Cendekiawan Turki Dibebaskan Selepas 18 Jam Ditahan Polis Malaysia

Hadi Azmi
2017.09.26
Kuala Lumpur
170926-MY-speech-620.jpg Mustafa Akyol (tengah, belakang mikrofon) semasa mengambil bahagian pada forum “Does Freedom of Conscience Open the Floodgate to Apostasy” di Kelab Golf Diraja Selangor, Kuala Lumpur, 24 Sept, 2017.
[Mustafa Akyol/Twitter]

Polis Malaysia membebaskan seorang cendekiawan terkemuka Turki pada Selasa selepas menahannya selama hampir sehari berhubung dakwaan beliau berdakwah tanpa kebenaran pihak berkuasa Islam negeri dan melanggar undang-undang Syariah.

Penulis dan wartawan Turki, Mustafa Akyol, ditahan polis pada Isnin kerana didakwa menyampaikan khutbah agama tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

"Saya kini bebas, selepas 18 jam ditahan. Terima kasih kepada semua yang membantu, menyokong dan berdoa, "kata Akyol dalam catatan  Twitter beliau pada petang Selasa.

Beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Isnin selepas tidak dibenarkan menaiki penerbangan ke Rom, kata JAWI dalam satu kenyataan pada Selasa.

Akyol, yang tinggal di Boston, Massachusetts bersama-sama keluarganya, berkata, beliau sudah lima kali mengunjungi Malaysia untuk menyampaikan ceramah dan tidak pernah ditahan sebelum ini. Dari Rom, beliau akan mengambil penerbangan lain untuk pulang. [IV1]

Waran tangkap mahkamah syariah

Akyol ditahan selepas JAWI menerima aduan mengenai penyertaannya pada forum bertajuk " Does Freedom of Conscience Open the Floodgate to Apostasy” (Apakah kebebasan nurani membuka jalan kepada murtad?) di Royal Selangor Golf Club pada Ahad, kata Pengarah JAWI Abdul Aziz Jusoh.

JAWI telah menghubungi Akyol pada Isnin bagi memintanya hadir untuk disoal siasat kerana didakwa melanggar Seksyen 11 Akta Tatacara Jenayah Syariah berhubung dengan menyampaikan ajaran agama tanpa tauliah yang sah, kata pengarah JAWI itu. Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan itu, beliau boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 (US$1,188), penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Memandangkan Akyol tidak mengendahkan arahan jabatan tu, JAWI telah mrmohon kepada Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk mengeluarkan waran bagi penangkapannya.

Akyol berkata, beliau dibebaskan pada petang Selasa selepas JAWI berpuas hati bahawa beliau tidak mengetahui tentang peraturan itu.

"Oleh itu, JAWI menasihatkan mana-mana penganjur yang menjemput penceramah untuk menyampaikan sebarang perkara berkaitan dengan Islam supaya memastikan mereka mempunyai kelayakan dan tauliah sewajarnya seperti yang dikehendaki oleh undang-undang negara ini," kata Abdul Aziz.

Pada Isnin, Akyol membatalkan ceramahnya yang dijadualkan di kampus Universiti Nottingham di Kuala Lumpur mengenai "“The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims.”

Menurut laporan laman berita Free Malaysia Today, Akyol telah ditekan oleh pihak berkuasa Malaysia supaya membatalkan ceramah itu pada saat-saat akhir

Ahmad Farouk Musa, daripada penganjur forum itu, Islam Renaissance Front (IRF), mendedahkan berita mengenai penahanan Akyol melalui Twitter beberapa minit selepas ia berlaku.

"Tetamu kami & penulis antarabangsa terkemuka sedang ditahan di KLIA. Kami mengesyaki ia mungkin ada kaitan dengan JAWI.  Talibanalisasi yang menakutkan," kata IRF dalam Twitter pada malam Isnin.

Pada Ogos lalu, IRF mengkritik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana menuduhnya menyimpang daripada Islam.

Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha menuduh IRF dan G25, kumpulan pro-kesederhanaan pesara awam, cuba membawa idea-idea liberal dan menyimpang ke dalam negara.

Jakim membangkitkan tentang kenyataan cendekiawan Islam Mun'im Sirry mengenai asal-usul Al-Quran semasa satu seminar pada Ogos.

Ahmad Farouk menjawab dakwaan itu dengan bertanya sama ada Jakim berasakan yang umat Islam tidak boleh berfikir untuk diri mereka sendiri.

"IRF percaya dengan wacana intelektual dan pemikiran kritikal," katanya. "Keseluruhan idea ini adalah mengenai pemikiran dan pemikiran semula. Sebarang idea perlu dibincangkan secara intelek, bukan emosi. "

Cendekiawan tertekan

Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, Akyol berasa tertekan dan mahu meninggalkan Malaysia dengan secepat mungkin.

"Beliau menyatakan bahawa beliau tidak menyampaikan khutbah, ia hanyalah satu persidangan akademik. Beliau tidak pergi ke mana-mana masjid, " kata pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph kepada Malay Mail Online.

Dalam pada itu, Amnesty International Malaysia (AIM) berkata, penahanan Akyol dibuat atas dasar kebimbangan dan pihak berkuasa Malaysia mengambil tindakan berat untuk mengekang ahli akademik yang lantang daripada bersuara.

"Kerajaan Malaysia telah menggunakan pelbagai taktik menakutkan, termasuk menggunakan soal siasat polis dan larangan perjalanan untuk mengekang tugas para  pembela hak asasi manusia, ahli akademik yang kritikal serta individu yang lantang," kata pengarah eksekutif AIM, Gwen Lee dalam satu kenyataan pada malam Selasa.

N. Nantha di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.