Raja-Raja Melayu Akan Bertemu Susulan Laporan Mengenai Cadangan PM Untuk Isytihar Darurat

Muzliza Mustafa & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-10-24
Share
201024-MY-king-1000.JPG Yang di-Pertuan Agong baru Malaysia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memeriksa kawalan kehormat semasa istiadat sambutan rasmi di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 31 Januari 2019.
[Reuters]

Yang di-Pertuan Agong Malaysia meminta seluruh rakyat supaya bertenang ketika pihak Istana Negara mengumumkan pada Sabtu bahawa Seri Paduka akan mengadakan pertemuan dengan Raja-raja Melayu dalam masa terdekat untuk membincangkan cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, di tengah-tengah laporan bahawa pemimpin kerajaan negara itu minta Agong mengisytiharkan darurat.

Istana Negara dalam kenyataannya mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah menerima menghadap Muyhiddin di istana baginda di Kuantan, ibu negeri Pahang, pada Jumaat petang selepas perdana menteri mempengerusikan satu mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya pada sebelah paginya.

Kenyataan itu tidak menyatakan dengan jelas sama ada Muhyiddin meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat. Kali terakhir darurat diisytiharkan di Malaysia, yang mempunyai penduduk pelbagai etnik dan agama, ialah 51 tahun lalu apabila rusuhan kaum tercetus pada 1969.

"Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka untuk pelaksanaannya,” kata pihak istana dan memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong "memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman COVID-19."

Muhyiddin, perdana menteri yang tidak dipilih tetapi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang berikutan pertelingkahan dalaman lapan bulan lalu, menerajui kerajaan ketika negara itu menghadapi gelombang baru jangkitan koronavirus.

Kerajaannya bergantung kepada majoriti tipis Parlimen tatkala ia berdepan dengan kemerosotan ekonomi berikutan pandemik itu dan kegoyahan politik dalam kerajaan gabungannya selain cabaran rebutan kuasa oleh pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim.

“Seri Paduka turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini,” menurut kenyataan Istana Negara tanpa menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan "perkembangan terkini” itu.

"Berikutan itu dan susulan pertemuan semalam, Al-Sultan Abdullah akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata pihak istana.

Kenyataan itu merujuk kepada Raja-raja Melayu yang menganggotai Majlis Raja-Raja, sebuah badan merangkumi sultan dan Yang Dipertua Negeri mewakili 13 negeri dalam Malaysia. Majlis Raja-raja juga memilih Yang di-Pertuan Agong secara giliran setiap lima tahun.

"Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini, sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut," tambah kenyataan itu. “Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugat ketenteraman negara.”

Media pada Jumaat melaporkan Muhyiddin dijangka mengisytiharkan darurat, yang akan menyebabkan Parlimen tergantung, kerana beliau berisiko kehilangan undi legislatif bagi pembentangan Belanjawan 2021 yang akan dibahaskan awal bulan depan.

Kegagalan rancangan belanjawannya itu akan dianggap sebagai undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang, sebaliknya, boleh mengadakan pilihan raya mengejut, menurut laporan agensi berita Reuters.

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin memakai pelitup separuh muka ketika tiba di sebuah masjid di Putrajaya untuk menunaikan solat di tengah-tengah penularan koronavirus (COVID-19), 28 Ogos 2020. [Reuters]

Pada pagi Jumaat, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara serta wakil Majlis Keselamatan Negara. Setiausaha akhbar Muhyiddin dan pemimpin kerajaan lain enggan mendedahkan butir terperinci mengenai apa yang dibincangkan pada mesyuarat itu, dan tidak melayani pertanyaan BeritaBenar pada Sabtu.

Selepas mesyuarat itu, Muyhiddin melakukan perjalanan dengan kereta ke Kuantan - perjalanan sehala yang mengambil masa dua jam - untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. Pejabat Perdana Menteri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pertemuan tersebut selepas Muyhiddin kembali dari Kuantan pada Jumaat malam.

Menurut laporan Straits Times of Singapore, sumber-sumber memberitahu akhbar berkenaan bahawa "darurat ekonomi" mungkin diisytiharkan untuk memastikan cadangan Belanjawan 2021 Muhyiddin tidak terjejas di tengah-tengah suasana politik yang semakin tidak stabil.

"Ia tidak akan sama seperti perintah berkurung dan kehadiran pihak tentera yang kami alami selepas rusuhan kaum pada 1969," kata sumber, yang tidak disebutkan namanya, kepada Straits Times. "Sebaliknya, kehidupan normal semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) akan berlanjutan, tanpa politik menjejaskan usaha menangani krisis kesihatan."

Keputusan yang dibuat pada mesyuarat khas Jemaah Menteri "untuk menggunakan kuasa darurat" telah dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada Jumaat petang, lapor akhbar itu, yang memetik seorang pembantu menteri kanan.

