Kemelut politik Malaysia berlarutan, Agong belum putuskan siapa PM ke-10
2022.11.22
Kuala Lumpur
Krisis politik Malaysia terus berlarutan pada Selasa apabila Yang di-Pertuan Agong belum memutuskan siapa yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri, tiga hari selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 menyaksikan Parlimen kini berada dalam keadaan tergantung.
Pilihan raya yang diadakan pada Sabtu tidak menghasilkan keputusan yang konklusif apabila gabungan politik Pakatan Harapan memenangi 82 kerusi Parlimen manakala blok Perikatan Nasional mendapat 79 kerusi namun masing-masing gagal memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Barisan Nasional, gabungan politik yang kalah teruk dalam pilihan raya itu dan dikatakan mampu memecah kebuntuan tersebut, bagaimanapun memutuskan pada Selasa untuk tidak akan menyokong mana-mana pihak sama ada Pakatan yang diterajui Anwar Ibrahim atau Perikatan pimpinan Muhyiddin Yassin.
Pendirian yang diambil oleh Barisan menyebabkan kedua-dua gabungan politik gagal memperoleh jumlah minimum 111 kerusi iaitu majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan.
Selepas A-Sultan Abdullah bertemu pemimpin tertinggi Pakatan dan Perikatan pada Selasa, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Seri Paduka menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan menghadap secara individu pada pagi Rabu untuk membantu baginda membuat keputusan.
"Proses ini adalah bertujuan supaya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri," menurut kenyataan itu.
"Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai."
Muhyiddin dan Anwar berkata Al-Sultan Abdullah ada menyebut mengenai cadangan menubuhkan 'kerajaan perpaduan' yang merangkumi Pakatan dan Perikatan semasa pertemuan di Istana Negara pada Selasa.
Muhyiddin memberitahu pemberita beliau menolak idea itu manakala Anwar menyatakan kesediaannya mengikut nasihat Agong.
"Yang di-Pertuan Agong selama bertahun-tahun secara konsisten bertitah perlu ada semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, [juga] apabila Ismail Sabri dan Muhyiddin dilantik sebagai PM. Tetapi mereka tidak berbuat demikian. Jika saya, saya akan hormat dan patuh," kata Anwar kepada pemberita.
Muhyiddin pula tetap dengan pendirian beliau tidak akan bekerjasama dengan Anwar.
"Kami telah bincang sejak awal. Tak akan kerjasama dengan PH," katanya dalam sidang media pada petang Selasa yang merujuk kepada Pakatan.
"Itulah pendirian parti kita dari dulu hingga sekarang. Walau apa sekalipun tujuannya, perpaduan atau tidak, kami tidak bersetuju.”
Perikatan pimpinan Muhyiddin adalah gabungan politik berteraskan Melayu, yang sebelum ini dituduh menggunakan hujah berbaur perkauman dalam kempen mereka tetapi perkara itu dinafikan beliau. Pakatan pimpinan Anwar pula adalah gabungan politik pelbagai kaum dan merangkumi Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang kebanyakan ahlinya terdiri daripada kaum Cina.
Menurut Anwar, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan agar sebuah kerajaan yang kukuh ditubuhkan.
Sementara itu, polis pada Selasa memberi amaran kepada orang awam agar tidak memuat naik sebarang bahan di media sosial yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Amaran itu dikeluarkan selepas beberapa hantaran di media sosial dilihat sebagai percubaan untuk menyalakan api perkauman dan membayangkan rusuhan kaum yang tercetus pada 1969 bakal berulang sekiranya DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Sesetengah orang Melayu memiliki rasa tidak percaya yang mendalam terhadap DAP, yang dilihat sebagai mendahulukan kepentingan etnik Cina sehingga menjejaskan Melayu yang merupakan etnik majoriti di Malaysia.
Ketegangan berhubung isu kaum, agama serta dendam ekonomi adalah tema pertikaian yang berterusan dalam masyarakat Malaysia namun mencecah titik terendah pada Mei 1969 apabila keganasan komunal meragut hampir 200 nyawa, kebanyakannya etnik Cina, menurut angka rasmi.
Anwar Ibrahim (kiri), pemimpin blok pembangkang Pakatan Harapan, bercakap kepada media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Kuala Lumpur, 22 Nov 2022. [S.Mahfuz/BenarNews]
‘Kami tidak menyokong mana-mana gabungan’
Penganalisis berbeza pendapat mengenai prospek kerajaan perpaduan.
Oh Ei Sun, dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata beliau tidak memihak kepada kerajaan perpaduan antara Pakatan dan Perikatan kerana tidak boleh menerima parti Islam konservatif dalam kerajaan.
Beliau merujuk kepada rakan kongsi Perikatan, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang memenangi kerusi terbanyak iaitu 49 berbanding parti lain dalam pilihan raya itu.
Oh berkata Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Anwar sebagai ketua gabungan pluraliti, menamakan beliau sebagai Perdana Menteri dan membiarkannya berdepan undi percaya di Parlimen.
"Pluraliti bermakna mereka yang memiliki bilangan kerusi terbanyak tetapi belum mencapai majoriti,” katanya kepada BenarNews.
"Ia juga boleh menjadi kerajaan minoriti yang disokong dengan keyakinan dan berbekalkan perjanjian daripada pembangkang seperti yang ditandatangani Pakatan dengan Ismail Sabri (Yaakob)," tambah beliau.
Mengikut perjanjian itu, Pakatan akan menyokong atau mengambil pendirian berkecuali dalam undian bagi rang undang-undang utama di Parlimen selagi kerajaan berunding dengan mereka terlebih dahulu.
Seorang lagi penganalisis Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula percaya kerajaan perpaduan diperlukan memandangkan Malaysia dan dunia sedang menuju ke arah kemelesetan ekonomi serta berdepan peningkatan inflasi di negara ini.
"Tetapi untuk merealisasikannya, hanya Yang di-Pertuan Agong boleh berbuat demikian dengan mengambil peranan sebagai penjaga keamanan dan menggalakkan semua pihak membentuk kerajaan perpaduan, yang pada akhirnya akan menyelesaikan isu pelantikan Perdana Menteri," katanya kepada BenarNews.
Terdahulu, parti nasionalis Melayu iaitu Barisan Nasional, yang sebelum ini telah berunding dengan Anwar untuk menyokong blok itu, telah menarik diri daripada berbuat demikian. Ini kerana terdapat percanggahan pendapat mengenai siapa yang akan disokong - dengan sebahagian mahu melihat Barisan bersama Perikatan yang memiliki ideologi serupa dengan mereka.
Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, parti yang menerajui Barisan, merupakan antara mereka yang enggan menyokong Pakatan. Beliau telah mengumumkan keputusan Barisan itu di laman Facebook.
"Dewan Tertinggi Barisan Nasional telah buat keputusan bahawa kita tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan. BN tidak menyokong Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional. Setakat ini, BN bersetuju kekal sebagai pembangkang," kata Perdana Menteri sementara itu.
Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.