Pegawai Malaysia: Empat Dipercayai Warga Filipina Ditembak Mati Di Perairan Sabah
2018.05.08
Kota Kinabalu, Malaysia
Pasukan keselamatan Malaysia menembak mati empat orang lelaki yang dipercayai anggota kumpulan penculikan Filipina semasa berlakunya kejadian tembak menembak di kawasan perairan Sabah pada Selasa, kata pegawai.
Pertembungan itu berlaku selepas anggota Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan polis marin memintas sebuah bot sebelum subuh di sekitar 9.6 batu nautika dari pantai Lahad Datu, sebuah bandar di bahagian timur negeri itu,
"Suspek, berusia antara 20 dan 40 tahun itu melepaskan tembakan ke arah pihak pasukan, yang mengakibatkan pihak berkuasa membalas tembakan untuk mempertahankan diri," Ketua Polis Sabah, Ramli Din memberitahu sidang media di Lahad Datu.
Ramli berkata dua suspek didapati terbunuh di dalam bot, manakala dua lagi mayat dijumpai terapung di kawasan berhampiran tempat kejadian. Pasukan keselamatan tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi kesan tembakan didapati di sebelah kiri bot, kata Ramli.
Ramli memberitahu BeritaBenar yang pihak polis masih menyiasat jika suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan militan, seperti Abu Sayyaf, di selatan Filipina.
"Kami sedang menyiasat sama ada mereka menyokong kumpulan militan Negara Islam (ISIS)," Ramli berkata.
Suspek tidak membawa sebarang pengenalan diri dan dipercayai menggunakan senjata api yang mungkin telah jatuh ke dalam air semasa berlakunya pertempuran, katanya.
Pihak berkuasa merampas bot, pistol Remington 45-kaliber, bom tangan 40 mm, 21 peluru untuk AK-47 dan kira-kira sedozen peluru bagi senapang jenis AR, katanya.
Militan Abu Sayyaf banyak terbabit di dalam kes menyamun, penculikan dan pengeboman di sekitar pulau Jolo dan Basilan di bahagian barat daya Filipina sejak penubuhannya pada awal tahun 1990-an.
Pada Mei tahun lepas, satu cabang kumpulan Abu Sayyaf yang menyokong militan ISIS, diketuai oleh Isnilon Hapilon, mengetuai pengepungan berdarah di bandar Marawi di bahagian selatan Filipina. Bandar itu musnah dan lebih daripada 1,200 orang, kebanyakannya militan, terbunuh di dalam pertempuran yang berakhir pada bulan Oktober.