Agong lawat pusat ramalan dan amaran banjir ketika UMNO terus desak PRU awal
2022.10.06
Kuala Lumpur
Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Khamis menghadiri taklimat mengenai bencana dan kesiapsiagaan banjir di pusat ramalan dan amaran banjir negara di Ampang di tengah-tengah desakan parti terbesar negara supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diawalkan sebelum akhir tahun.
Lawatan di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dibuat beberapa jam sebelum pertemuan mingguan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara bagi membincangkan isu-isu berkaitan kerajaan.
“Pada sesi lawatan tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan diberi persembahan taklimat mengenai kesiapsiagaan agensi terlibat untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 yang dijangka bermula pertengahan November depan dan berakhir pada Mac 2023,” menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik Istana Negara awal Khamis.
Menurut Istana Negara, sembah taklimat tersebut turut menyentuh mengenai situasi terkini Covid-19 dan kesediaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghadapi banjir yang dipersembahkan oleh menterinya Khairy Jamaluddin.
Agensi berita nasional Malaysia Bernama melaporkan Khairy sebagai berkata, KKM mempersembahkan mengenai persiapan serta penempatan petugas kesihatan di pusat pemindahan sementara serta perancangan sekiranya fasiliti kesihatan awan turut dilanda banjir.
Menurut agensi tersebut, Menteri Kesihatan itu turut ditanya sama ada sesi sembah taklimat berkenaan turut menyentuh soal persiapan perlaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan beliau memaklumkan perbincagan taklimat hanya menjurus kepada persediaan menghadapi musim banjir.
“Tuanku hanya minta pandangan isu ini secara biasa bukan (kerana) PRU15, sebab memang kita berdepan dengan Monsun Timur Laut, tak ada perbincangan selanjutnya (mengenai PRU15). Tuanku sangat cakna dengan kesejahteraan rakyat,” kata Khairy seperti dilaporkan agensi berita itu.
Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada Jumaat lalu memaklumkan kepada awam mengenai pendirian rasminya bahawa Parlimen harus dibubarkan tidak lama lagi untuk membolehkan pilihan raya diadakan pada tahun ini, dengan turut memaklumkan yang Perdana Menteri akan menghadap Agong untuk mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen tidak lama lagi.
Setakat ini, hanya UMNO yang memberi tekanan supaya mempercepatkan pilihan raya umum manakala rakan kongsi lain dalam blok kerajaan iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diketuai mantan perdana menteri Muhyiddin Yassin menentangnya. Mereka menegaskan sekarang bukan masa yang sesuai kerana musim banjir.
Desakan bubar Parlimen
Di sebalik desakan yang semakin memuncak daripada partinya sendiri, Ismail Sabri beberapa kali mengulangi pendirian tegas bahawa tarikh pembubaran Parlimen adalah prerogatifnya sebagai perdana menteri.
“Pembubaran Parlimen tidak pernah diperkatakan secara terbuka pada masa lalu. Bukan dengan parti lain atau dengan parti sendiri. Seorang Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen apabila beliau merasakan masa yang sesuai untuk berbuat demikian,” ujar Perdana Menteri kepada media sebelum ini.
Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO pada Khamis turut memaklumkan media bahawa isu pilihan raya akan dibincangkan jika ada masa yang mencukupi untuk menyentuh perkara itu semasa pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong.
“Jika perbincangan mengambil masa terlalu lama, saya terpaksa melangkau perbincangan mengenai pilihan raya,” kata Ismail Sabri seperti dipetik Bernama.
Dalam pada itu, Istana Negara dalam satu lagi hantaran di laman media sosial rasmi Facebook turut memuat naik mengenai Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Perdana Menteri selepas lawatannya ke PRABN dengan memaklumkan bahawa pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan mengenai mesyuarat pra-Kabinet.
“Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama YAB Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” kata kenyataan oleh Istana itu.
Perdana Menteri memerlukan persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebelum tempoh matangnya sampai pada 23 September 2023.
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa berkata parti itu telah meneliti laporan oleh Jabatan Meteorologi dan berkata pilihan raya jika diizinkan tuhan akan dilakukan sebelum musim tengkujuh melanda negara dan sekiranya pembubaran Parlimen dibuat dalam masa terdekat.
Beliau sebelum itu menolak hujah pembangkang supaya pilihan raya tidak diawalkan atas alasan risiko musim banjir, sambil mendakwa ia hanya mitos yang dicipta oleh pembangkang yang memerlukan lebih masa untuk meraih sokongan pengundi.
Surat bantahan
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pada Khamis juga berkata bahawa menteri-menteri Kabinet daripada Perikatan Nasional (PN) dari parti itu dan BERSATU telah menyerahkan surat kepada Istana Negara bagi menyatakan rasa tidak setuju terhadap cadangan mempercepatkan pilihan raya pada tahun ini.
“Itu pandangan kami…kami menghantar surat semalam (Rabu) dan Al-Sultan Abdullah telah menerimanya,” ujarnya kepada media selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong semasa lawatan ke pusat ramalan dan amaran banjir negara.
Menurut Tuan Ibrahim yang juga menteri Alam Sekitar dan Air, semua menteri PN telah menandatangani surat berkenaan.
Penyerahan surat bantahan itu turut disahkan oleh menteri kanan Pendidikan yang juga Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin dalam satu majlis berasingan di Kuala Lumpur.
Pada musim tengkujuh tahun lepas, Malaysia telah melihat kemusnahan terburuk akibat banjir dengan ribuan rakyat kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan besar yang dianggarkan mencecah sejumlah RM6 bilion (AS$1.29 bilion).
Jabatan Meteorologi Malaysia pada bulan lepas telah mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang yang dijangka akan berlaku antara Oktober dan November, ketika negara melalui fasa transisi ke musim tengkujuh, selepas berakhirnya musim monsun barat daya.
Sekiranya pembubaran berlaku, Malaysia akan mengadakan PRU15 pada tahun ini bagi memilih kerajaan baru negara itu, yang keempat dalam tempoh empat tahun.
Para pengkritik turut menyelar pendirian UMNO yang berkeras mahukan pilihan raya diadakan segera sebagai satu "langkah terdesak" untuk melengah atau masuk campur dalam kes mahkamah yang sedang berjalan terhadap beberapa pemimpin parti berkenaan, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, walaupun perkara itu dinafikan beliau.
Negara Asia Tenggara itu terjebak dalam kemelut ketidakstabilan politik yang sekaligus membantutkan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang terjejas teruk oleh pandemik COVID-19, dan telah mengakibatkan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali sejak 2018.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.