Keluarga Bimbang Keselamatan Pelarian Rohingya Tinggalkan Aceh

S. Adie Zul
2015.11.12
151112-ID-MY-ROHINGYA620 Pelarian Rohingya sedang mengambil makanan di kawasan sementara Tempat Pendaratan Ikan (TPI) Kuala Cangkoi, Kabupaten Aceh Utara. 14 Jun 2015.
BeritaBenar

Masyarakat Rohingya di Malaysia menyuarakan kebimbangan mereka dengan keselamatan hampir seribu orang pelarian kaum tersebut yang telah meninggalkan tiga kem di Aceh, Indonesia, yang dipercayai tertipu dengan tawaran oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk membawa mereka ke Malaysia.

Kebimbangan itu, disuarakan oleh Timbalan Pengerusi Rohingya Society Malaysia (RSM) Kedah, Yusof Ali yang percaya mereka diseludup keluar dari Aceh dalam kumpulan kecil ke Malaysia sejak beberapa bulan lepas

Masyarakat Rohingya di Malaysia juga merayu kepada pihak berkuasa Indonesia untuk mengetatkan kawalan di kem pelarian kerana dipercayai agen sindiket pemerdagangan beroperasi secara bebas di dalam kem di Kuala Langsa, utara and timur Aceh itu.

BeritaBenar pada 7 Okt lepas melaporkan, lebih 300 daripada 1,010 pelarian yang terdampar di Acheh, Mei lalu telah melarikan diri daripada tiga kem perlindungan di daerah itu

Sukarelawan kemanusiaan, pegawai kerajaan, dan pegawai imigresen yang ditemui berkata, kebanyakan pelarian melarikan diri secara berkelompok iaitu antara dua dan belasan orang, dengan bantuan agen haram.

Tujuan mereka adalah untuk ke Malaysia sama ada untuk bertemu keluarga yang sudah berada di sana ataupun mencari pekerjaan.

"Ramai kawan saya sudah melarikan diri kerana mereka perlukan wang untuk dihantar kepada keluarga di Myanmar. Di sini tidak ada pekerjaan," kata Ustaz Sahidullah, seorang pelarian yang ditempatkan di berek Desa Blang Ado, Kabupaten Aceh Utara kepada BeritaBenar.

Menurut Yusof, beliau mendapat maklumat beberapa pelarian yang berada di kem di Acheh setelah menerima tawaran daripada sindiket itu dan mereka tidak dapat dikesan selepas meninggalkan wilayah itu.

"Saya mendapat banyak panggilan telefon dari keluarga pelarian di Myanmar memohon bantuan untuk mengesan saudara-mara mereka yang telah melarikan diri dari kem di Aceh, dan sehingga kini kami tidak mengetahui nasib mereka kerana gagal dihubungi" katanya kepada BeritaBenar.

Yusof mengakui dia bimbang dengan nasib mereka yang terdedah kepada risiko perangkap semula dengan sindiket pemerdagangan manusia dan dikurung di kem transit haram seperti yang berlaku di selatan Thailand dan Wang Kelian, Perlis pada Mei lepas.

Yusof berkata, ejen sindiket itu adalah dari  kalangan rakyat Myanmar sendiri, dan dengan itu, memberikan kelebihan untuk menyusup masuk ke dalam kem perlindungan itu bagi memujuk pelarian meninggalkan kem ke Malaysia.

Beliau juga meminta pelarian Rohingya di Aceh supaya tidak termakan dengan pujuk rayu ejen sindiket kerana ia akan mendedahkan mereka kepada risiko besar yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa mereka.

Langkawi sebagai sasaran

Beliau percaya Langkawi menjadi sasaran sindiket pemerdagangan itu, untuk menyeludup masuk pelarian Rohingya kerana kedudukannya yang paling hampir dengan Aceh melalui perairan Selat Melaka.

"Mereka akan mencuba untuk mencari peluang menyeludup pelarian melalui Pulau Langkawi tetapi sekiranya pihak berkuasa Malaysia berjaya menghidu pergerakan mereka, saya khuatir mereka (pelarian Rohingya) akan dipaksa terjun ke dalam laut dan berenang ke darat oleh ejen sindiket berkenaan," katanya.

Menurutnya, ejen sindiket pemerdagangan itu juga tidak akan teragak mengurung pelarian yang gagal melangsaikan bayaran yang dikenakan untuk menyeludup mereka ke Malaysia sehingga keluarga mereka di Myanmar membuat bayaran penuh.

"Wang adalah segala-galanya bagi dalang sindiket ini dan kita bimbang sekiranya mereka mengalihkan operasi kem transit haram di negara jiran Malaysia sehingga mendapat bayaran penuh," tambah beliau.

Pada Mei lalu, pihak berkuasa Malaysia menemui 106 jenazah mangsa pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya di beberapa kubur besar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Penemuan menggemparkan itu adalah susulan terbongkarnya kubur besar yang hampir sama di selatan Thailand tidak lama sebelum itu.

Minggu lepas, media di Indonesia melaporkan jurucakap kerajaan daerah Aceh Utara, Amir Hamzah sebagai berkata, pelarian Rohingya di Kampung Blang Adoe semakin berkurangan.

Perkara itu turut disahkan oleh agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mendapati bilangan mereka berkurangan kepada 140 orang daripada 322 orang dan dipercayai telah diseludup keluar oleh sindiket pemerdagangan manusia.

‘Kenalpasti sindiket’

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenalpasti identiti enam individu yang terlibat dalam operasi kem tahanan haram di Wang Kelian, Perlis pada Mei lepas.

Mereka terdiri daripada warga Thailand dan Myanmar, dan salah seorang daripada mereka merupakan seorang wanita.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Ketua Pasukan Siasatan Khas PDRM Senior Asisten Komisioner Goh Kok Liang dipetik sebagai berkata, bagaimanapun, kesemua suspek yang dikenalpasti itu terdiri daripada anggota bawahan yang terlibat dalam operasi kem haram dengan tugas menyediakan makanan dan mengawal kawasan berkenaan.

Beliau percaya dalang utama sindiket itu masih bebas dan hasil siasatan mengenainya telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, dua minggu lepas.

Seramai 88 individu termasuk seorang jeneral kanan Thailand telah didakwa di sebuah mahkamah di Bangkok, Thailand kerana melakukan  jenayah pemerdagangan manusia di negara itu dan di Malaysia pada Selasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.