Malaysia Sahkan Seorang Lagi Rakyatnya Terbunuh Di Syria

Suhana Osman
2016.01.28
160128-MY-SALMAN620 Seorang anggota pasukan keselamatan Iraq memegang roket sambil berdiri mengawal kawasan di daerah Al-Sajarya, pinggir timur Ramadi, ibu kota wilayah Anbar. 17 Januari 2016.
AFP

Polis Malaysia pada Khamis mengesahkan kepada BeritaBenar seorang lagi rakyat negara itu dipercayai terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Al-Assad selepas menyerang kem Tentera Udara Kuwayris di Aleppo, Syria.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Ayub Khan Mydin Pitchay semasa dihubungi BeritaBenar berkata, polis tidak dapat mengesahkan secara rasmi kematian Ahmad Salman Abdul Rahim, 39, tetapi melalui laporan risikan yang diperolehi setakat ini, beliau sudah meninggal.

Perkhabaran kematian rakyat Malaysia itu bagaimanapun telah dicatatkan oleh seorang wanita bernama Sabrina Ab Rahim, menerusi status akaun Facebooknya, yang mengakui Ahmad Salman adalah adiknya pada kira-kira jam 5.30 pagi, Khamis.

‘Cedera parah’

Tarikh sebenar Ahmad Salman terbunuh bagaimanapun tidak dinyatakan oleh kakaknya. Beliau dipercayai terbunuh akibat kecederaan parah dalam serangan itu.

Ahmad Salman yang dikenali dengan nama ‘Abu Suleiman’ di laman media sosialnya dilaporkan menyertai skuad Inghimas, iaitu sebuah kumpulan militan yang dipercayai ditubuhkan untuk melakukan serangan nekad terhadap Tentera Udara Kuwayris di wilayah Allepo.

Beliau yang dipercayai menganggotai  Parti Islam Se-Malaysia sebagai ahli biasa, berasal dari Parit Buntar Perak.

Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, telah menangkap lebih 100 orang kerana terlibat dengan IS di Syria dan Iraq, yang daripada jumlah itu, seramai 17 orang telah terbunuh, menurut media tempatan yang memetik sumber risikan sebagai berkata.

Pada Ogos 2014, Ahmad Salman pernah ditemubual media tempatan Malaysia dan antarabangsa, dan dalam temubual itu, beliau menegaskan bahawa dia adalah pejuang bebas yang tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana jaringan pengganas di Malaysia atau di luar negara termasuk Negara Islam (IS).

Beliau yang pernah berkhidmat dalam perniagaan pembuatan filem dan pernah tinggal di London lebih sedekad, telah meninggalkan kerjayanya di sebuah syarikat pembinaan di Malaysia untuk merantau ke negara-negara bergolak termasuk Myanmar dan Palestin.

Akibat kegagalan memasuki Myanmar untuk membantu warga Islam Rohingya, beliau kemudiannya ke India, di mana dia bertemu dengan seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab memperkenalkannya kepada seorang ustaz yang membantu beliau berlepas ke Istanbul, Tukri dan seterusnya memasuki Syria melalui Hatay.

Media tempatan turut melaporkan yang Ahmad Salman bersama Mohammad Fadhlan Shahidi, 21, dan bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Lotfi Ariffin, 45, berjuang bersama-sama sebelum Fadhlan dan Lotfi terbunuh.

‘Pengaruh rakyat Malaysia’

Dalam pada itu, akhbar tempatan Utusan Malaysia pada Khamis melaporkan, Ahmad Salman dipercayai berkahwin semasa berada di Syria dan mempunyai seorang anak kecil di negara itu.

Akhbar itu turut melaporkan Ayob Khan sebagai berkata, seramai 18 rakyat Malaysia yang menjadi ‘pejuang’ di negara berperang itu manakala terdapat sekurang-kurangnya 46 orang lagi yang masih hidup.

Sumber risikan pihak berkuasa Malaysia memetik sebagai berkata, nama Ahmad Salman berada di dalam senarai 45 rakyat negara itu yang menganggotai pasukan keganasan di Syria.

Beliau juga dipercayai bertanggungjawab cuba mempengaruhi rakyat Malaysia untuk menyertai aktiviti keganasan di media sosial dengan akaunnya dikesan menjadi antara tarikan kepada mereka yang terpengaruh dengan gerakan militan di negara bergolak itu.

Dalam temuramahnya dua tahun lepas, Ahmad Salman pernah mendedahkan kesukaran hidup di negara bergolak itu selepas ramai rakyat Malaysia dan rakan seperjuangannya meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang menjawab soalan BeritaBenar melalui pesanan Whatsapp mengenai kematian Ahmad Salman tidak memberikan pengesahan atau ulasan mengenainya, sebaliknya meminta diberikan sedikit masa untuk menyemak kesasihan berita berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.