Pakar Pesimis Tentang Usaha Damai Thailand
2015.11.18
Langkah kerajaan Thailand yang diterajui tentera untuk memulihkan rundingan damai dengan pemberontak selatan tidak mungkin berjaya kerana kumpulan pemberontak utama telah pun keluar, meninggalkan usaha ‘pintu belakang’ yang bertujuan membuka semula rundingan rasmi, kata para penganalisis.
Mereka percaya kumpulan pemberontak itu menyedari tidak banyak yang boleh diperolehi daripada meja rundingan dengan kerajaan tentera, dan tiada kemungkinan penyerahan kuasa politik atau ekonomi.
"Buat masa ini, komitmen kerajaan Thailand untuk berdialog adalah sebahagian besar daripada retoriknya," kata Matt Wheeler, penganalisa Asia Tenggara bagi Kumpulan Krisis Antarabangsa, sebuah pertubuhan yang berpengkalan di Brussels yang menjalankan penyelidikan mengenai konflik di seluruh dunia, kepada BeritaBenar pada Selasa.
"Etos NCPO ialah satu daripada perpaduan dan nasionalisme Thailand," katanya dalam e-mel, dengan menggunakan singkatan nama rasmi junta Thailand, Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman. "Mereka tidak bersedia untuk membuat apa-apa konsesi yang mereka anggap sebagai boleh menjatuhkan kedaulatan negara."
Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), kumpulan pemberontak yang paling berkuasa dan bersenjata daripada kumpulan pemberontak dan puak selatan "amat menyedari tentang perkara ini, dan mempertikaikan keikhlasan Bangkok," tambah Wheeler. "Oleh itu, tiada pihak yang menunjukkan kesediaan untuk bertolak ansur."
Lebih daripada 6,000 orang terbunuh sejak 11 tahun lalu dalam konflik pemisah di kawasan sempadan selatan negara yang didominasi oleh penduduk Islam yang berbahasa Melayu.
'Tiada sebarang tawaran'
Sejak Mac lalu, pegawai-pegawai Thailand telah berunding dengan para pemberontak selatan Thailand melalui saluran belakang - mesyuarat yang diusahakan Malaysia dengan tujuan mengadakan semula rundingan damai buat pertama kalinya sejak Disember 2013, ketika kerajaan pimpinan awam masih berkuasa di Bangkok.
Pelbagai kumpulan dan puak pemberontak bekerjasama bagi membentuk sebuah kumpulan induk, MARA Patani, untuk berunding dengan kerajaan Thailand. Panel tujuh ahli itu turut dianggotai tiga wakil BRN, katanya di sidang akhbar di Kuala Lumpur pada hujung Ogos lepas.
Sejak itu, BRN telah menarik diri daripada proses damai itu, kata Wheeler dan Zachary Abuza, seorang lagi pakar mengenai selatan Thailand, walaupun kumpulan itu sendiri tidak memberikan penjelasan mengenainya.
"Mereka hanya berkata bahawa tiada apa yang ditawarkan kepada kami untuk membuatkan kami mahu muncul (untuk berunding)," kata Abuza, seorang profesor di Kolej Perang Kebangsaan di Washington DC, kepada BeritaBenar dalam satu temu bual telefon.
Beliau turut menyuarakan rasa pesismis mengenai prospek rundingan damai itu, walaupun beliau mencadangkan supaya pihak-pihak berkepentingan yang berbeza - termasuk kerajaan Thailand dan Malaysia serta kumpulan pemberontak kecil selatan Thailand - berkemungkinan meneruskan rundingan itu dengan mereka.
"Kerajaan terus mengeluarkan kenyataan yang menyatakan ia komited kepada rundingan, bahawa mereka mahu memulakannya semula. Tetapi tiada apa yang ditawarkan untuk membawa kumpulan pemberontak yang berbeza ini ke meja rundingan, "katanya.
"Saya tidak percaya kerajaan serius. Apa yang kerajaan Thailand mahukan adalah pemberontak datang ke meja rundingan dan menyerah diri. Tiada apa-apa yang sedia mereka rundingkan sekarang, " tambah Abuza.
