Putra mengeluarkan kenyataan media pada Rabu, selepas ABC melalui segmen Four Corners, menyiarkan dokumentari bertajuk “State of Fear: Murder and Money in Malaysia” yang antara lain memaparkan laporan yang mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dengan skandal dana negara yang sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta beberapa kes pembunuhan yang berlaku di Malaysia.
Dokumentari itu disiarkan di Australia sejak Isnin lepas.
“Walaupun banyak kenyataan rasmi kerajaan terhadap dakwaan itu telah dikeluarkan untuk menjelaskan isu tersebut, penjelasan ini nampaknya telah diabaikan dan mengakibatkan pemberitaan yang berat sebelah.
"Sesungguhnya, amat dikesali bahawa laporan dalam dokumentari itu bersifat berat sebelah dengan menyerang akauntabiliti Perdana Menteri Malaysia dan Sistem Kerajaan Malaysia," kata kenyataan itu.
Mengenai dakwaan terhadap Najib mengenai 1MDB, Wisma Putra berkata ia sememangnya penting untuk menarik perhatian bahawa kes itu masih disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan laporan akhir dijangka dibentangkan kepada Parlimen tidak lama lagi.
Tahun lepas, Najib berhadapan dakwaan rasuah dan salah urus dana negara 1MDB dan pendedahan bahawa kira-kira AS$681 juta (RM2.6 bilion) telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, selepas akhbar The Wall Street Journal (WSJ), yang berpangkalan di Amerika Syarikat membuat laporan mengenainya pada Julai.
Najib telah disiasat berhubung deposit wang ke dalam akaun bank peribadinya itu, dan laporan-laporan media pula mengaitkan wang tersebut dengan 1MDB. Beliau menegaskan yang beliau tidak mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadinya.
Febuari lepas, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali "membersihkan nama" Najib lantas mengelakkan beliau daripada menghadapi pertuduhan rasuah berikutan laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang tidak didedahkan kepada umum.
Apandi turut mengumumkan bahawa "tiada jenayah dilakukan" dan wang tersebut merupakan "derma peribadi" kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Nama Najib mungkin telah dibersihkan di peringkat nasional, tetapi nama 1MDB timbul dalam beberapa siasatan yang dijalankan di Abu Dhabi, Hong Kong, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat, menurut akhbar WSJ itu malah turut melaporkan bahawa FBI [Federal Bureau of Investigation] telah membuka fail siasatan mengenai pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB.
Sementara itu, Jurucakap kerajaan Malaysia dalam satu kenyataan yang turut dikeluarkan pada Rabu berkata, laporan dokumentari itu dengan sendirinya telah mengesahkan bahawa wang yang didepositkan ke dalam akaun Najib adalah derma daripada keluarga diraja Saudi.
Dokumentari yang diterbitkan itu, juga menyiarkan Najib menerima sumbangan AS$75 juta daripada Putera Arab Saudi dan AS$80 juta lagi daripada Kementerian Kewangan negara itu.
Jurucakap kerajaan itu juga berkata, sepucuk surat yang bocor daripada Arab Saudi menyatakan derma itu adalah hadiah kepada Najib kerana mempromosikan Islam sederhana serta memerangi keganasan dan ekstremisme, termasuk melancarkan Gerakan Kesederhanaan Global.
"Siasatan termasuklah pemeriksaan forensik terhadap setiap pindahan wang. Pihak berkuasa Malaysia juga telah pergi ke Arab Saudi untuk memeriksa dokumen dan menemuramah anggota keluarga diraja dan pegawai yang menguruskan sumbangan itu,’’ kata kenyataan Jurucakap kerajaan itu.
‘Motif dendam’
Sementara itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar memberitahu BeritaBenar melalui aplikasi Whatsapp bahawa laporan dokumentari Four Corners itu sengaja mahu memburukkan nama perdana menteri serta bermotifkan dendam.
"Saya sendiri telah menonton dokumentari Four Corners dan apa yang saya nampak ialah mereka menjadi pendendam, selepas ditahan pihak berkuasa ketika berada di Sarawak, baru-baru ini,
“Mereka cuba mencemarkan imej Malaysia dan mempunyai agenda tersembunyi,” katanya,’’ katanya kepada BeritaBenar.
Katanya, "Sudah berulang kali diperjelaskan kes pembunuhan Hussain Ahmad Najadi (pengasas AmBank) tidak ada kaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan begitu juga (Timbalan Pendakwa Raya) Kevin Morais disahkan peguam negara tidak terbabit dengan siasatan syarikat berkenaan,".
Wartawan program Four Corners, Linton Besser dan jurukamera Louie Eroglu ditahan polis Malaysia pada 12 Mac lalu, selepas didakwa menyeberangi garisan keselamatan untuk menyoal Najib semasa perdana menteri itu melawat Kuching, Sarawak.
Kedua-duanya ditahan polis lebih enam jam dan selepas dibebaskan mereka dihantar pulang ke negara asal.
‘Hubungi Duta’
Dalam pada itu, portal berita asiang Asia Sentinel melaporkan sumbernya berkata, isteri perdana menteri, Rosmah Mansor telah berulang kali menghubungi Duta Amerika Syarikat di Kuala Lumpur Joseph Y. Yun dalam cubaan untuk meminta Peguam Amerika Syarikat bagi Daerah Selatan New York, Preet Baharara membatalkan siasatan skandal kewangan yang melibatkan 1MDB.
Menurut laporan portal media yang berpejabat di Hong Kong itu, kisah percubaan Rosmah untuk mengekang siasatan AS itu telah tersebar secara meluas di kalangan para diplomat yang berada di sekitar Kuala Lumpur.
“Yun dikatakan telah memberitahu Rosmah, bahawa Bharara beroperasi secara bebas di Jabatan Negara dan Jabatan Luar negara itu, dan Presiden Obama juga tidak dapat mempengaruhi penyiasatan, walaupun jika beliau mahu berbuat demikian,” lapor portal berita itu lagi.
Percubaan untuk mendapatkan pengesahan Kedutaan Amerika Syarikat di ibunegara itu bagaimanapun tidak dijawab.
"Rosmah telah diberitahu," Jika kamu tidak membuat sesuatu yang salah, jangan bimbang tentang hal itu, " kata sumber berkenaan, lapor laman web itu dalam laporannya bertarikh 28 Mac.