Malaysia: Seramai 1.4 Juta Pekerja Asing Tidak Disediakan Penginapan Mengikut Akta 446
2020.12.03
Kuala Lumpur
Malaysia pada Khamis mengesahkan lebih 1.4 juta pekerja asing tidak disediakan dengan kemudahan penginapan sempurna dan mengikut Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing Jabatan Tenaga Kerja oleh majikan, dengan penguatkuasaan mengenainya mula dipertingkatkan di tengah-tengah kebimbangan cara kehidupan tidak kondusif adalah penyebab kepada peningkatan jangkitan koronavirus di negara itu.
Pendedahan mengenai kegagalan majikan untuk memohon perakuan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dibuat semasa Malaysia sedang berhadapan dengan kenaikan jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi di kalangan pekerja asing, dengan kemudahan penginapan dikenalpasti sebagai faktor utama merebaknya koronavirus melibatkan kumpulan tersebut.
Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata seramai 1.472 juta atau 91.11 peratus daripada 1.6 juta pekerja asing di negara itu yang diberikan tempat tinggal oleh majikan dan penyelia mereka masih lagi gagal menyediakan penginapan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang mengkehendaki semua majikan mendapatkan perakuan penginapan bermula 1 September lalu.
“Majikan dan penyelia yang menyediakan penginapan untuk 1.472 juta (pekerja asing), atau 91.11 peratus, masih gagal memohon perakuan penginapan mengikut akta," kata beliau pada sidang media bersama Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya.
Saravanan juga memaklumkan yang JTKSM hanya menerima 3,356 permohonan Perakuan Penginapan bagi jumlah kapasiti 143,587 pekerja setakat 23 November dan daripada jumlah itu sebanyak 93,322 pekerja telah menerima perakuan penginapan daripada majikan manakala 50,265 pekerja lagi oleh penyelia kuarters penginapan bersepadu.
“Cuma 8.89 peratus daripada 1.6 juta pekerja asing di Malaysia [mendapat perakuan penginapan mengikut Akta], keadaan ini masih jauh lagi dan jelas menunjukkan bahawa majikan dan penyelia masih gagal menyediakan tempat penginapan mengikut garis paduan," tambah beliau.
Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang juga dikenali sebagai Akta 446, telah menetapkan spesifikasi yang perlu dipatuhi majikan dalam menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja asing dan tempatan mengikut piawaian yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Pada Julai 2019, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan ke atas Akta 446 bertujuan menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 JTKSM meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan.
Susulan daripada itu, pada Mei lepas, Saravanan telah mengumumkan bahawa kerajaan akan memberikan tempoh kepada para majikan sehingga 31 Ogos untuk membuat persediaan sewajarnya bagi mematuhi kehendak undang-undang tersebut.
Menteri Sumber Manusia turut memberitahu bahawa permohonan Perakuan Penginapan bagi pekerja asingan tertinggi yang diterima JTKSM setakat 23 Nov adalah dari Pulau Pinang, iaitu sebanyak 1,164 permohonan, diikuti Selangor (981) dan Johor (320).
Katanya, bermula 1 September lalu, JTKSM telah menjalankan 1,850 pemeriksaan membabitkan 1,813 majikan dan 37 penyelia penginapan berpusat di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan dan mensasakan lebih 25 ribu pemeriksaan menjelang 2021.
"Sehingga 26 November, pemeriksaan telah dilakukan terhadap enam majikan di Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor dengan sebanyak 21 kertas siasatan telah dibuka terhadap pelbagai kesalahan termasuk kegagalan memohon perakuan penginapan yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 (AS$12,265) bagi setiap pekerja.
“Contohnya jika syarikat mempunyai 1,800 pekerja dan didapati bersalah, majikan perlu membayar RM90 juta (AS$22 juta) terhadap kesalahan yang dilakukannya, jadi kerajaan menyarankan mereka menyediakan penginapan mengikut Akta 446, kerana itu adalah lebih murah daripada membayar saman,” tambah Saravanan.
Tidak dibenar masuk tanpa Perakuan Penginapan
Sementara itu, pada sidang media sama, Menteri Kanan Keselamatan mengumumkan keputusan Putrajaya untuk tidak membenarkan majikan membawa masuk pekerja asing ke Malaysia selagi tidak mendapat Perakuan Penginapan daripada Kementerian Sumber Manusia yang akan mula dikuatkuasakan pada 1 Julai depan.
"Pekerja asing tidak akan dibenarkan masuk ke Malaysia selagi majikan tidak mendapat perakuan dan kelulusan penginapan daripada Kementerian Sumber Manusia.
“Penguatkuasaan mengenainya akan dibuat bersama Jabatan Imigresen Malaysia, dan tanpa Perakuan Penginapan daripada Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Imigresen tidak akan mengeluarkan visa kepada pekerja asing melalui majikan mereka,” kata Ismail.
Beliau juga menegaskan bahawa sebarang tindakan majikan membawa masuk pekerja asing tanpa melalui proses tersebut, akan dikategorikan sebagai pendatang tanpa izin.
Ismail menambah bahawa keputusan kerajaan memperkenalkan langkah terbaru itu bukan sahaja atas faktor kemanusiaan tetapi juga berkaitan kritikan yang diterima Malaysia daripada negara luar dan juga badan bukan kerajaan yang membuat komen negatif berhubung layanan terhadap pekerja asing di negara itu.
Sejak kebelakangan ini, penularan pandemik COVID-19 di kalangan pekerja asing menyaksikan peningkatan mendadak terutama yang melibatkan pekerja kilang pembuat sarung tangan getah pakai-buang terbesar dunia, Top Glove.
Kluster pekerja asing di kilang-kilang syarikat itu telah mencatatkan sejumlah 5,094 kes positif COVID-19 dengan peningkatan mendadak tersebut menyebabkan kerajaan mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di beberapa kawasan yang menempatkan asrama dan hostel bagi lebih 5,700 pekerja asing kilang tersebut di sekitar kawasan di Meru, dalam daerah Klang, Selangor .
Ismail juga memberitahu media bahawa kerajaan telah mewajibkan supaya saringan COVID-19 dibuat ke atas semua pekerja asing yang berada dalam kawasan berisiko tinggi.
Menurut beliau, saringan telahpun dimulakan pada 1 Disember dengan target seramai 888,000 pekerja asing di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
"Sepanjang tempoh 48 jam bermula, terdapat 367 klinik swasta dan hospital sudahpun mendaftar untuk program ini, dengan sebanyak 19,975 test kit antigen telah diedarkan. Kita juga menjangka fasa pertama akan melibatkan kira-kira 100,000 kit RTK Antigen untuk edaran. Kementerian Sumber Manusia juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan lebih banyak test kit RTK," tambah Ismail.
Malaysia mencatatkan jangkitan harian melebihi 1,000 kes pada Khamis menjadikan jumlah kes COVID-19 sehingga kini adalah 69,095 kes dengan 376 kes kematian.