Perintah kawalan pergerakan merujuk kepada pergerakan terhad yang dilaksanakan kerajaan Malaysia pada awal tahun ini untuk membendung penularan koronavirus.

Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri, boleh mengisytiharkan darurat, yang mungkin menyebabkan Parlimen tergantung, jika Yang di-Pertuan Agong yakin bahawa wujudnya ancaman terhadap keselamatan negara.

Tommy Thomas, yang berkhidmat sebagai peguam negara semasa kerajaan sebelum ini, mengeluarkan kenyataan tiga muka surat pada  Sabtu, yang dengan tegas mempersoalkan tindakan untuk mengisytiharkan darurat seluruh negara.

"Pengisytiharan Darurat di bawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan mempunyai impak negatif yang besar terhadap badan politik negara dan amalan kebebasan warganegara kita," kata Thomas.

"Adalah sukar untuk mencari hujah rasional bagi menyokong kes bahawa perlunya dilaksanakan "darurat" hari ini di Malaysia walau dengan alasan apa pun," katanya.

Anwar: 'Memungkinkan berlakunya kediktatoran dan autoritorianisme'


Mesyuarat yang diadakan pada Jumaat itu berlangsung dua hari selepas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu  (UMNO), sebuah parti utama dalam gabungan Perikatan Nasional yang memerintah, mengumumkan pengisytiharan gencatan politik dan membatalkan ancamannya sejak seminggu sebelum itu, apabila ia menyatakan sedang mempertimbangkan untuk menarik balik sokongan daripada gabungan itu kecuali syarat-syarat tertentu dipenuhi.

UMNO menguasai 39 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, dan kerajaan Muhyiddin bakal tumbang sekiranya parti itu menarik balik sokongannya.

UMNO mengancam untuk menarik balik sokongannya terhadap Muhyiddin setelah Anwar Ibrahim, pemimpin pembangkang yang mengetuai Pakatan Harapan, menghadap Yang di-Pertuan Agong  pada 13 Oktober bagi menyampaikan dokumentasi yang membuktikan beliau mempunyai majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, Anwar tidak memberikan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong dan beliau juga enggan menunjukkan senarai itu pada sidang beritanya kemudian.

Pada Jumaat, Anwar menyuarakan kebimbangannya bahawa kerajaan Muhyiddin "berusaha untuk melaksanakan darurat bagi menyekat proses Parlimen" dan mendesak Muhyiddin supaya mempertimbangkan semula langkah meletakkan negara dalam keadaan darurat.

"Pengisytiharan darurat hanya dilakukan apabila terdapat unsur ancaman terhadap keselataman negara kita. Tetapi, apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca ancaman keselamatan, maka langkah darurat adalah ternyata suatu langkah ke belakang yang akan memungkinkan berlakunya kediktatoran dan autoritorianisme,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Mahathir Mohamad, bekas sekutu Anwar dalam kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih pada pilihan raya umm 2018, juga mempersoalkan kesahihan kerajaan Muhyiddin dan laporan bahawa beliau sedang berusaha mendapatkan pengisytiharan darurat.

"Kerajaan ini bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Ia berkuasa dengan cara yang tidak demokratik. Dan kini, ia hanya mahu terus kekal berkuasa,” kata Mahathir, 95, yang menjadi perdana menteri sebanyak dua kali, dalam catatan Facebook beliau pada Sabtu.

"Berdepan kemungkinan digulingkan, Perdana Menteri mahukan kuasa di bawah perintah Darurat. Satu-satunya keuntungan yang akan memihak kepada Perdana Menteri, kerana Parlimen akan lumpuh. Beliau akan mendakwa bahawa itu adalah kehendak Istana,” kata Mahathir.

Dalam pada itu, seorang menteri dalam kerajaan Muhyiddin menyalahkan Anwar kerana menimbulkan kegawatan itu dan terlibat dalam membawa negara ke ambang kemungkinan darurat.

"Anwar perlu terima hakikat bahawa beliau turut terlibat sehingga menyebabkan timbul keadaan gawat ini. Beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong dan berusaha meyakinkan Seri Paduka bahawa beliau mendapat sokongan majoriti, dan mendakwa beliau mempunyai angka, dokumen yang cukup,” kata Annuar Musa, menteri Wilayah Persekutuan kepada wartawan di Kuala Lumpur pada Sabtu.

"Kami menunggu. Tetapi, semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, beliau tidak menyerahkan satu nama pun kepada Seri Paduka. Senarai nama yang digunakannya, nampaknya, ramai yang mempertikaikannya."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut <a href='/english/about/terms-of-use'>Syarat Penggunaan BeritaBenar</a>. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.