Malaysia Terus Berusaha Bebaskan Tebusan Abu Sayyaf

Fahirul N. Ramli & Hata Wahari
2016.09.27
Kuala Lumpur
160927-MY-brothers-jb-620.jpg Tentera Filipina sedang menjalankan operasi menjejaki anggota kumpulan Abu Sayyaf di bandar Paktikul, wilayah Sulu, selatan Pulau Mindanao, 30 Ogos, 2016.
AFP

Kerajaan Filipina pada Selasa berkata dua adik beradik dari kumpulan saudara Muktadil, Nikson dan Brown, terbunuh dalam kempen berterusan yang dijalankan oleh pihak polis dan tentera untuk membebaskan semua mangsa penculikan, termasuk lima rakyat Malaysia, yang diculik  kumpulan Abu Sayyaf (ASG) serta sekutunya, saudara Muktadil.

Jurucakap pentadbiran Tentera Wilayah Barat Mindanao Mejar Filemon Tan berkata, tentera daripada Sulu Joint Task Force, yang dibantu oleh sukarelawan dari bandar Panglima Estino, terlibat dalam kejadian tembak-menembak dengan saudara Muktadil di Pulau Tambulian.

Beliau berkata, kematian dua beradik itu, adalah satu tamparan hebat kepada kumpulan itu, terutamanya kepada sub-kumpulan berkenaan yang dipimpin oleh Alhabsy Misaya kerana mereka bertanggungjawab dan arif sebagai pemandu laut dan pelayaran semasa melakukan penculikan di laut.

Nikson Muktadil, ketua kumpulan dan adiknya, Brown, telah terlibat dalam beberapa siri penculikan yang melibatkan 26 warga Filipina, Malaysia dan Indonesia, kata jurucakap itu.

Seorang lagi abangnya, Mindas, terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak berkuasa di Jolo, Sulu, pada Mei tahun lepas manakala seorang lagi saudara mereka iaitu, Khadafy Muktadil telah ditangkap pada November lepas.

Tan seperti dilaporkan oleh Mindanao Examiner berkata, Nikson dan Brown ditembak mati  ketika cuba melarikan diri selepas berjaya di tahan oleh  pihak tentera.

“Ketika pihak tentera ingin membawa kedua-duanya, Nikson dan Brown ke ibu pejabat Tentera mereka telah merampas senjata daripada pasukan tentera, dan pihak tentera tidak mempunyai pilihan lain kecuali menembak kedua-dua penjenayah yang dikehendaki tersebut,’’ katanya kepada media pada Selasa seperti dilaporkan oleh Mindanao Examiner

Pada hari yang sama juga, Polis Filipina mengumumkan yang pasukannya berjaya mematahkan sindiket yang membekalkan senjata api dan peluru kepada kumpulan Abu Sayyaf itu dengan merampas sebuah cache pelancar bom tangan, senapang tentera dan beribu-ribu butir peluru yang bernilai 6 juta peso (AS $ 124,000) apabila menahan ketua sindiket berkenaan, Unding Kenneth Isa, bersama tiga lagi rakannya di kawasan Metro Manila pada Sabtu lalu.

Tuntutan wang tebusan

Dalam apa yang dipanggil laporan eksklusif, Rappler.com, sebuah laman web berita yang berpangkalan di Filipina, mendakwa Abu Sayyaf telah mengumpul sekurang-kurangnya $354.1 juta peso (AS$7.3 juta) pada 2016 daripada wang tebusan yang dibayar kepada kumpulan berkenaan.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya $324.1 juta peso (AS$6.7 juta) dikumpul melalui wang tebusan yang dibayar bagi membebaskan pelayar dari Asia Tenggara yang diculik kumpulan tersebut.

Rappler mendakwa bahawa wang tebusan itu, telah dibayar bagi 17 rakyat Indonesia yang dibebaskan oleh Abu Sayyaf tahun ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu menafikan pembayaran wang tebusan untuk membebaskan mangsa culik.

