Agong minta rakyat terus bersatu, kukuhkan keharmonian sempena Merdeka

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam titah baginda menyatakan bahawa keutuhan perpaduan adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2023.08.31
Kuala Lumpur
Agong minta rakyat terus bersatu, kukuhkan keharmonian sempena Merdeka Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Putrajaya yang turut dihadiri Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, 31 Ogos 2023.
[Ihsan Istana Negara]

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam ucapan sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia pada Khamis menyeru rakyat berbilang kaum di negara itu supaya bersatu padu dan mengukuhkan keharmonian negara, dengan para penganalisis politik melihat ketegangan antara kaum semakin meningkat sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum pada November lepas.

Sehari sebelum itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut memberikan peringatan serupa dengan meminta rakyat tidak bermain dengan api perkauman dan keagamaan, walaupun sesetengah penganalisis menyalahkan sepenuhnya masalah itu kepada blok pembangkang yang berpaksikan Melayu dan Islam.

"Keutuhan perpaduan ini adalah juga kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara serta benih dan sumber kekuatan bagi kita menghadapi apa jua cabaran semasa dan mendatang," titah Sultan Abdullah pada Khamis.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mencemar duli berangkat menyaksikan perarakan sempena Hari Kebangsaan peringkat kebangsaan yang pertama kali dianjurkan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar di Putrajaya.

Sultan Abdulah turut bertitah meminta rakyat Malaysia supaya mengenang semangat patriotik para pejuang negara dalam mendapatkan kemerdekaan dari British lebih 65 tahun lalu.

Pilihan Raya Umum tahun lalu dan Pilihan Raya Negeri di enam negeri baru-baru ini memperlihatkan beberapa insiden yang menganggu gugat keamanan negara.

Penganalisis menyifatkan kedua pilihan raya itu sebagai peristiwa yang menyaksikan 'polarisasi' antara masyarakat berbilang kaum.

Menurut penganalisis Tunku Mohar Mokhtar, tidak syak lagi ketegangan semakin memuncak itu berlaku dan ia disebabkan oleh semangat nasionalisme Islam yang dimainkan oleh parti pembangkang.

Tambah beliau, gabungan Perikatan Nasional - kumpulan parti pembangkang yang berpendirian keras mengenai nasionalisme Melayu dan turut dianggotai parti pro-Islam PAS - telah menerapkan pandangan kononnya orang Melayu di negara itu kini sedang dalam keadaan terancam.

Akan tetapi, menurut Tunku Mohar, naratif tersebut hanyalah satu alat yang dicipta Perikatan untuk faedah politik mereka.

"Amat jelas sekali bahawa Islam dan penganutnya tidak berada dalam keadaan terancam... Cuma ia lebih mudah untuk mendapatkan sokongan kumpulan pengundi berkenaan berbanding dengan menawarkan perubahan yang bermakna buat negara," kata ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu kepada BenarNews.

Di Malaysia, Islam merupakan agama persekutuan dan etnik Melayu - yang merupakan majoriti dengan 70 peratus daripada populasi Malaysia - adalah beragama Islam. Malaysia juga mempunyai bilangan minoriti yang agak besar dari etnik Cina dengan 22.8 peratus daripada populasi negara, diikuti bangsa India (6.6 peratus).

Rasa sangsi

Anwar, yang kini dalam penggal pertama sebagai perdana menteri, dalam ucapan sempena Hari Merdeka telah menggesa supaya semua perbuatan menanam rasa sangsi serta kebencian politik dan perkauman dihentikan.

"Jangan diremehkan perkara ini kerana ada negara yang hebat, muncul sebagai negara gagah dengan tamadun hebat, tetapi hancur bukan sahaja kerana tatakelola dan rasuah, malah dimainkan api perkauman serta fanatik agama.

"Kita boleh buat pilihan untuk terus mengadu domba, syak wasangka, permusuhan politik dan kaum atau kita boleh memilih untuk menyatakan 'sudahlah'," kata beliau kepada lebih 6,000 tetamu yang menghadiri pada majlis amanat sempena Hari Kebangsaan di Putrajaya pada Rabu.

Anwar turut mengulangi tekad pentadbiran negara untuk mempertahankan hak semua rakyatnya, selepas terdapat kegusaran bahawa identiti Islam dan hak istimewa orang Melayu dikatakan dalam keadaan terancam.

"Mengenai bahasa Melayu, kedudukan agama Islam, kedaulatan raja-raja dan hak Melayu serta Bumiputera, tidak harus dipertikaikan," tambah Perdana Menteri itu lagi.

Walaupun kerajaan pimpinan Anwar mempunyai majoriti lebih dua-pertiga di Parlimen setelah bekerjasama dengan beberapa parti yang dulu menjadi lawannya, perdana menteri itu tidak berjaya mendapatkan sokongan besar daripada pengundi Melayu yang melihatnya sebagai seorang yang liberal, menurut penganalisis.

Ekoran daripada persepsi itu, blok pembangkang berjaya memenangi banyak kerusi di tiga negeri yang dikawal parti kerajaan manakala memenangi hampir kesemua kerusi di tiga lagi negeri yang diperintah Perikatan.

Sukar henti pengaruh

Keputusan pilihan raya enam negeri itu mencerminkan pola undian pilihan raya umum pada November lalu.

"Malangnya, daripada apa yang saya lihat sekarang, pengaruh kumpulan haluan kanan adalah kuat," kata Syaza Shukri, seorang profesor madya sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.

"Sukar untuk menghentikan pengaruh gerakan berhaluan kanan ini."

Kata Syaza, kerajaan perlu melakukan yang terbaik dari segi pendidikan awal serta meningkatkan keupayaan hidup rakyat bagi memastikan keadaan tidak menjadi semakin memburuk.

"Ini adalah cara untuk menanganinya, kerajaan perlu menangani persepsi dan mendidik rakyat bahawa mereka tidak berada dalam keadaan terancam. Didik rakyat mengenai perlembagaan Malaysia dan hanya selepas itu mereka akan dapat faham," kata beliau.

Seorang lagi penganalisis, Azmil Mohd Tayeb bersetuju bahawa kerajaan pimpinan Anwar perlu memperkenalkan pendidikan mengenai nilai-nilai sivil di sekolah.

"Kita perlu mula menerapkan nilai-nilai kesederhanaan, keterangkuman serta rasa hormat kepada kepelbagaian di dalam masyarakat," kata Azmil, seorang profesor madya di Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia, kepada BenarNews.

"Program-program yang dapat merapatkan jurang perbezaan seperti dialog antara agama mesti digalakkan dan disokong. Sekolah dan guru perlu meletakkan lebih fokus kepada nilai-nilai ini di bilik darjah."

Sementara itu, bagi Awang Azman Awang Pawi, beliau percaya peningkatan semangat nasionalisme Islam tidak akan menjadi ancaman besar kepada blok kerajaan.

"Kalau kita lihat dasar mereka lebih bermain dari segi sentimen bukannya, fakta, data atau hujah yang munasabah," kata Awang dari Universiti Malaya kepada BenarNews.

"Perkara itu dapat diterangkan dengan hujah dan fakta. Ini perlu diambil tindakan dengan blok pembangkang yang dikaitkan dengan nasionalisme Islam. Mesej kerajaan perpaduan perlu lebih jelas dan sampai ke peringkat bawah."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.