Penganggur Dipenjara Empat Tahun Miliki Barangan Berkaitan IS

Ray Sherman
2017.08.28
Kuala Lumpur
is.jpg Antara barangan membuat bom yang dirampas dari sekumpulan rakyat Malaysia yang dipercayai anggota kumpulan IS di Selangor, pada 25 April 2015.
Ihsan Polis DiRaja Malaysia

Sebuah Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memenjarakan seorang penganggur selama empat tahun atas pertuduhan memiliki pelekat, buku serta beberapa keping gambar berkaitan kumpulan Negara Islam (IS) tahun lalu.

Mohamad Saufi Ibrahim, 22, yang berasal dari Pulau Pinang dijatuhkan hukuman itu selepas menukar pengakuannya kepada bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sofian Abd Razak.

Pada Ogos 8, Mohamad Saufi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang sama di mahkamah tersebut.

Hakim berkenaan pada Isnin memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman tersebut bermula tarikh dia ditangkap, iaitu 15 Julai, tahun lalu.

Tertuduh didakwa memiliki sekeping pelekat yang berlambangkan bendera IS, dua buah buku bertajuk 'Tarbiyah Jihadiyah' iaitu Jilid 1-6 dan Jilid 7-11 serta 10 keping gambar yang mempunyai kaitan dengan perbuatan keganasan.

Mohamad Saufi didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Pangsapuri Tanjung Bungah, Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada jam 3.15 petang, 15 Julai tahun lalu.

Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksima tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak keatas mana-mana barangan berkenaan jika disabit kesalahan.

“Kesalahan yang telah dilakukan oleh tertuduh adalah amat serius dan ia boleh menjejaskan keselamatan negara walaupun tertuduh baru mula minat dan kecenderungan untuk memiliki barangan untuk mengetahui lebih mendalam mengenai kumpulan Daesh,” kata Hakim itu menggunakan terma lain untuk IS.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadzlan Mohd Noor memohon hukuman yang berat kerana kes keganasan di Malaysia kian meningkat.

Manakala, peguam  Mohd Imran Mohd Farouk yang mewakili tertuduh merayu hukuman yang ringan kerana anak guamnya adalah pesalah muda dan menyesali perbuatannya.

Pihak berkuasa Malaysia kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan pelbagai usaha dijalankan untuk meningkatkan keselamatan semasa temasya Sukan SEA ke-29 di mana Malaysia adalah tuan rumah bagi acara sukan terbesar bagi Asia Tenggara itu. Pelbagai acara sukan yang sedang berjalan melibatkan 11 buah negara dijadualkan berlangsung antara 19 hingga 31 Ogos ini.

Pada Jun 2016 Malaysia menjadi sasaran serangan pengganas apabila sebutir bom tangan dilemparkan ke arah kelab malam Movida yang mencederakan lapan orang.

Dua lelaki tempatan mengaku bersalah melakukan serangan berhampiran Kuala Lumpur itu dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun setiap seorang.

Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi, perekrut prolifik bagi IS di Malaysia, yang berpangkalan di Syria, sebelum beliau terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria pada April, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Tindakan keras terhadap keganasan dalam tempoh empat tahun yang lalu juga telah menyebabkan penangkapan 310 orang, menurut data kerajaan yang diperolehi BeritaBenar. Kira-kira 66 suspek telah dibebaskan, kata pegawai.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.