Masuk atau keluar?
Pada12 Okt, BRN mengeluarkan kenyataan bahasa Inggeris setebal empat muka di mana ia menyuarakan bantahan kuat terhadap proses damai baru.
"Kenyataan oleh Jabatan Penerangan BRN telah jelas menyatakan bahawa kumpulan itu tidak mengambil bahagian dalam proses semasa," kata Wheeler.
"Ia kekal menjadi soalan terbuka sama ada kehadiran individu yang mendakwa mewakili BRN dalam MARA Patani boleh dijelaskan secara berpuak, atau mengikut keinginan BRN untuk mengawasi MARA Patani."
Ahli MARA Patani yang memperkenalkan diri mereka sebagai anggota BRN enggan menjawab soalan BeritaBenar sama ada BRN telah, sebenarnya, menarik diri daripada proses damai itu.
Mungkin ada perdebatan dalaman BRN mengenai sama ada untuk terlibat dalam usaha damai yang sedang dilakukan atau tidak, kata Abuza.
"Anda mempunyai ramai orang BRN yang berkata rundingan damai itu adalah satu pembaziran masa dan kemudian, ada orang lain pula yang berkata, dengar, rundingan akan berlaku kerana Malaysia dan Thailand akan mengadakannya, jadi kita mungkin patut berada di sana."
Di Malaysia, sebuah negara Islam, rundingan itu menerima sokongan dwipartisan di tengah-tengah kebimbangan terhadap nasib Melayu Islam Thailand di selatan. Malaysia telah berusaha untuk mepermudahkan usaha damai itu.
Kumpulan-kumpulan kecil yang merupakan sebahagian daripada MARA Patani - Gerakan Mujahideen Islami Patani (GMIP), Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP) dan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) - sedang mencari peluang untuk meraih kepentingan politik daripada rundingan itu, jelas Abuza.
"Kumpulan berkenaan hanya benar-benar mengawal sedikit militan yang berada di medan. Oleh itu, mereka cuba memanfaatkan sesuatu daripada rundingan damai itu, daripada tiada mendapat apa-apa manfaat," katanya.
Tidak lama selepas BRN mengeluarkan kenyataannya, Kolonel Kasturi Mahkota, jurucakap MARA Patani dari PULO berkata, kumpulan itu akan mendesak supaya usaha damai diteruskan.
"MARA Patani akan meneruskan rundingan itu dan MARA Patani akan memastikan bahawa rundingan itu menjadi rasmi dalam masa terdekat ini," katanya dan kemudian menambah kata, “secara peribadi, apa yang berlaku dalam BRN - mereka yang menyokong dan menentang rundingan proses damai - adalah perkara biasa."
Sokongan Tempatan
Sementara itu, Kerajaan Thailand berkata rundingan itu akan tetap diteruskan.
Pada Oktober lalu, Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong, Setiausaha pasukan rundingan Thai, memberitahu BeritaBenar bahawa rundingan damai rasmi itu akan diadakan semula bulan ini.
Terbaru, ketua perunding Jeneral Aksara Kerdpol berkata pusingan pra rundingan berikutnya akan diadakan pada Disember depan.
Srisompob Jitpiromsri, yang menerajui Deep South Watch, iaitu kumpulan pemantau keamanan dan kumpulan sokongan yag berpejabat di wilayah selatan Pattani, tidak bersetuju dengan penilaian bahawa usaha runding damai semakin goyah.
“Sejak MARA Patani diperkenalkan, ia menampilkan imejnya dengan jelas dan penduduk tempatan memahami matlamat dan pendekatannya, oleh itu sepatutnya tidak ada masalah untuk meneruskan rundingan itu,” kata Srisompob kepada BeritaBenar.
“Berhubung dengan keikhlasan kerajaan Thailand, kita boleh lihat adanya dokumentasi yang menunjukkan sokongan terhadap rundingan damai dan wujudnya projek-projek yang menyokong keamanan,” kata beliau.
Pimuk Rakkanam, Hata Wahari dan Nasueroh menyumbang kepada laporan ini.