"Apa yang pasti ialah kerajaan Indonesia dan Filipina tidak mengeluarkan satu sen pun untuk membayar wang tebusan," kata Ryamizard. "Jika kita taat kepada mereka [permintaan mereka untuk membayar wang tebusan], ia bermakna kita berada di bawah kuasa mereka," kata Ryamizard, mengulas mengenai pembebasan tiga pelaut Indonesia pada 18 September.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan selepas ditahan selama 10 minggu dan sehari sebelum itu seorang rakyat Norway Kjartan Sekkingstad dibebaskan selepas ditahan selama berbulan-bulan dimana kumpulan Abu Sayyaf itu telah memancung kepala dua rakyat Kanada yang telah diculik bersama Sekkingstad.

Sementara itu, Malaysia terus berusaha untuk membebaskan lima anak kapal yang  diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf dari kapal mereka di luar pantai Sabah pada Julai lepas.

Ketua Polis Malaysia, Khalid Abu Bakar semasa menjawab pertanyaan BeritaBenar mengenai nasib lima rakyat Malaysia yang kini ditahan kumpulan Abu Sayyaf itu berkata, beliau tidak dapat mendedahkan perkembangan terkini mengenainya, sebaliknya meminta media menunggu pengumuman rasmi oleh Polis.

“Ada perkembangan baru, tunggu sidang media rasmi,” katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.

Dalam pada itu, Pengerusi Malaysian Community Care Foundation (MCCF) Halim Ishak yang terlibat secara langsung dengan pembebasan empat rakyat Malaysia iaitu adik-beradik Wong Teck Kang, Wong Teck Chii, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, dan seorang lagi anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, pada 1 April lepas memberitahu NGO itu dengan jaringan pihak tertentu masih mencari tempat persembunyian kumpulan yang menculik lima rakyat Malaysia tersebut.

“Mangsa-mangsa disembunyikan di beberapa tempat dan sering berpindah dari satu tempat ke satu tempat,’’ katanya pada BeritaBenar dan berharap agar semua  pihak bersabar kerana pihak kerajaan sedang berusaha membebaskan mangsa culik.

Penganalisa keselamatan berkata Malaysia perlu meningkatkan usaha untuk menangani cabaran daripada kumpulan militan.

Malaysia perlu memerangi penculikan secara profesional dan tidak membayar wang tebusan, penganalisa keselamatan Akhbar Satar memberitahu BenarNews.

"Bagi saya, Malaysia tidak harus tunduk kepada tekanan daripada penculik kerana ia akan menjadi satu trend," katanya.
"Mungkin, kita perlu memilih penggunaan ops khas untuk membebaskan tebusan sama seperti AS" tambah beliau lagi.

Usaha tiga hala

Filipina, Malaysia dan Indonesia telah mengadakan beberapa siri mesyuarat yang bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pelaut di rantau itu. Ketiga-tiga negara telah membincangkan keperluan untuk rondaan marin bersama bagi menghentikan kes penculikan oleh kumpulan militan berkenaan di Laut Sulu dan Sulawesi yang memisahkan kesemua negara, tetapi belum lagi melancarkan sebarang rondaan.

Presiden Filipina yang baru, Rodrigo Duterte telah mempergiatkan serangan ketenteraan terhadap kumpulan Abu Sayyaf di negara itu, termasuk mengerahkan Polis dan batalion tentera, melibatkan kira-kira 9,000 kakitangan mengepung kawasan yang disyaki menjadi tempat persembunyian di wilayah Pulau Sulu dan Basilan. Hasilnya, hanya 21 anggota kumpulan itu menyerah diri pada Jumaat di Sumisip, Basilan, menurut pegawai kerajaan.

Selain itu, polis berkata, sejumlah besar bot yang tidak berdaftar telah dirampas baru-baru ini di Sulu dan perairan berdekatan, dalam usaha menghalang pergerakan anggota kumpulan Abu Sayyaf oleh Tentera Laut Filipina di kawasan terlibat.

Ketua Turus Angkatan Tentera Jeneral Ricardo Visaya berkata tiada tarikh akhir untuk menamatkan operasi membanteras kumpulan pengganas Abu Sayyaf itu.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.