Pelajar Perempuan Buat Laporan Polis Terhadap Komen Seksual Atas Talian

‘Tidak akan berdiam diri lagi, akan terus buat laporan polis terhadap individu yang tinggalkan komen berbaur lucah dan hina Ain Husniza,” kata bapa.
Noah Lee & Nisha David
2021.12.28
Kuala Lumpur
Pelajar Perempuan Buat Laporan Polis Terhadap Komen Seksual Atas Talian Ain Husniza Saiful Nizam bercakap kepada media di luar Ibupejabat Polis Sungai Buloh selepas dia memberi kenyataan berhubung gurauan rogol di Sungai Buloh, Selangor 6 Ogos 2021.
[AFP]

Seorang remaja perempuan yang melaporkan tentang guru sekolahnya yang dikatakan membuat jenaka mengenai isu rogol di dalam kelas serta bapanya telah membuat laporan kepada polis dan pihak berkuasa yang mengawal selia komunikasi Internet di Malaysia terhadap seorang bekas rakan sekolah dan beberapa individu lain kerana membuat gangguan seksual terhadapnya di laman media sosial.

Saiful Nizam Ab Wahab, bapa kepada pelajar Ain Husniza yang berusia 17 tahun berkata, anaknya itu kini berada dalam keadaan stress dan menghadapi tekanan perasaan disebabkan gangguan berkenaan, dan kini beliau menjadikan ia satu misi untuk menjejak semua individu yang menghina Ain dan melaporkan mereka kepada pihak berkuasa.

Menurut Saiful, beliau dan Ain telah membuat dua laporan kepada pihak berkuasa iaitu kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, iaitu badan yang bertanggungjawab menyelia dan menguatkuasa undang-undang siber negara dan antara yang dilaporkan merupakan bekas rakan sekelas Ain.

"Kami tidak lagi boleh membiarkan perkara seperti ini. Semua orang mesti bertanggungjawab terhadap tindakan mereka. Kami melihat semakin banyak komen-komen yang bersifat toksik, negatif, kasar dan jelik dibuat di beberapa platform media sosial.

"Perkara ini mesti diubah dan hukuman mesti diberi sebagai pengajaran. Memang semua orang ada hak pada kebebasan bersuara, tetapi ia mesti tidak melampaui batas," kata Saiful Nizam kepada BenarNews.

Menurut bapa itu lagi, laporan terbaharu yang dibuat oleh Ain adalah pada Sabtu lalu (25 Disember) terhadap seorang remaja lelaki yang juga merupakan bekas rakan sekelasnya di sekolah lama.

Remaja lelaki itu dikatakan telah memuatnaik sekeping gambar Ain di platform Tumblr dengan kata-kata berunsur lucah mengenai tubuh badannya, sebelum perbuatan itu disedari seorang rakan lain yang memaklumkannya kepada Ain.

Sudah kenal pasti

"Kawan saya memberitahu bahawa dia telah nampak gambar 'selfie' muka saya disalahgunakan dalam website Tumblr dengan tulisan kata-kata berunsur lucah. Kawan saya telah 'screenshot' dan hantar kepada saya melalui Instagram.

"Saya juga dapat tahu perbuatan itu dilakukan oleh kawan saya yang juga bekas rakan sekolah," kata Ain dalam laporan polis yang dibuatnya yang telah dilihat oleh BenarNews.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang di negeri Selangor, Mohd Zaid Hassan yang menyatakan bahawa penyiasat telah mengenalpasti suspek dalam kes berkenaan.

"Suspek masih belum ditahan dan masih belum dirakam keterangan. Tetapi kita sudah mengenalpasti siapa suspek," kata Mohd Zaid ketika dihubungi BenarNews.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang mengaibkan seseorang, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian komunikasi.

Menurut Saiful Nizam, beliau dan anaknya juga merancang untuk membuat laporan susulan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung perkara tersebut.

Kata beliau, remaja lelaki itu serta bapanya telah pun membuat permohonan maaf kepada Ain, namun mereka bertegas untuk tetap membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Kami akan tetap mengambil tindakan undang-undang," kata Saiful Nizam.

"Saya percaya kes ini akan mampu memberikan pengajaran kepada orang lain. Selain Ain, ada tiga lagi pelajar dari sekolah lama Ain yang menjadi mangsa perbuatan serupa," tambahnya.

Selain bekas rakan sekolah Ain, laporan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia terhadap seorang lagi lelaki yang telah memuatnaik komen berunsur lucah terhadap Ain di Facebook. BenarNews dimaklumkan oleh Saiful Nizam bahawa lelaki tersebut juga telah membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Ain di laman media sosial tersebut.

Pada 24 April lepas, Ain Husniza menjadi perhatian masyarakat antarabangsa selepas beliau memuat naik sebuah video di laman TikTok yang mendakwa seorang guru lelaki telah membuat gurauan berunsur lucah ketika sesi kelas pendidikan jasmani.

Menurut Ain, guru lelaki itu mengeluarkan kata-kata tersebut ketika membincangkan isu undang-undang yang melindungi remaja bawah umur daripada gangguan seksual.

Video itu kemudian tular dan mencetuskan perdebatan mengenai isu pendidikan seks dan sikap prejudis terhadap wanita yang menyaksikan ramai remaja perempuan tampil menceritakan pengalaman mereka berdepan insiden serupa.

Ain Husniza berkata ramai remaja perempuan menghubunginya untuk berbual mengenai perkara itu dan memberitahu bahawa mereka takut dipinggirkan oleh rakan sekolah jika membuat aduan. Ada juga yang telah melaporkan insiden berunsur seksis itu namun tidak ada tindakan yang diambil, katanya.

Pelajar itu kemudian mula dipinggirkan oleh rakan sekolahnya selepas beliau membuat laporan polis mengenai guru tersebut manakala seorang pelajar turut mengugut untuk merogolnya.

Ain Husniza turut membuat laporan polis mengenai ugutan itu dan pelajar itu kemudiannya telah bertukar ke sekolah lain.

Susulan pendedahan itu, guru terbabit telah diarahkan bertukar ke pejabat pendidikan negeri sementara kes terhadapnya disiasat, menurut laporan media tempatan.

Dalam tindakan balas terhadap Ain Husniza dan bapanya, guru tersebut kemudiannya telah memfailkan saman malu terhadap kedua-dua beranak di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 26 Nov lepas yang didakwa memfitnah dirinya.

Khairul Nizam Sanuddin menuntut sejumlah wang atas kerosakan terhadap reputasinya serta perintah agar pelajar itu memadam semua bahan di media sosial yang berkaitan dengan kes tersebut, yang didakwa bersifat fitnah dan berniat jahat terhadapnya.

Khairul Nizam mendakwa video itu telah mencalarkan imejnya dan menyebabkan beliau dilihat sebagai seorang guru tidak bermoral serta contoh yang tidak baik kepada pelajar.

Beliau juga menafikan dakwaan telah membuat lawak mengenai rogol di dalam kelas sebaliknya hanya memberikan penerangan kepada pelajar mengenai jenis tindakan yang boleh dikategorikan sebagai rogol, hukuman terhadap perogol dan bagaimana pelajar boleh mempertahankan diri mereka daripada menjadi mangsa.

Saiful Nizam dan Ain Husniza kemudiannya menyatakan bahawa mereka akan memfailkan saman balas terhadap Khairul Nizam kerana dikatakan telah dengan sengaja menyebabkan tekanan emosi kepada Ain Husniza.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.