Setelah empat tahun kemelut politik, Agong harap kerajaan Anwar kekal

Sultan Abdullah Sultan Ahmad saksikan pertukaran empat kerajaan sepanjang tempoh Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong sejak 2019.
Sheridan Mahavera & Iman Muttaqin Yusof
2023.02.13
Kuala Lumpur
Setelah empat tahun kemelut politik, Agong harap kerajaan Anwar kekal Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hadir pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 13 Februari, 2023.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Isnin mengkritik ahli politik negara dan bertitah bahawa krisis politik yang berlarutan selama empat tahun boleh dielakkan sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 diadakan tahun lalu sekiranya mereka dapat mengetepikan perbezaan.

Dalam titah baginda ketika majlis pembukaan sesi Parlimen, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyuarakan harapan bahawa Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 akan kekal di jawatan tersebut sehingga tugas baginda sebagai Agong tamat Januari tahun hadapan, kerana baginda telah menyaksikan pertukaran empat perdana menteri dalam tempoh hanya empat tahun.

"Beta tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara, apatah lagi untuk mengatur percaturan landskap politik tanah air. Pada pengamatan Beta, jika episod yang membawa kepada perletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politk yang berlarutan sehingga kepada pilihan raya umum ke-15 juga akan dapat dielakkan," titah Sultan Abdullah semasa merasmikan pembukaan sesi kedua Parlimen ke-15 pada Isnin.

"Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika sekiranya ahli-ahli yang berhormat dan para ahli politik negara, bersedia untuk mengenepikan perbezaan dan bersatu-padu semata-mata atas dasar menjaga kepentingan rakyat beta dan negara yang kita cinta ini," titah baginda lagi.

Sultan Abdullah merujuk kepada krisis politik negara antara tahun 2019 dan 2022 yang dicetuskan satu rampasan kuasa politik yang membawa kepada perletakan jawatan Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri apabila sebahagian daripada wakil rakyat yang menyokong beliau bertindak keluar dari gabungan kerajaan dan berpakat dengan pembangkang untuk membentuk pentadbiran baharu

Peristiwa yang dikenali sebagai 'Langkah Sheraton' itu telah membawa kepada krisis politik berpanjangan sehingga Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan tahun lalu.

Pilihan raya itu turut menyaksikan satu lagi kemelut politik apabila tiada satu parti atau gabungan yang mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan sendiri, namun diselesaikan selepas Sultan Abdullah menitahkan supaya parti-parti bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan.

Beberapa parti politik termasuk Pakatan Harapan pimpinan Anwar dan UMNO pimpinan Ahmad Zahid Hamidi serta blok politik di Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan, dan Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada 24 November lalu.

Dalam titah baginda di Parlimen, Sultan Abdullah berkata baginda berharap Anwar adalah Perdana Menteri yang terakhir sebelum baginda menamatkan tugas dan kembali ke negeri Pahang.

"Dalam situasi pasca PRU yang lalu, bila mana tiada parti politik atau gabungan dominan yang telah memperolehi majoriti mudah, Perlembagaan Persekutuan menuntut Beta untuk melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Beta telah memperolehi kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.

"… Pada 24 November 2022, Beta telah berkenan untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, Beta berharap, PM ke-10 ini adalah yang terakhir buat Beta sebelum Beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur," titah baginda.

Tidak mengendahkan Agong

Sementara itu, beberapa penganalisis politik melihat titah Sultan Abdullah itu sebagai satu mesej secara terus kepada parti-parti pembangkang supaya tidak melakukan percubaan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dalam masa terdekat.

Namun, penganalisis percaya bahawa ia berkemungkinan tidak akan begitu dihiraukan pembangkang yang percaya mereka yang sepatutnya berkuasa.

"Kita semua sedar bahawa titah Agong ditulis oleh kerajaan. Saya merasakan bahawa pembangkang tidak akan mengambil mesej ini secara serius,” kata pakar sains politik James Chin kepada BenarNews.

Chin, yang merupakan profesor Kajian Asian di Universiti Tasmania, Australia, berkata mereka yang menentang Anwar hanya akan berpura-pura mendengar pesanan Sultan Abdullah itu.

"Di khalayak umum mereka akan berkata mereka akan ikut, tetapi di sebalik tadbir ianya semua tentang kuasa. Mereka tidak akan endah sangat apa yang dititah oleh Agong," kata beliau.

Oh Ei Sun, penganalisis daripada Institut Antarabangsa Singapura berkata lawan politik Anwar akan melihat titah ini sebagai sesuatu yang mengangkat diri sendiri kerana ia ditulis oleh kerajaan.

"Mereka yang mahu menjatuhkan kerajaan Anwar juga sedar tentang ini dan mereka akan meneruskan gerakan mereka. Sekirannya gerakan mereka berjaya dan Anwar hilang majoriti sokongan ahli Parlimen, mengikut Perlembagaan, Anwar mesti meletak jawatan atau mengadakan pilihan raya yang baru," kata Oh.

Bridget Welsh daripada Universiti Nottingham-Malaysia turut berkongsi pandangan serupa bahawa Yang di-Pertuan Agong secara jelas menghantar isyarat kepada pembangkang bahawa sebarang usaha menggugat kestabilan kerajaan tidak akan disukai, tetapi beliau percaya pembangkang akan mengikut kehendak mereka sendiri.

"Saya rasa pembangkang akan mengikut rentak sendiri kerana mereka percaya yang mereka sepatutnya memegang tampuk kuasa," kata Welsh.

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat adalah sukar untuk usaha menumbangkan kerajaan Anwar berlaku dalam masa terdekat, dan mungkin akan berlaku hanya selepas enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang mengadakan pilihan raya negeri mereka dalam beberapa bulan lagi.

Chin berpendapat bahawa sebab utama tiada gerakan besar untuk menjatuhkan kerajaan Anwar adalah kerana lawan politik beliau mahu menunggu keputusan daripada enam pilihan raya negeri yang akan membayangkan tahap sokongan Melayu Muslim – komuniti etnik yang paling dominan di Malaysia - terhadap beliau.

"Satu-satunya sebab tiada gerakan menjatuhkan Anwar adalah mereka mahu melihat tren pengundian keputusan pilihan raya negeri. Sekiranya pengundi tegar Melayu masih tidak menyokong gabungan politik Anwar, saya rasa kita akan berdepan situasi politik yang bergelora," kata Chin.

"Saya rasa isu seperti keputusan pilihan raya akan menentukan arah tuju kerajaan di masa hadapan. Kita perlu tunggu dan lihat prestasi kerajaan baru ini dalam pilihan raya negeri dan sokongan mereka di kalangan komuniti-komuniti berbeza," kata Welsh pula.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.