Yang di-Pertuan Agong Enggan Terlibat Dengan Petisyen Mahathir: Najib
2016.09.21
Kuala Lumpur
Yang di-Pertuan Agong Malaysia enggan mempertimbangkan petisyen awam diketuai bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang menggesa penyingkiran Perdana Menteri Najib Razak yang dibelenggui skandal, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib pada Rabu.
Mahathir menghadap Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah lebih daripada satu jam minggu lepas untuk menyerahkan "Deklarasi Rakyat" yang ditandatangani lebih daripada 1 juta rakyat Malaysia yang menggesa supaya Najib meletak jawatan berikutan dakwaan terlibat dalam menyalahgunakan berbilion dolar dana negara, kata anak Mahathir, Mukhriz.
Najib berkata pada Rabu bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memaklumkan kepada Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha parti pembangkang baru Mahathir, Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (PPBM). Deklarasi itu tidak mengikut perlembagaan, menurut kenyataan daripada Najib.
“Saya telah dimaklumkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bahawa baginda menerima menghadap Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Anak Bukit di Alor Setar minggu lepas,” kata kenyataan Najib yang dikeluarkan dalam Bahasa Melayu.
"Pada pertemuan itu, baginda mengambil maklum isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir. Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong turut menjelaskan kepada Tun Dr Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)," kata kenyataan itu seterusnya.
“Ini kerana deklarasi yang dibuat oleh PPBM adalah tidak mengikut Perlembagaan. Sebarang tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim iaitu melalui Parlimen dan sistem pilihan raya bagi rakyat membuat keputusan,” katanya.
Najib tidak menyatakan bagaimana beliau mendapat maklumat mengenai pertemuan Tuanku Abdul Halim dan Mahathir, serta pendirian Yang di-Pertuan Agong.
PPBM adalah parti yang baru yang dilancarkan oleh Mahathir dan ahli-ahli politik kanan lain yang berpaling tadah daripada parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajui Najib.
Ia merupakan sesuatu yang sangat luar biasa bagi tokoh politik untuk bercakap bagi pihak Yang di-Pertuan Agong Malaysia, pemimpin diraja yang dihormati sebagai penegak tertinggi tradisi Melayu dan ketua simbolik Islam.
Pihak Istana tidak mengeluarkan sebarang maklumat mengenai pertemuan pada 15 September itu di antara Yang di-Pertuan Agong dan Mahathir, dan tidak ada maklum balas segera daripada pihak Istana berhubung kenyataan Najib.
'Kami sudah jalankan tugas,' Mukhriz
Najib sekeras-kerasnya menolak tuduhan rasuah itu, yang dikaitkan dengan dana negara dibebani hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan deposit bernilai hampir AS$700 juta ke dalam akaun peribadinya.
Mukhriz Mahathir, yang juga Naib Presiden PPBM, melahirkan kelegaan kerana bapanya telah menghadap Tuanku Abdul Halim bagi menyerahkan petisyen itu.
"Kini, kami telah mengemukakan deklarasi itu, sekurang-kurangnya kami boleh memberitahu rakyat yang kami telah menjalankan tugas kami," kata Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah sebelum penyokong setia Najib memaksa beliau meletakkan jawatan awal tahun ini.
“... kami telah menjalankan tugas kami. Rayuan yang dibuat oleh 1.4 juta rakyat Malaysia yang menandatangani deklarasi ini telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, " kata Mukhriz mengenai pertemuan empat mata di antara Mahathir dan Tuanku Abdul Halim, 89, yang merupakan Sultan Kedah paling lama bertakhta.
Sembilan Sultan Malaysia bergilir-gilir menjadi Yang di-Pertuan Agong berperlembagaan di negara itu di bawah satu sistem penggiliran unik yang diperkenalkan pada akhir pemerintahan penjajah British pada 1950-an.
Peranan mereka sebahagian besarnya berkaitan dengan istiadat, dan kuasa untuk mentadbir Malaysia terletak dalam tangan parlimen dan Perdana Menteri.
Tahun lepas, dalam ulasan yang jarang sekali dibuat, raja-raja telah memerintahkan supaya siasatan yang pantas dan telus dibuat terhadap 1MDB yang bermasalah, dan bertitah bahawa kegagalan kerajaan untuk memberikan jawapan yang meyakinkan mengenai skandal itu mungkin telah menyebabkan "krisis keyakinan."