Kalimah Allah: Agong titah selesaikan segera, elak gugat kesejahteraan negara

Seri Paduka bertitah polemik kalimah Allah bukan pada terminologi bahasa semata-mata tetapi turut melibatkan akidah umat Islam.
Ili Shazwani Ihsan & Noah Lee
2023.06.05
Kuala Lumpur
Kalimah Allah: Agong titah selesaikan segera, elak gugat kesejahteraan negara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Hormat Diraja sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, 5 Jun, 2023.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

KEMASKINI pada 9.15 malam waktu tempatan ETS - 2023-06-05

Kegagalan untuk menyelesaikan dengan segera konflik berkaitan peraturan dalam penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia boleh membawa "musibah" terhadap perpaduan rakyat berbilang kaum di negara itu, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin.

Seri Paduka bertitah demikian susulan tindakan Putrajaya baru-baru ini menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa orang bukan Islam di negara majoriti beragama Islam boleh menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan mereka.

“Polemik penggunaan kalimah ‘Allah' bukan merupakan perdebatan berhubung terminologi dan linguistik tetapi ia berhubung isu akidah umat Islam dan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.

"Beta merasa gusar dengan isu penggunaan kalimah “Allah” yang jika gagal diselesaikan segera, bakal menjadi polemik yang berlarutan sehingga boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara.

"Kerajaan beta hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah dalam konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara, kemaslahatan ummah dan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai ketua agama Islam,” titah Seri Paduka.

Agama isu sensitif

Menekankan kepentingan konsep beragama dalam kehidupan masyarakat Malaysia sepertimana yang tertakluk dalam prinsip pertama Rukun Negara iaitu ‘kepercayaan kepada Tuhan’, Sultan Abdullah mengingatkan agar isu agama tidak seharusnya dijadikan asas kepada pertikaian dan perbalahan.

Seri Paduka menegaskan bahawa pendekatan bijak, tertib serta toleransi harus diambil oleh semua pihak dalam menangani isu sensitif seperti kalimah Allah.

Yang di-Pertuan Agong bertitah sebarang polemik yang berhubung kait dengan agama jika gagal ditangani dengan segera umpama sumbu yang akhirnya bakal menyalakan api permusuhan antara kaum.

“Demi perpaduan dan masa depan negara, sebarang polemik agama hendaklah diselesaikan segera. Ianya menuntut jalan penyelesaian yang bijak dengan penuh kesantunan serta semangat bertolak ansur yang tinggi,” titah Seri Paduka.

Sultan Abdullah turut menyingkap sejarah kedudukan agama Islam yang telah terpelihara sejak awal kemerdekaan dan pembentukan kerajaan Malaysia di mana agama tersebut didaulatkan sebagai agama Persekutuan di bawah Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Hal agama persekutuan itu dicapai menerusi persefahaman dan persetujuan oleh semua pihak ketika negara memperolehi kemerdekaan untuk dijadikan sebagai panduan norma hidup masyarakat pasca kemerdekaan.

“Perpaduan dalam kepelbagaian adalah merupakan aset utama negara yang perlu dipertahankan. Jangan kita berterusan mengapikan sentimen dan polemik yang boleh meruntuhkan fabrik sosial masyarakat majmuk negara ini,” titah Seri Paduka.

Kegusaran itu dizahirkan Yang di-Pertuan Agong semasa bertitah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat hadir pada istiadat itu, di mana 839 orang dianugerahkan bintang dan pingat.

Istiadat seumpamanya itu adalah yang terakhir yang disempurnakan oleh Sultan Abdullah.

Seri Paduka ditabal sebagai Yang di- Pertuan Agong Malaysia yang ke-16 pada 15 Januari 2019 dan akan menamatkan tempoh perkhidmatan lima tahun menyandang kedudukan itu pada Januari 2024.

Kekeliruan

Pada awal bulan lalu, isu penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Muslim menjadi pertikaian ramai termasuk dalam kalangan masyarakat Islam. Ia ekoran keputusan kerajaan Malaysia pada 18 April lalu untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2021 yang mengisytiharkan Jill Ireland, seorang penganut Kristian dari Sarawak, mempunyai hak menggunakan kalimah Allah bagi tujuan agama dan pendidikan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa diminta mengulas mengenai isu tersebut pada masa itu menyatakan bahawa keputusan mahkamah dalam kes penggunaan kalimah Allah melibatkan seorang penganut Kristian hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada 2014, serta hanya terpakai di Sarawak.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pula menjelaskan kes berkenaan bukanlah isu kalimah ‘Allah’ sebaliknya hanya merupakan isu rampasan cakera pada video (VCD) milik Jill Ireland.

Bagi mengatasi kekeliruan itu, Anwar di dalam kenyataannya pada Mei lalu memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berkaitan kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.