Malaysia tarik balik rayuan mengenai penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam

Pejabat Peguam Negara mengesahkan yang Kerajaan telah memfailkan notis untuk tidak meneruskan kes tersebut pada 18 April lalu.
Iman Muttaqin Yusof & Ili Shazwani Ihsan
2023.05.15
Kuala Lumpur
Malaysia tarik balik rayuan mengenai penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam Komuniti Islam Malaysia mengadakan bantahan mengenai penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya, 23 Jun 2014.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia telah menarik balik rayuan yang difailkannya terhadap satu keputusan Mahkamah Tinggi di negara itu, yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah "Allah" bagi merujuk kepada tuhan, dan merupakan satu daripada isu amat sensitif di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, dengan penarikan rayuan tersebut disahkan oleh Pejabat Peguam Negara pada Isnin.

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim bagaimanapun tidak menyatakan sebarang alasan di sebalik keputusan mereka menarik balik rayuan itu, yang difailkan pentadbiran terdahulu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2021, tetapi Persatuan Peguam Syarie Malaysia telah meminta Putrajaya memikirkan semula tindakan itu, yang disifatkan sebagai menjejaskan kepentingan umat Islam.

Dokumen mahkamah mengenai penarikan rayuan berkenaan telah didedahkan kepada umum pada Isnin, antara lain menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan telah memfailkan notis untuk tidak meneruskan kes tersebut melalui Pejabat Peguam Negara pada 18 April. Perkara itu disahkan peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan ketika dihubungi BenarNews.

"Ambil perhatian bahawa perayu-perayu di atas tidak berniat untuk meneruskan Notis Rayuan yang telah difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan ini tanpa perintah terhadap kos," kata notis berkenaan yang dilihat BenarNews.

Ia merujuk kepada penghakiman dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mac 2021 yang membenarkan Jill Ireland Lawrence Bill, seorang wanita beragama Kristian dari negeri Sarawak di Malaysia Timur, untuk menggunakan kalimah "Allah" dalam pembelajaran agamanya.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan menarik balik rayuan itu telah dibuat oleh kementeriannya dan satu nota mengenainya telah dibentangkan kepada Kabinet.

"Ia adalah keputusan yang dibuat oleh kementerian dan saya perlu memaklumkannya kepada Kabinet, dan saya telah menyampaikan nota kepada Kabinet beberapa bulan lalu," kata beliau kepada media ketika ditemui di satu majlis di Kuala Lumpur pada Isnin.

Menteri itu kemudiannya berkata, penjelasan terhadap keputusan kerajaan menarik balik rayuan berkenaan akan dibuat semasa satu sidang media yang dijadualkan pada Selasa.

Pada Mac 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin menyifatkan arahan Kementerian Dalam Negeri untuk melarang penggunaan empat perkataan termasuk "Allah" oleh orang bukan Islam sebagai sesuatu yang salah dan tidak rasional memandangkan penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak telah menggunakan perkataan Allah di gereja mereka sejak beratus tahun yang lalu.

"Arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang penggunaan "Allah", "Baitullah" dan "Kaabah" serta "solat" dalam penerbitan Kristian adalah tidak berperlembagaan kerana ia menyekat kebebasan beragama, kata Hakim tersebut pada masa itu sambil menambah arahan itu tidak sah dan tidak rasional kerana penganut Kristian Malaysia telah menggunakan perkataan tersebut sejak lebih 400 tahun lalu.

Bagaimanapun, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kemudian bertitah bahawa larangan terhadap orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan tiga lagi perkataan lain adalah kekal di negeri Selangor.

Sebelum itu, Sultan Kedah yang memerintah negeri utara Malaysia, telah menitahkan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah sesuatu yang eksklusif untuk umat Islam.

Pertikaian di mahkamah antara Ireland dan kerajaan bermula selepas Kementerian Dalam Negeri merampas lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah daripada wanita itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2008.

Dengan tindakan terkini Kerajaan dalam kes berkenaan, keputusan Mahkamah Tinggi kekal terpakai di mana mengangkat larangan terhadap orang bukan Islam di negara itu untuk menggunakan "Allah" dan tiga lagi perkataan di dalam penerbitan agama Kristian.

Peguam Haniff Khatri Abdullah, yang mewakili Majlis-Majlis Agama Negeri Selangor, Kedah dan Wilayah Persekutuan, berkata mereka hanya dimaklumkan oleh mahkamah mengenainya pada pagi Isnin dan mempersoalkan mengapa kerajaan menyembunyikan keputusannya untuk menarik balik rayuan itu sebelum ini.

"Persoalannya ialah mengapa notis penarikan rayuan ini tidak diumumkan kepada orang ramai pada waktu itu. Mengapa didiamkan? Nasib baik hari ini (Isnin) mahkamah telah memaklumkan kami mengenai keputusan berkenaan walaupun ia bukan tanggungjawab mereka," kata Haniff kepada BenarNews.

"Sebelum arahan itu dilaksanakan, Peguam Negara sepatutnya merujuk kepada orang ramai dan majlis-majlis agama Islam untuk mendengar pandangan kerana sebaik sahaja notis tersebut dikeluarkan dan ditandatangani kedua-dua pihak, rayuan berkenaan telah terhenti."

Pada Januari lalu, Mahkamah Rayuan dilaporkan telah memberikan kebenaran kepada Majlis Agama Islam Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk mengambil bahagian dalam rayuan berkenaan sebagai amicus curiae atau pihak berkepentingan.

Amicus curiae merupakan individu atau organisasi yang bukan sebahagian daripada kes tetapi dibenarkan untuk memberikan maklumat, kepakaran atau pandangan yang mungkin boleh membantu mahkamah.

Dalam respon mengenai perkara itu, Persatuan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan kegusaran mereka terhadap keputusan kerajaan dan menggesa supaya Putrajaya memberikan penjelasan.

"Penjelasan penuh perlu diberikan berkaitan tindakan ini dan mengapa terdapat perbezaan tindakan yang tidak dimaklumkan kepada masyarakat Islam juga?," kata Presidennya Zainul Rijal Abu Bakar dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang dalam satu kenyataan berkata keputusan menarik balik rayuan itu boleh menjejaskan kepentingan umat Islam dan keseimbangan masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara tersebut. Beliau juga menekankan mengenai kepentingan untuk mengambil kira undang-undang negeri.

"Kami berharap pihak kerajaan dapat meneliti perkara tersebut, serta meneruskan rayuan tersebut ke mahkamah tertinggi negara, dengan mempertimbangkan pelbagai sudut dan segala aspek, khususnya kepada maslahah dan kepentingan umat Islam di negara ini.

"PGSM menegaskan bahawa sebarang tindakan yang dibuat oleh Kerajaan hendaklah mengambil kira undang-undang negeri-negeri khususnya undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu termasuk kalimah Allah yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dan diperkenan oleh Sultan Negeri-negeri, serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kuasa Sultan Negeri-negeri," kata beliau.

Dalam pada itu, pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak, Danald Jute dalam komen kepada BenarNews berkata keputusan Putrajaya adalah sesuatu yang dialu-alukan.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu memberikan sebarang komen lagi buat masa ini kerana Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution telah menyatakan bahawa beliau akan mengadakan sidang media untuk menjelaskan perkara ini dengan lebih lanjut," kata Jute.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.